Jangan abaikan kecacatan pada tangan dan jari bengkok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kecacatan pada tangan dan jari-jari yang bengkok biasa ditemui dalam kalangan orang tua tetapi tidak harus diabaikan kerana ia mungkin tanda penyakit osteoartritis tangan.

- Advertisement -

Pakar Perunding Mikrosurgeri dan Tangan di Pusat Perubatan Sunway, Dr Liew Siew Khei berkata penyakit itu yang memberi kesan kepada 600 juta individu di seluruh dunia adalah disebabkan kemerosotan dan keradangan sendi yang progresif di tangan. 

Beliau berkata antara simptomnya termasuk kekejangan dan kesakitan sendi yang menyebabkan ketidakstabilan pada tangan sebelum melarat kepada kecacatan dengan sendi-sendi membengkok ke arah tepi dan tumbuhnya bonjolan tulang dipanggil “osteophytes”. 

“Keadaan ini boleh membawa kepada kelemahan dalam menggenggam dan ia menyebabkan pesakit menghadapi kesukaran dalam menjalankan aktiviti seharian termasuk tugas mudah seperti memulas tombol pintu atau membuka penutup balang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.  

Dr Liew berkata osteoartritis boleh menjejaskan siapa sahaja tetapi ia memuncak selepas umur 50 tahun dan risiko meningkat dengan kelanjutan usia, sebagai contoh keadaan ini ditemukan pada 80 peratus mereka yang berusia 75 tahun dan ke atas. Buruh kasar yang selalu melakukan  pergerakan menggentas dan menggenggam berulang kali dalam kerja mereka dan mereka yang sebelum ini mengalami keretakan pada tangan, sejarah keluarga dan  kegemukan juga berisiko tinggi untuk menghidapinya.

“Wanita juga tiga kali lebih mudah menghidapinya berbanding lelaki.  Keadaan ini bukan semuanya masalah biomekanik seperti dalam lutut dan sendi pinggul dan ia berkait rapat dengan keradangan dan kawalan metabolisme.

… wanita mengalami paras estrogen yang naik turun dengan ketara apabila mereka mencecah fasa pramenopause sekitar usia 50 tahun dan perubahan hormon menyebabkan mereka mudah terkena keradangan dan peningkatan dalam kesensitifan kesakitan,” katanya.

Dr Liew berkata berlakunya osteoartritis tangan tidak banyak dilaporkan di Malaysia (7.05 kes bagi setiap 100,000 penduduk menurut jurnal  Frontiers in Medicine 2022) kerana kurangnya kesedaran dalam kalangan orang awam yang lazimnya menganggap simptom penyakit itu sebagai sebahagian daripada proses penuaan yang tidak dapat dielakkan.

 “Diharap lebih banyak laporan dan kesedaran bagi menggalakkan pesakit untuk mendapatkan rawatan perubatan. Malaysia tidak banyak pakar bedah tangan, terdapat kurang daripada 100 orang daripada kami di seluruh negara,” katanya. 

Beliau juga berkata terdapat kebimbangan dengan banyak pesakit terutamanya orang-orang tua cenderung untuk tidak menghiraukan simptom berkenaan dan menangguhkan rawatan mereka, sambil menambah kecacatan dan pembedahan yang mahal untuk memperbaiki keadaan itu dapat dielakkan jika mereka mendapatkan rawatan awal. 

“Sekali osteoartritis dikesan, selalunya ia sukar dirawat tetapi apa yang kami boleh lakukan ialah mengurus simptom seperti menggunakan splin untuk memperbetulkan jajaran sendi dan melegakan rasa sakit, suntikan steroid untuk menyusutkan keradangan atau suntikan asid hialuronik yang berfungsi sebagai pelincir untuk mengurangkan geseran pada sendi yang terkesan,” katanya.

Dr Liew berkata pesakit juga boleh menguruskan kemunculan awal osteoartritis dengan menggunakan tuaman sejuk atau panas untuk melegakan kesakitan, mengurangkan berat badan bagi mengurangkan sel yang pro radang dalam tubuh selain daripada pengubahsuaian gaya hidup seperti menggantikan tombol pintu dengan hendal, tidak memakai baju dan seluar yang menggunakan butang dan melakukan senaman ringkas untuk menguatkan tangan.  

Beliau berkata jika semuanya gagal doktor akan melakukan pembedahan seperti   pembedahan  arthroscopic, pembedahan pembetulan jajaran atau dengan menggantikan sendi dengan sendi palsu. 

“Pada osteoarthritis awal ibu jari, kami boleh melakukan pembedahan  arthroscopic untuk membersihkan sendi bagi mengurangkan keradangan dan kesakitan tetapi jika jari-jari sudah menjadi cacat kami akan mengusahakan pembedahan pembetulan jajaran atau melakurkan sendi-sendi yang terjejas.  Melakurkan sendi-sendi akan menyebabkan sendi-sendi berkenaan tidak boleh dibengkokkan lagi.

Setelah memikirkan semua, nasihat saya ialah mendapatkan rawatan awal jika anda mengalami kekejangan, kesakitan, bintil atau bengkak pada tangan anda biarpun anda tidak merasa sakit. Dengan mendapatkan rawatan awal, kecacatan boleh dielakkan, bahkan mengelakkan pembedahan yang mahal,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -