Isu Nik Elin selari dengan agenda negara sekular DAP

- Advertisement -

PADA 25 Mei 2022, Nik Elin Zurina Nik Abul Rashid telah memfailkan permohonan untuk membatalkan 21 kesalahan jenayah Syariah Negeri Kelantan. 

Antaranya termasuk liwat, persetubuhan dengan mayat dan bukan manusia, musnahkan tempat ibadat, judi, arak dan banyak lagi. Permohonan itu bersandarkan kepada keputusan kes Iki Putra. Bahawa Negeri Kelantan tiada kuasa untuk buat undang-undang tersebut. 

Pendengaran kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid ditetapkan pada 17 Ogos 2023. Kalau Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan permohonan tersebut, maka 21 kesalahan tersebut akan dibatalkan. 

Saya melihat permohonan ini seiringan dengan agenda negara sekular DAP.

Negara sekular

Pada September baru ini, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Syahredzan Johan berkata; [1] 

“Apabila kita kata kerangka sekular, itu maknanya apa-apa undang-undang sekalipun termasuk yang libatkan Islam atau Undang-undang Syariah dan sebagainya, perlu melalui satu proses sekular.

“Apa dia proses sekular itu, maknanya kita perlu bentangkan di Parlimen, diluluskan oleh majoriti ahli Parlimen tak kira Ahli Parlimen itu beragama Islam atau bukan-Islam.

“Sama juga dekat negeri-negeri. Kalau ada satu enakmen nak diluluskan yang berkenaan dengan Undang-undang Syariah, ia juga perlu melalui proses sekular yang sama,” katanya.

Beliau menyatakan lagi, usaha untuk memulihkan kerangka sekular dalam Perlembagaan Persekutuan itu langsung tidak membawa maksud untuk menafikan mana-mana asas Perlembagaan Persekutuan termasuk peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan di dalam negara.

Perlembagaan DAP

Di dalam Perlembagaan DAP Fasal II (Matlamat) menyatakan;

Mengesahkan lagi dan ‘memulihkan’ Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia.

Berdasarkan Perlembagaan ini, dan dibandingkan dengan kenyataan Syahredzan, saya melihat bahawa Perlembagaan Persekutuan sekalipun masih meletakkan Islam sebagai agama rasmi, ia terbuka untuk dipinda.

Pindaan tersebut melalui proses demokrasi seperti biasa di parlimen. Sekiranya majoriti bersetuju untuk mengurangkan pengaruh Islam dalam Perlembagaan contohnya, maka pengaruh Islam akan mengurang sekalipun Islam masih sebagai agama rasmi.

Takrif Islam vs sekular

Pada pendapat saya, takrifan Islam itu perlu difahami dengan jelas. Begitu juga DAP haruslah menjelaskan secara transparent maksud sekular pegangan mereka. 

Takrifan Islam manakah yang dipegang oleh DAP? Dan sekular tahap manakah yang diperjuangkan?

Adakah Islam yang dipegang oleh mereka hanya dengan maksud ritual atau kepercayaan dengan maksud religion? Sekiranya mereka berpegang maksud ini, hakikatnya ia adalah maksud yang salah, yang telah pun disekularkan.

Islam yang sebenarnya adalah sebuah sistem hidup, sama ada individu, keluarga, masyarakat dan negara. Dalam perkara ini, mungkin boleh kemukakan ilmuan Islam dalam DAP yang bersedia untuk berdialog.

Begitu juga perkataan sekularisme. Adakah DAP hanya berpegang sekularisme itu sekadar maksud kesamarataan dan kebebasan? Sedangkan sejarah kemunculan sekularisme itu diselubungi dengan tidak percaya kepada kewujudan Tuhan (atheisme).

Begitu juga konsep negara sekular yang mereka perjuangkan. Adakah semata-mata ingin menjunjung demokrasi? Atau mengheret kepada terhakisnya pengaruh Islam (dengan maksud sistem) di Malaysia? 

Sekularisme dan atheisme

Suka untuk saya kongsikan satu komentar oleh Frans du Plessis mengenai persoalan adakah sekularisme berkaitan dengan atheisme (tidak percaya kepada Tuhan)? [2] 

Beliau menyatakan bahawa secara ‘rasmi’ kedua duanya tidak berkaitan. Ini kerana takrifan sekular sekadar membebaskan pemerintahan daripada mana-mana pengaruh agama. [3]

Namun, beliau bersetuju jika ditakrifkan dalam kehidupan seharian, sekularisme itu berkaitan dengan atheisme. Antaranya;

Sekularisme tidak menggalakkan penindasan agama. Sebaliknya, ia menggalakkan kebebasan beragama dan kebebasan daripada agama, bermakna anda boleh menyembah mana-mana tuhan jika anda memilih untuk menyembah mana-mana. 

Negara sekular tidak semestinya negara tidak beragama, dan ia sememangnya boleh menjadi sangat beragama. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, negara sekular cenderung menjadi bukan agama.

Beliau mengemukakan sandaran bahawa negara-negara yang kurang tahap korup dan rasuah adalah negara-negara sekular.

Katanya “Trendnya ialah negara-negara sekular yang berjaya menjadi semakin tidak beragama kerana mereka menyedari bahawa tuhan-tuhan dan agama tidak diperlukan untuk mewujudkan masyarakat toleran yang aman yang menjaga rakyatnya dengan baik”.

Jadi dalam persoalan adakah sekularisme itu berkaitan dengan atheisme, jawapan beliau adalah “Ya, terdapat hubungan. Bahkan sekularisme sering membawa kepada bukan agama.”

Berbalik kepada isu Nik Elin

Dalam isu ini, saya berpendapat apa yang dibawa oleh DAP bukan sekadar sekular dengan maksud sama rata, demokrasi, tetapi ia mengheret kepada melahirkan masyarakat yang tidak berTuhan, dan negara yang tiada langsung pengaruh Islam.

Berbalik kepada isu Nik Elin, saya melihat permohonan yang difailkan itu selari dengan agenda negara sekular yang dikemukakan oleh DAP. 

Enakmen Jenayah Syariah hanya dikhususkan kepada masyarakat yang beragama Islam. Di dalam Islam, ada perkara perkara yang diwajibkan, dan ada perkara yang diharamkan.

Apabila kewajipan dan larangan ini diangkat menjadi sebuah sistem dan undang-undang, maka lahirlah penguatkuasaan terhadapnya. Contohnya orang Islam dilarang berjudi. Siapa yang didapati berjudi akan didakwa.

Sekularis secara umumnya, melihat undang-undang dan penguatkuasaan seperti ini akan mencetuskan semacam paksaan ke atas orang Islam. Peraturan Allah S.W.T yang dianggap paksaan ini, mereka anggap sebagai satu kongkongan.

Bahkan, jika dikaitkan dengan pengertian Islam mengikut terjemahan sekular, Islam hanya sekadar anutan, ritual dan sebagainya. Sekularis anggap ia sekadar peraturan untuk individu. 

Bahkan menurut mereka, individu wajar diberi kebebasan sama ada nak ikut aturan tersebut, atau bertukar ke agama lain. Maka, jika perkara ini dibiarkan, ia akan mengheret kepada gejala murtad yang tidak terbendung.

DAP anti Islam?

Islam hakikatnya adalah sebuah sistem, yang dibentuk untuk melahirkan masyarakat yang terbaik. Iaitu masyarakat yang beracuankan sistem tuhan. Sistem tuhan adalah sistem terbaik, yang dibuktikan dengan ciptaan alam ini.

Alam ini dicipta oleh Allah S.W.T dengan keseragaman dan sistem yang menakjubkan. Dengan kehebatan ciptaan ini, mana mungkin Allah S.W.T tak mampu buat sistem untuk manusia.

Kesan penjajahan dalam mensekularkan maksud Islam, menyebabkan rakyat Malaysia sehingga kini memahami Islam itu sekadar anutan, kepercayaan dan ritual. Tidak melihat Islam itu sebagai sebuah sistem.

DAP pernah menyatakan mereka tidak anti Islam. Soalannya, adakah mereka faham apa itu Islam yang sebenar? Atau yang mereka faham itu adalah Islam yang telah disekularkan?

Mereka katakan mereka tidak Anti Islam, akan tetapi mereka kemukakan konsep negara sekular. 

Islam jika ditakrifkan secara sekular, memanglah tidak bertembung dengan konsep negara sekular. Sebaliknya, konsep ini bertentangan dengan takrifan Islam yang sebenar, sepertimana saya nyatakan tadi. 

Ada yang mendakwa bahawa Islam tidak akan tergugat dengan negara sekular. Ya, kalau Islam itu difahami secara sekular, memanglah tidak tergugat.

Tetapi kalau Islam itu difahami dengan cara yang sebenar, ia diancam oleh fahaman sekularisme, dan konsep negara sekular. Dalam bab ini, perlu kembali meneliti maksud Islam yang sebenar.

Kesimpulan

1. Saya berpendapat isu yang dikemukakan oleh Nik Elin selari dengan agenda dan perjuangan DAP membawa konsep negara sekular. 

2. Pentakrifan Islam harus difahami dengan maksud yang sebenar, bukannya dengan maksud yang digambarkan oleh sekularis.

3. Islam yang sebenar, pastinya bertembungan dengan agenda sekularisme atau konsep negara sekular.

MUHAMMAD MUJAHID IR HAJI MOHAMMAD FADZIL
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak
PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 14/11/2023

Rujukan:

[1] https://majoriti.com.my/berita/2023/09/20/agenda-negara-sekular-dibawa-dap-tidak-gugat-kedudukan-islam-agama-persekutuan-bawah-perlembagaan 

[2] https://www.quora.com/Is-secularism-related-to-atheism 

[3] Sekularisme ialah prinsip pengasingan institusi kerajaan dan orang yang diberi mandat untuk mewakili negara daripada institusi agama dan pembesar agama. Salah satu manifestasi sekularisme ialah menegaskan hak untuk bebas daripada peraturan dan ajaran agama, atau, dalam negara yang diisytiharkan berkecuali dalam hal kepercayaan, daripada pengenaan oleh kerajaan agama atau amalan agama ke atas rakyatnya. Satu lagi manifestasi sekularisme ialah pandangan bahawa aktiviti dan keputusan awam, terutamanya politik, tidak boleh dipengaruhi oleh kepercayaan dan/atau amalan agama.

‘Negara sekular’ ialah konsep sekularisme, di mana sesebuah negara adalah atau dikatakan berkecuali secara rasmi dalam hal agama, tidak menyokong agama mahupun tidak beragama. Sebuah negara sekular juga mendakwa untuk melayan semua warganya secara sama rata tanpa mengira agama, dan mendakwa untuk mengelakkan layanan keutamaan terhadap warganegara daripada agama atau bukan agama tertentu berbanding agama atau bukan agama lain. Negara sekular tidak mempunyai agama negara (agama yang ditubuhkan) atau setara, walaupun ketiadaan agama negara tidak semestinya bermakna sesebuah negara itu sekular sepenuhnya; walau bagaimanapun, negara sekular yang benar harus teguh mengekalkan pemerintahan negara tanpa pengaruh puak agama; iaitu pemisahan gereja dan negeri. 

PENAFIAN:
em>HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -