Kes denggi di Pulau Pinang meningkat

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Sebanyak 122 kes demam denggi dilaporkan di seluruh Pulau Pinang pada Minggu Epidemiologi ke-45 (ME45) bagi tempoh 5 hingga 11 Nov lepas, meningkat 30 kes berbanding 92 yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

- Advertisement -

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan bagi tempoh sama turut menunjukkan peningkatan kepada 6,608 kes berbanding 6,486 pada ME44, manakala sembilan kematian akibat komplikasi dilaporkan.

“Daerah Barat Daya mencatatkan bilangan kes paling tinggi iaitu 45 diikuti Seberang Perai Tengah (SPT) 31 kes, Seberang Perai Selatan (SPS) 23 kes, Timur Laut (17) dan Seberang Perai Utara (SPU) enam kes.

“Bagi kumulatif kes pula, daerah SPT merekodkan bilangan tertinggi dengan 3,244 kes, SPS (1,155), Timur Laut (1,125), Barat Daya (651) dan SPU 433 kes,” menurut kenyataan itu.

JKNPP memaklumkan pada hari pertama ME46 semalam pula merekodkan 30 bilangan wabak semasa di lima daerah dalam negeri ini dengan kumulatif wabak sebanyak 710.

Antara lokaliti yang menjadi ‘hotspot’ kes denggi di negeri ini ialah Taman Impian Ria (Zon B) dan Taman Juru di SPT, lokaliti wabak tidak terkawal di Taman Perindustrian Beringin (A) di SPT manakala lain-lain lokaliti adalah terkawal.

Mengenai survelan chikungunya, hanya satu kes direkodkan di daerah Barat Daya pada ME45 dengan jumlah kumulatif kes sebanyak 38.

JKNPP sehubungan itu menasihati orang ramai supaya sentiasa memastikan tiada takungan air di rumah yang menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes selain memastikan persekitaran kediaman bersih bagi mencegah kes demam denggi. – BERNAMA

- Advertisement -