Serangan Israel serampang dua mata

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Serangan ke atas Gaza bukan hanya untuk memerangi Hamas, tetapi Israel mahu mengaut laba hasil petroleum dan gas di perairan wilayah yang diduduki itu.

Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) ketika sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Luar Negeri berkata, lebih 1.3 trilion simpanan minyak dan gas di perairan Gaza turut menjadi faktor serangan itu.

- Advertisement -

“Jadi di peringkat OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) adakah akan mencadangkan jawatankuasa teknikal untuk memastikan bahawa negara-negara pengeluar minyak, negara kecil, tak mampu ini akan dijaga secara perlindungan di peringkat antarabangsa kerana isu kekayaan yang menyebabkan mereka menjadi mangsa kepada pembulian ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, ini kerana Malaysia antara nama besar dalam OIC yang diasaskan untuk menjaga kebajikan negara anggota.

Beliau turut bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk mengetengahkan pendidikan keantarabangsaan sebagai subjek alternatif bagi kesedaran kehidupan serantau dan antarabangsa.

“Adakah kementerian mempunyai satu silibus yang tetap untuk melahirkan generasi muda yang boleh menguasai isu antarabangsa?

“Hal ini kerana hampir setiap hari kita berhadapan isu antarabangsa dan ini merupakan satu lonjakan segera kepada kerajaan.

“Sama ada bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pelancongan dan Kementerian Perpaduan bagi memastikan bahawa pendidikan antarabangsa dibuat secara terbaik oleh kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/11/2023

- Advertisement -