Masjid al-Azhar dikawal ketat hari Jumaat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Hasrat rombongan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) untuk solat Jumaat di Masjid al-Azhar baru-baru ini tidak tercapai memandangkan masjid berkenaan dikawal ketat pihak keselamatan Mesir.

- Advertisement -

Pendaftar KIAS Mohd Khairil Hazmie Yusof berkata, sekatan itu bagi membendung sebarang percubaan aktiviti himpunan berikutan perkembangan berlaku di Gaza, Palestin.

“Bagaimanapun kami dapat menunaikan solat di Masjid al-Azhar pada hari lain,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Rombongan pengurusan KIAS berkunjung ke Mesir bagi menghantar pelajar lepasan institusi pengajian terbabit melanjut pelajaran ke Mesir.

Pelajar baharu diserah kepada Pegawai Kebajikan Kelantan di Mesir. Pada lawatan itu mereka turut mengadakan perjumpaan dengan Alumni KIAS.

Mereka juga melawat beberapa tempat bersejarah antaranya Makam Imam Syafie, Muzium Egypt yang baharu dan Kota Iskandariah.

Rombongan KIAS turut dibawa mengunjungi pejabat Mudir Maahad Syoubra, rumah-rumah Kelantan, pejabat dan mengikuti kuliah di Universiti al-Azhar.

Menurut Mohd Khairil pada sesi perbincangan dengan pegawai kebajikan disepakati untuk saling membantu bagi memperkasakan pelajar melalui program penempatan latihan industri, pelestarian ilmu dan penganjuran kursus.

“Harapan kami semoga semua pihak mendapat manfaat daripada kerjasama yang erat melibatkan KIAS, Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN), Yayasan Islam Kelantan (YIK), Pejabat Pegawai Kebajikan dan Pejabat Kedutaan Besar dan kerajaan negeri di masa hadapan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, kunjungan pengurusan KIAS mendapat kerjasama Keluarga Pelajar Kelantan Mesir (KPKM) yang banyak membantu memudahkan segala urusan.

Selain itu mereka juga mengunjungi Duta Malaysia di Kaherah Tuan Zamani Ismail. – HARAKAHDAILY 8/11/2023

- Advertisement -