‘Mudah-mudahan anak jadi pejuang agama Allah’

- Advertisement -

MELAKA: Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ustaz Mohd Hafez Sabri menyarankan agar ibu bapa kepada pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dapat memastikan sekurang-kurangnya seorang anak menceburi bidang agama.

- Advertisement -

“Tolong jagalah anak kita dengan baik. Tuan-tuan pastikan walau macam mana pun, kita kena usahakan di rumah kita mesti ada seorang anak kita yang sentiasa berhubung dengan Allah SWT.

“Mesti ada seorang anak kita yang kita jaga betul-betul, (itu) paling-paling tidak tuan-tuan. Kalau boleh semua kita nak anak kita bidang agama. Kalau boleh semua bidang agama tuan-tuan. 

“Tapi tuan-tuan, jika tidak ada kemampuan paling-paling tidak ada seorang anak kita yang boleh menghafal Al-Quran 30 juzuk Al-Quran dalam dadanya insya-Allah,” katanya semasa berucap merasmikan majlis penutup Alam Ria PASTI Peringkat Negeri Melaka, di Dewan Ar-Rahmat , di sini, hari ini.

Menurut beliau perkara itu penting kerana anak-anak seperti itu akan memberi syafaat kepada ibu bapa di akhirat kelak.

“Tuan-tuan, anak-anak kita waktu ini dah kenal Islam, kenal Allah, kenal Rasul, boleh baca al-Quran, boleh baca hadis. Tuan-tuan, anak-anak tuan-tuan, tuan-tuan kena tengok betul-betul. Kadang-kadang kita pun menangis tuan-tuan.

“Menangis, menitik air mata kita. Mereka dah hafal banyak doa tuan-tuan. Mereka hafal banyak hadis,” ujarnya.

Beliau yang juga ADUN Manjoi juga berharap agar para ibu bapa dapat mengekalkan segala ilmu agama yang telah diperolehi sepanjang mereka berada di PASTI.

“Tuan-tuan jagalah anak kita baik-baik. Kekalkan Al Quran dalam jiwa mereka; kekalkan hadis dalam jiwa mereka; pupukkan rasa cinta kepada Allah dan Rasul dan jiwa mereka.

“Dan tuan-tuan dan puan-puan, mudah-mudahan anak-anak tuan-tuan menjadi para pejuang agama Allah pada masa depan insya-Allah,” ujarnya.

Turut berucap di dalam majlis itu ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Muhamat Puhat Bedol yang mewakili Pesuruhjaya, Tuan Guru Zulkifli Ismail, Ketua Dewan Pemuda dan Pengarah PASTI negeri, Ustaz Zulhimi Suboh dan Melaka dan Ustaz Mohd Norfaizal Nordin.

Acara yang dipertandingkan iaitu Hafazan Lelaki; Hafazan Perempuan; Azan; Khutbah Jumaat; Bercerita Lelaki; Bercerita Perempuan; Pidato; Sajak Lelaki; Sajak Perempuan; dan dua acara berkumpulan iaitu Kalam Jama’ie dan Nasyid.

Pertandingan melibatkan enam Kawasan PASTI seluruh Melaka iaitu Kawasan Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya, Kota Melaka dan Jasin.

PASTI Kawasan Hang Tuah Jaya telah diumumkan sebagai juara keseluruhan setelah berjaya menggondol johan bagi lima daripada sembilan kategori yang dipertandingkan selain satu anugerah tambahan iaitu Anugerah Konduktor Kalam Jamaie terbaik yang dianugerahkan kepada Adik Hadis Nor Islam Mohd Taqwa Ferlani. – HARAKAHDAILY 11/11/2023

- Advertisement -