KOTA BHARU: Rakyat Kelantan tidak boleh membiarkan gelombang jahiliah mengganggu gugat dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang diterapkan kerajaan negeri sejak lebih 30 tahun lalu.
Anggota Exco kerajaan negeri Mohd Asri Mat Daud berkata, gelombang jahiliah tersebut perlu dihapus daripada terus membiak.
“Di bawah kerajaan MBI kita akan terus mempertahankan syariat Islam dan tidak membenarkan sesiapa pun mencabar.
“Kerajaan negeri sejak daripada awal pemerintah PAS menobatkan Enakmen Kanun Syariah, di mana pada 7 Mei 1992 Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menulis surat kepada Perdana Menteri untuk melaksanakan sebahagian daripada perundangan Islam
“Dan pada 21 Mac 1994 sekali lagi Menteri Besar mengutus surat kepada Perdana Menteri untuk menguatkuasa Enekmen Kanun Jenayah Syariah (KJS) II,” katanya pada sambutan Hari Hududullah di Balai Islam hari ini.
Sambutan tahunan itu dirasmikan Menteri Besar Dato’ Pangliman Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Dr Mohamed Faziharuden Tengku Faissal, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan Ketua Polis Kelantan Dato’ Zaki Harun.
Bagaimanapun Mohd Asri berkata, biarpun KJS II dilulus di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, namun ia tidak dapat dilaksanakan sehingga sekarang.
Menurutnya juga golongan yang membuat kerosakan di muka bumi terdapat kumpulan iaitu alim yang menggunakan ilmu untuk kemashalatan diri sendiri dan bukan untuk masyarakat.
Kedua, golongan orang yang tiada ilmu, namun berlagak seperti orang alim dan berilmu.
“Sebab itulah kita tidak mahu ada pihak bersandiwara untuk mempertahankan Enakmen Jenayah Syariah. Malah ulama terkenal Allahyarham Dr Yusof Qaradawi pernah menyebut kamu perlu serius mempertahankan syariah.
“Perbuatan mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah merupakan golongan yang kufur di mana mereka telah menghimpunkan kekuatan.
“Maka tidak hairanlah tiba-tiba ada pihak yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah I dan kes tersebut sedang berjalan. Dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mempertahankan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/11/2023