Jangan jual air ke Pulau Pinang, jamin keperluan Perak

- Advertisement -

PAS Perak mengikuti secara dekat perkembangan isu penjualan air Perak ke Pulau Pinang. Secara prinsipnya PAS Perak mendukung pendirian kerajaan negeri tidak menjual bekalan air mentah kepada Pulau Pinang. Kenyataan Menteri Besar Perak tidak akan menjual bekalan air mentah kepada Pulau Pinang adalah kenyataan yang menjadi prinsip dan keputusan bersama PAS Perak ketika di dalam kerajaan negeri sebelum PRU15.

PAS Perak konsisten dengan pendirian bahawa kepentingan rakyat dan keperluan dalam negeri mesti diutamakan. Pengalaman kekurangan air untuk pertanian melibatkan bekalan sumber Tasek Bukit Merah dalam daerah Kerian sewajarnya menjadi asas utama keputusan kerajaan negeri. Bekalan air di kawasan tersebut adalah untuk pertanian terutama penanaman padi yang kini menjadi sebahagian krisis bekalan beras tempatan negara. 

Walaupun sudah ada perbincangan dan persetujuan Kerajaan Pusat membangunkan daerah Kerian, namun isu itu belum tentu dapat diselesaikan terutama peningkatan keperluan di masa hadapan. Sewajarnya sokongan dan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan membangunkan infra untuk bekalan air pertanian demi menjaga keterjaminan makanan daripada membina loji bekalan air terawat untuk Pulau Pinang. 

PAS Perak juga mendukung keputusan menjual bekalan air terawat sekiranya melebihi keperluan tempatan. Syarat ini mestilah menjadi keutamaan dalam perjanjian. Penjualan air terawat juga mestilah bersifat membantu ekonomi Negeri Perak. Konsep membantu mestilah berpaksikan ‘utamakan diri memakai corong kecemasan pernafasan di kapal terbang sebelum membantu orang lain’.

Keputusan berkaitan penjualan air terawat ke Pulau Pinang diharapkan telah melalui proses kajian mendalam dan terperinci dan berlaku secara telus. Ia sewajarnya menjadi dokumen yang dibentangkan secara jelas di dalam sidang DUN untuk penambahbaikan dan ketelusan demi menjaga kepentingan warga dan kerajaan Perak. 

Adil, Prihatin, Berkebajikan

YB RAZMAN ZAKARIA 
Pesuruhjaya PAS Perak
15 November 2023 – HARAKAHDAILY 15/11/2023 

- Advertisement -
- Advertisement -