Perundangan Syariah berisiko terbatal di semua 14 negeri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Undang-undang Syariah dan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang sedang dicabar pihak tertentu di Mahkamah Persekutuan, sebahagian besar akan terapung sekiranya keputusan memihak kepada mereka.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu, seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid telah mencabar 20 enakmen berkaitan yang berada di bawah kuasa Mahkamah Syariah.

Tegas beliau, kes cabaran tersebut yang menyusuli kes Iki Putra sebelum ini disifatkannya sangat serius dan implikasinya sangat besar kepada seluruh undang-undang Mahkamah Syariah di seluruh tanah air.

“Bukan hanya melibatkan akidah semata-mata tapi turut melibatkan syariat dan turut melibatkan sistem yang ada dalam perundangan Islam,” ujar beliau dalam sidang media Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) di lobi Parlimen sebentar tadi.

Terdahulu, Ahli-ahli Parlimen PN menerima serahan memorandum berkaitan yang disampaikan Presiden Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa mewakili lebih 300 NGO.

Timbalan Presiden PAS itu juga menegaskan, isu tersebut turut melibatkan bidang kuasa Raja-raja di negeri-negeri dan untuk itu himpunan besar terhadap isu akan diadakan di Terengganu, Kelantan serta Putrajaya.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula memberitahu, kes tersebut merupakan saman ke atas Kerajaan Negeri Kelantan bagi membatalkan 20 seksyen Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 2019.

“Kenapa dia minta dibatalkan? Dia kata atas alasan Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak ada kuasa untuk membuat undang-undang Syariah. Itu besarnya perkara ini sedangkan ia sedang berkuatkuasa.

“Andai kata pada 20 November ini Mahkamah Persekutuan memutuskan membenarkan permohonan Nik Elin ini bermakna semua Enakmen Jenayah Syariah di 14 buah negeri dianggap batal. Kerana dia sama saja peruntukan dalam semua negeri. 

“Dan perlu diingat bahawa kita bangkit dalam Parlimen, isu seumpama ini perlu dianggap sebagai isu 3R,” ujarnya mempersoalkan tiada tindakan walaupun banyak pihak membuat laporan. – HARAKAHDAILY 8/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -