Israel: Penunggu syaitan besar, penghalang kebangkitan semula Islam

- Advertisement -

GENAP sudah satu abad kejatuhan Islam sebagai kuasa besar dunia dan penyelamat manusia secara rasmi pada tahun 1924. Namun demikian, sejarah kedatangan Islam sewaktu berkuasa tetap dikenang kerana berjaya menyelamatkan semua penduduk negeri yang ditindas daripada kezaliman pemerintah yang terdiri daripada kalangan bangsa mereka sendiri.

- Advertisement -

Keadaan ini disebabkan Islam tidak datang menjajah dan memaksa penduduk pelbagai agama dan bangsa. Hal ini demikian kerana, dalam konsep Islam tiada paksaan untuk beragama dan berbangsa, bahkan hendaklah berlaku adil kepada semua.

Hal ini sangat berbeza dengan kedatangan penjajah Eropah yang membunuh penduduk asal negeri yang dimasukinya kerana mahu merompak kekayaan negeri yang dijajah dan memperhamba rakyatnya. Ini dibuktikan dalam catatan sejarah penubuhan negara Barat ditegakkan di atas mayat penduduk asal yang dibunuh seperti binatang atau ditawan menjadi hamba yang dijual manakala harta negerinya pula dicuri dan dirompak.

Kini, merekalah yang lantang membuat kenyataan berkenaan hak asasi manusia dan kebebasannya atas jenama kebebasan dan demokrasi.

Mereka berjaya menjatuhkan Khilafah ‘Uthmaniyyah kerana kelemahan pemerintahannya pada era mutakhir, digantikan dengan negara sekular yang meminggirkan Islam berdaulat dengan bertaklid kepada agama Kristian yang telah diselewengkan di Eropah.

Penjajah gagal menghapuskan kebangkitan umat Islam menentang mereka, kerana cahaya Islam tidak mampu dipadamkan. Maka, dirancang strategi bagi menghalang tertegaknya semula kerajaan Islam yang berdaulat dengan menukar sistem sedia ada kepada sistem sekular apabila mereka terpaksa memberi kemerdekaan kepada tanah umat Islam.

Antara strategi yang dilakukan ialah menerapkan apa sahaja bentuk ideologi selain daripada Islam, sama ada berhaluan kanan ataupun kiri. Ia dilaksanakan oleh orang Islam yang diasuh dengan sistem pendidikan dan pelajaran yang dijadikan senjata serangan pemikiran. Mereka dilantik menjadi ketua negara, sama ada secara demokrasi yang menipu atau diktator yang memaksa, asalkan Islam tidak berkuasa.

Peranan kumpulan yang menentang Islam itu diteruskan sejak mereka berjaya menjatuhkan kerajaan Islam tanpa mengira mazhab dan bangsa.

Pada ambang kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyyah, telah berjaya diselaraskan gerakan Islam bagi menentang penjajah oleh Syeikh Jamaluddin al-Afghani, dan muridnya Syeikh Muhammad ‘Abduh, serta Ayatullah al-Kashani dan lain-lain. Seterusnya, berjaya melahirkan para pemimpin gerakan Islam di negara-negara Arab, Asia dan Afrika, termasuk di Iran yang bermazhab Syiah. Semuanya bergabung tanpa mengira mazhab dan bangsa.

Kita seharusnya mengambil iktibar daripada khalifah keempat, ‘Ali RA dalam menghadapi zaman fitnah yang melahirkan golongan Syiah yang fanatik terhadapnya, golongan Khawarij yang melampau menentangnya, bughah (penderhaka) terhadapnya, dan terdapat juga mereka yang terpengaruh dengan kesesatan.

Adapun pendirian yang sebenarnya harus dipegang ialah tidak menghukum seseorang itu sesat dengan mudah, tetapi melakukan islah supaya semuanya kembali kepada Islam yang sebenar. Inilah pendekatan yang wajib dikembalikan semula, bukannya menjatuhkan hukuman tetapi mengajak bersatu bersama Islam. Kelompok yang salah dan sesat ditashihkan, adapun kelompok yang melampau pula disederhanakan.

Prinsip ini berpandukan petunjuk Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya), dan Uli al-Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Oleh yang demikian, perkara itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik kesudahannya.” [Surah al-Nisa’: 59]

Firman Allah SWT:

﴿وَإِن طَآئِفَتَانِ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱقۡتَتَلُواْ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَاۖ فَإِنۢ بَغَتۡ إِحۡدَىٰهُمَا عَلَى ٱلۡأُخۡرَىٰ فَقَٰتِلُواْ ٱلَّتِي تَبۡغِي حَتَّىٰ تَفِيٓءَ إِلَىٰٓ أَمۡرِ ٱللَّهِۚ فَإِن فَآءَتۡ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَهُمَا بِٱلۡعَدۡلِ وَأَقۡسِطُوٓاْۖ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٩ إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ١٠﴾

“Dan jika ada dua golongan daripada mereka yang beriman itu berperang, hendaklah kamu damaikan antara kedua-duanya. Tetapi jika salah satunya melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah mereka yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sehingga mereka kembali patuh pada perintah Allah. Jika mereka kembali patuh, maka damaikanlah antara kedua-duanya dengan adil, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil. (9) Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Maka, damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua orang saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat.” [Surah al-Hujurat: 9-10]

Kemudian, kumpulan gerakan Islam ditubuhkan di setiap wilayah Islam memakai berbagai-bagai jenama seperti Sarekat Islam, Majlis Syura Muslimin (Masyumi), Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan lain-lain di Asia Tenggara, Jamaah Tabligh dan Jamaat Islami di benua India, Ikhwan al-Muslimin di negara Arab, Fida’iyyan Islam di Iran, Jamaah al-Nur dan Parti Refah di Turki dan lain-lain.

Semasa belajar di Saudi pada era pemerintahan Raja Faisal RH, saya menyaksikan para ulama’ dan pemimpin bertemu di musim haji memberi ceramah dan buku-buku karangan mereka di maktabah Saudi secara bebas. Antaranya tulisan Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, Abu al-A‘la al-Mawdudi, Ayatullah Muhammad Baqir al-Sadr, Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi dan lain-lain daripada semua mazhab yang muktabar dan dianggap ahli Kiblat.

Semua karya itu dapat dibaca dan dijadikan perbincangan, bahkan sebahagiannya menjadi teks pengajian, usrah dan muzakarah. Keadaan ini berterusan sehinggalah Raja Faisal ditembak, lalu gugur syahid selepas mencadangkan supaya disekat hasil minyak yang disalurkan ke negara Barat ketika perang tahun 1973 kerana perbuatan mereka membekalkan senjata kepada Israel. Namun begitu, Shah Iran tidak memberi sokongan, sebaliknya berpihak kepada Israel.

Pada masa yang sama, semua kumpulan Islam tersebut bersatu dengan berjihad di Palestin secara kecil-kecilan tanpa diputuskan secara bertali arus sejak penubuhan negara haram Israel.

Setelah dilaksanakan perjanjian Sykes-Picot dan beberapa perjanjian yang lain, mereka mengambil tindakan terhadap tanah air umat Islam dengan membahagikannya kepada kalangan kuasa penjajah Eropah. Sebahagiannya dikawal oleh penjajah British, sebahagiannya oleh Perancis, sebahagian lagi oleh Belanda dan sebahagian lagi di bawah negara Komunis yang bergabung dalam Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Apabila terpaksa diberi kemerdekaan, maka perancangan penubuhan negara sekular yang disebutkan di atas dilaksanakan dengan negara kuasa besar penjajah itu mengawal negeri bekas jajahan masing-masing agar terus berada di bawah pengaruhnya. Dalam pada itu, diadakan pangkalan tentera di wilayah strategik dari segi ekonomi dan politik penjajah bagi mengawal negara-negara yang dicipta mengikut pembahagian itu.

Asia Barat merupakan wilayah yang paling strategik dari segi politik, ekonomi dan ketenteraan, maka diadakan pangkalan tentera di kawasan itu. Penubuhan negara haram Israel bukan sahaja meluluskan perjuangan Zionis pelampau perkauman Yahudi, bahkan juga menjaga kepentingan negara besar penjajah.

Iran pada zaman Shah adalah gabungan Israel yang menjadi benteng pertahanan blok Barat sewaktu era Perang Dingin. Walau bagaimanapun, Revolusi Islam Iran telah menukar Iran menjadi Republik Islam Iran, seterusnya memberi ancaman kepada blok Barat dan Israel yang menjadi benteng pertahanannya tanpa mengira sama ada bermazhab Syiah atau Sunni.

Sementara itu, antara gerakan Islam antarabangsa sudah berlakunya hubungan awal sesama mereka, khususnya apabila Imam Khomeini mengisytiharkan agenda perpaduan umat, seterusnya mengharamkan Israel dan bersedia menghapuskannya.

Saya pernah melawat kedutaan Amerika di Tehran yang ditawan selepas Revolusi Islam dan melihat banyak pendedahan menunjukkan Iran pada zaman Shah menjadi pusat Central Intelligence Agency (CIA) memantau negara-negara Arab dan Islam. Adapun Israel pula menjadi syaitan pengawas bagi pihak kuasa besar.

Strategi adu domba yang pernah menjatuhkan Khilafah Islamiah diulang semula dengan wajah baharu dan konsep yang sama iaitu perbezaan kaum dan mazhab antara Sunni dan Syiah. Strategi ini dilakukan melalui negara Arab dan rakyatnya yang bersifat sekular dan fanatik perkauman sehingga mencetuskan Perang Teluk yang berulang.

Bermula dengan penubuhan Tanzim Jihad pada awal 80-an, diikuti selepasnya Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas) daripada kalangan Sunni di Palestin dan Hizbullah di Lubnan, maka gerakan Islam berjaya disatukan bagi menghadapi Israel dan sekutunya.

Hamas berjaya memenangi pilihan raya demokrasi dan menguasai wilayah Gaza, manakala Hizbullah juga menguasai Selatan Lubnan melalui pilihan raya. Dua kawasan ini menjadi pangkalan yang besar dan kuat di luar ramalan mereka, di samping Republik Islam Iran yang berada dalam saf yang dinamakan Muqawamah Islamiyyah. Mereka membina kekuatan baharu bagi menentang Israel sekali gus mendedahkan Amerika dan sekutunya dalam saf Ahzab baharu yang cuba menentang kebangkitan semula umat Islam untuk kembali menguasai dunia.

Serangan bernama Taufan al-Aqsa yang dimulakan oleh Hamas daripada kelompok Sunni Palestin didukung oleh semua gerakan Islam dan umat Islam, tanpa mengira kaum dan mazhab. Keadaan ini menjadi ujian kepada umat Islam Ahli Kiblat (menghadap kiblat), sama ada mereka beriman, lemah iman dan bodoh atau munafiq. Begitu juga kepada bukan Islam yang tidak melampau yang bersimpati atas sifat fitrah kemanusiaan atau melampau tanpa perikemanusiaan bersama Zionis.

Situasi terkini menterjemahkan firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا١١﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepada kamu tentera-tentera (Ahzab), lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya. Dan Allah Maha Melihat akan apa-apa yang kamu kerjakan. (9) (Iaitu) ketika mereka datang kepada kamu dari atas dan dari bawah kamu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatan (kamu) dan hati kamu naik menyesak sampai di tenggorokan, dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam purbasangka. (10) Di situlah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hatinya) dengan goncangan yang sangat dahsyat. (11)” [Surah al-Ahzab: 9–11]

Firman Allah SWT dalam ayat seterusnya:

﴿وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا١٢﴾

“Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’” [Surah al-Ahzab: 12]

Firman Allah SWT lagi:

﴿۞قَدۡ يَعۡلَمُ ٱللَّهُ ٱلۡمُعَوِّقِينَ مِنكُمۡ وَٱلۡقَآئِلِينَ لِإِخۡوَٰنِهِمۡ هَلُمَّ إِلَيۡنَاۖ وَلَا يَأۡتُونَ ٱلۡبَأۡسَ إِلَّا قَلِيلًا١٨﴾

“Sesungguhnya, Allah mengetahui orang-orang yang menghalang-halangi antara kamu dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya, ‘Marilah kepada kami.’ Dan mereka tidak mendatangi peperangan melainkan sebentar.” [Surah al-Ahzab: 18]

Seterusnya, firman Allah:

﴿لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا٢١ وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَٰنٗا وَتَسۡلِيمٗا٢٢ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا٢٣﴾

“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (21) Dan tatkala orang-orang Mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata, ‘Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita.’ Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali keimanan dan ketundukan. (22) Antara orang-orang Mukmin itu, ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka antara mereka ada yang gugur. Dan antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak mengubah (janji mereka) sedikit pun. (23)[Surah al-Ahzab: 21-23]

Perkembangan terkini akhirnya memecah keraguan yang diadakan oleh syaitan yang meragukan, apabila berlakunya penapisan daripada Allah daripada peristiwa Ahzab yang dinyatakan oleh al-Quran, petunjuk yang kekal sepanjang zaman. Peristiwa ini mendedahkan siapa yang benar-benar beriman, golongan munafiq, mereka yang lemah imannya yang terpengaruh dengan munafiq dan menjadi penakut dengan berbagai-bagai alasan yang salah.

Firman Allah SWT:

﴿الٓمٓ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ٣ أَمۡ حَسِبَ ٱلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلسَّيِّ‍َٔاتِ أَن يَسۡبِقُونَاۚ سَآءَ مَا يَحۡكُمُونَ٤﴾

“Alif, Laam, Miim. (1) Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (2) Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benar beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta. (3) Bahkan, patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas daripada azab Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu. (4)” (Surah al-‘Ankabut: 1-4)

Semuanya mendedahkan diri apabila syaitan penunggu bernama Israel menjelma, maka datang syaitan besar membawa bala tentera Ahzab yang ramai jumlahnya dan banyak senjatanya. Namun begitu, mereka tidak mampu menghadapi kekuatan iman yang tidak boleh dipadamkan.

Firman Allah SWT:

﴿وَإِذۡ زَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيۡطَٰنُ أَعۡمَٰلَهُمۡ وَقَالَ لَا غَالِبَ لَكُمُ ٱلۡيَوۡمَ مِنَ ٱلنَّاسِ وَإِنِّي جَارٞ لَّكُمۡۖ فَلَمَّا تَرَآءَتِ ٱلۡفِئَتَانِ نَكَصَ عَلَىٰ عَقِبَيۡهِ وَقَالَ إِنِّي بَرِيٓءٞ مِّنكُمۡ إِنِّيٓ أَرَىٰ مَا لَا تَرَوۡنَ إِنِّيٓ أَخَافُ ٱللَّهَۚ وَٱللَّهُ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٤٨ إِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ غَرَّ هَٰٓؤُلَآءِ دِينُهُمۡۗ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٞ٤٩﴾

“Dan (ingatlah) ketika Syaitan memperhias kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata, ‘Pada hari ini, tidak ada sesiapa pun daripada umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu.’ Maka, apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), Syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata, ‘Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksa-Nya.’ (48) (Ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang mempunyai penyakit (syak) dalam hatinya berkata, ‘Orang-orang (Islam) itu telah diperdayakan oleh agama mereka (sehingga mereka berani menentang kami yang lebih besar bilangannya).’ Dan (yang sebenarnya) sesiapa yang bertawakal kepada Allah (dengan sepenuh-penuh yakin, maka Allah akan menolongnya untuk mengalahkan musuh yang lebih besar bilangannya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (49)” [Surah al-Anfal: 48-49]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Rabi‘ al-Akhir 1445 / 13 November 2023 – HARAKAHDAILY 13/11/2023

- Advertisement -