‘Bukan-Melayu berdehem sepatah sahaja, kecut habis’

Sanusi bidas sikap pemimpin Melayu-Islam dalam Kerajaan Anwar

- Advertisement -

KEMAMAN: Kesatuan Melayu-Islam terdahulu di Nusantara ini walaupun berada di negara terpisah iaitu Tanah Melayu dan Indonesia, namun telah bangkit berjuang hingga ada yang terkorban nyawa demi memerdekakan bangsa daripada penjajah.

Melaka pula kerana besar kepentingannya di Nusantara sebagai bandar perdagangan dan pernah melaksanakan Kanun Syariah Islam, semangat itu menyebabkan ia dipilih untuk pengumuman kemerdekaan dilakukan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengupas sejarah lalu yang dibandingkannya dengan situasi kini dalam Ceramah Perdana Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) PRK P.040 Kemaman di Padang Astaka Cukai, di sini malam tadi.

“Besarnya empayar Kerajaan Islam Melaka masih menjadi idola, masih menjadi idaman, masih menjadi igauan untuk kita (umat Melayu-Islam) ulangi lagi pada tahun 1957 itu. Kehebatan raja-raja Melayu, sistem pemerintahan kita, sistem percukaian kita.

“Pentadbiran, kemakmuran, kehebatan, perdagangan, ekonomi semuanya makmur di zaman kesultanan dan kehebatan empayar Melaka. Mari tahun 1957 kita (umat Melayu-Islam) masih ada (semua yang disebut itu). 

“Mari tahun 2023 ni siapakah yang menentukan hala tuju negara kita? Siapakah yang menentukan apakah dasar terpenting negara Malaysia? Yang kita tubuhkan tahun 1957 itu (kini) siapa penentunya? Adakah orang Melayu? Adakah orang Islam?

“Adakah semangat pemimpin-pemimpin yang telah berfikir begitu? Keras berusaha, bertungkus lumus selepas kalahnya Jepun, selepas dihalaunya British, semua pemimpin begitu bersungguh-sungguh untuk memerdekakan negara ini.

“Selepas 66 tahun negara kita merdeka, siapakah yang menentukan masa depan negara ini?” ujar beliau yang juga Menteri Besar Kedah di hadapan ribuan hadirin pada ceramah itu.

Beliau mengemukakan situasi yang berlaku kepada Minggu Solidariti Palestin di sekolah-sekolah apabila acara, reaksi dan penampilan para pelajar telah sengaja disalah erti oleh pihak-pihak tertentu.

Katanya, dengan pemimpin bukan-Melayu daripada DAP dan PKR ‘berdehem’ sahaja, Menteri-menteri Melayu di dalam kerajaan sudah menarik ‘handbrake’ dan melarang takbir, dan qunut nazilah.

Bidasnya, perkara itu amat memalukan berbanding perjuangan nenek moyang kita terdahulu yang hanya belajar pondok tahun 1930-an hingga 1945 tetapi bergerak seluruh negara meniupkan semangat cinta agama, bangsa dan tanah air.

“(Pemimpin politik Melayu-Islam) Yang ada dalam kerajaan PM hari ini, mengaji universiti pak depa hebat, mak depa hebat, mengaji depa hebat, cakap pandai, (tetapi apabila) Cina berdehem saja sepatah, kecut habis semua.

“Pemimpin-pemimpin Melayu-Islam yang sebahagiannya adalah anak-anak kepada pejuang kemerdekaan. Yang belajar daripada kepayahan tok nek kita, tok wan kita, yang merdekakan negara ini.

“Hari ini bila kita memegang kuasa, kita memegang pemerintahan, orang lain berdehem, kita sudah jadi takut. Kita nak ketua macam ini? Kalau kita reda berketuakan orang macam ini, tunggulah 30 tahun lagi, anak cucu akan datang ke kubur kita, dia kencing atas kubur kita,” ujarnya.

Tegas beliau, orang-orang Melayu adalah bangsa majoriti di negara ini dan pemimpin yang telah memimpin negara dan bangsa Melayu menjadi teras kekuatan politik, ekonomi dan kestabilan negara.

Pada masa ketika yang sama katanya, atas kelembutan, kehebatan, keterbukaan hati orang-orang Melayu, maka diterima kemasukan rakan-rakan daripada negara China dan negara India.

Jelasnya, daripada negara mana pun datang, mereka dapat hidup bersama orang Melayu dalam keadaan aman dan harmoni dan mereka mendapat hak yang dijamin di bawah Perlembagaan.

“Selepas 66 tahun oleh kerana isu kemerdekaan sudah kita lepasi, sudah dilupakan, sejarahnya pun tidak diungkapkan lagi, buku-buku teks pun cuba diubah, cuba ditulis semula, buku-buku kartun untuk menggambarkan kekejaman komunis pun nak diangkat sebagai pejuang kemerdekaan.

“Sejarah sudah menjadi kacau-bilau. Maka terbentuklah satu puak di negara kita yang sekarang ini menjadi kerajaan di bawah kepimpinan PMX bercampur baur mereka ni di bawah satu kefahaman yang saya tak tahu nak simpulkan apa.

“Semua rojak duk dalam itu yang paling berkuasa dalam Kerajaan Madanon adalah DAP. Yang disokong oleh 99.9 peratus pengundi-pengundi Cina dan dianggap 99 peratus pengundi Cina yang mengundi DAP dan PH itu nothing happen,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -