Ancaman harimau: K’jaan Kelantan ambil tindakan sewajarnya

- Advertisement -

SAYA mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan khususnya kepada En. Mohamad Hafid Rohani, Pengarah Perhilitan Kelantan kerana berjaya menangkap seekor harimau belang di Pos Pasik, Gua Musang kelmarin. 

Walau bagaimanapun belum dapat dipastikan lagi adakah harimau yang sama yang telah menyerang mangsa beberapa hari lepas.

Saya telah dimaklumkan oleh pegawai PERHILITAN ada beberapa faktor mengapa kerap berlaku kes konflik dan serangan harimau terhadap manusia akhir-akhir ini. 

Antaranya adalah habitat asal haiwan terancam dengan aktiviti manusia dan kawasan rayau semakin mengecil. 

Antaranya lagi kerana haiwan tersebut mengajar anaknya memburu ataupun keluar mencari pasangan di musim mengawan. 

Kes serangan harimau ini menyebabkan ketakutan masyarakat setempat dan terutamanya kehidupan masyarakat Orang Asli terjejas. 

Untuk itu adalah dinasihatkan supaya pekerja-pekerja ladang keluar secara berkelompok dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. 

Kerajaan Negeri Kelantan akan bekerjasama dengan semua pihak terutamanya PERHILITAN bagi menjaga keselamatan penduduk dan dalam masa yang sama juga menjaga hidupan liar ini.

YB DATO’ DR MOHAMED FADZLI HASSAN
Timbalan Menteri Besar Kelantan – HARAKAHDAILY 15/11/2023 

- Advertisement -
- Advertisement -