Perdana Menteri salah guna kuasa lakukan rasuah dan ugutan

Persoal SPRM tidak mengambil sebarang tindakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim disifatkan sedang menyalahgunakan kuasa dengan melakukan sogokan atau suapan rasuah serta ugutan terhadap Ahli-ahli Parlimen pembangkang bagi mengukuhkan kedudukannya.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perbuatan seumpama malah pernah dilakukan oleh Anwar semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan telah disabitkan bersalah pada tahun 1998.

Beliau turut mengakui diberi tekanan seperti itu termasuk juga dialami Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional yang lain ketika bersama mengadakan sidang media khas di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyiasat laporan yang telah dibuat dan memaklumkan laporan susulan juga akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahmad Fayhsal terdahulu menzahirkan kekecewaannya terhadap Menteri Dalam Negeri, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution yang menjawab tiada laporan polis dibuat berhubung isu sedang terjadi itu.

Menurut beliau, jawapan Saifuddin itu telah mengelirukan Dewan sedangkan laporan polis berkenaan sogokan dan ugutan diterima Ahli-ahli Parlimen PN telah dibuat termasuk oleh ARMADA BERSATU.

Laporan tersebut merujuk kepada perkara dialami empat Ahli Parlimen PN daripada BERSATU iaitu Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang dan juga Jeli khususnya dan juga beberapa lagi.

“Jelas keempat-empat Ahli Parlimen tersebut telah didesak ditekan dan diugut dengan tindakan SPRM jika enggan memberi sokongan. Hal ini jelas merupakan satu salah guna kuasa oleh Perdana Menteri dan satu bentuk rasuah. 

“Tindakan ini juga menghina peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkenaan undang-undang lompat parti dan bercanggah dengan amalan demokrasi. Tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak kepimpinan SPRM.

“Terutama sekali (Ketua Pesuruhjaya) Tan Sri Azam Baki yang sendiri terpalit dengan pelbagai masalah integriti sehingga takut untuk melaksanakan tanggungjawab membanteras rasuah di bawah Akta SPRM. 

“Sebaliknya kepimpinan SPRM mengabaikan sumpah jawatan mereka. Pada hal ini melibatkan kerajaan PMX. Dan mereka takut kesan terhadap diri sendiri, ini akan merosakkan institusi negara. Saya mohon polis, menyiasat dan mengambil tindakan.

“(Iaitu) Terhadap keempat-empat Ahli Parlimen tersebut, Perdana Menteri kita dan pegawai-pegawainya serta kepimpinan SPRM yang bersubahat dalam kesalahan-kesalahan berikut. 

“Di bawah Akta SPRM, di bawah kanun keseksaan, (di mana) banyak sekali masalah-masalah undang-undang yang dilanggar,” ujarnya membacakan laporan tersebut. – HARAKAHDAILY 14/11/2023 

- Advertisement -
- Advertisement -