KUALA LUMPUR: Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) begitu penting bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negara ini, namun malangnya ia kurang diberi perhatian kerajaan Madani.
Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, PMKS merupakan tonggak utama negara yang mewakili 97.4 peratus pada tahun 2021 dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, 83 peratus daripadanya dalam bidang perkhidmatan, manakala sektor pertanian hanya sekitar 2 peratus sahaja.
“Sedangkan kita sering sebut mengenai isu keterjaminan makanan. Jadi apa usaha kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk memberi tumpuan usahawan tani dalam sektor pertanian.
“Apakah perancangan kementerian melalui Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan serta Majlis Pembangunan Usahawan Nasional boleh merangka atau memberi tumpuan dalam sektor pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan dan Koperasi (KUSKOP) di Dewan Rakyat hari ini.
Dr Ahmad Yunus juga berkata, kerajaan perlu membuat perancangan bagi menggalakkan golongan belia dan lepasan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terlibat dengan PMKS.
Menurutnya KUSKOP perlu duduk semeja dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi merangka inisiatif untuk menarik minat golongan terbabit terlibat dalam pertanian pintar selaras kemajuan teknologi semasa.
Kata beliau Model Pertanian Pintar dapat membantu agenda transformasi sektor pertanian negara sesuai dengan agenda Revolusi Industri Ke-4 (IR4.0) yang merangkumi dron, robotik dan sebagainya.
“Adakah latihan kursus teknologi terkini diadakan termasuk IOT. Saya kira pertanian pintar perlu didekatkan kepada mereka yang benar-benar cenderung dalam bidang terbabit.
“Apakah inisiatif baharu kementerian menerusi program Tunas Usahawan Belia Bumiputera untuk melahirkan lebih ramai belia Bumiputera bagi mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!