PKR ahli LI: Penjelasan tak konsisten dan berbelit-belit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PKR sebagai ahli Liberal International (LI) masih terus menjadi isu yang dipertikaikan biarpun pimpinan parti tersebut telah membuat penafian, termasuk penjelasan dinyatakan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ia berikutan penjelasan konsisten dalam dokumen dan paparan di laman sesawang rasmi pertubuhan antarabangsa tersebut serta bukti-bukti daripada ucapan para pemimpin PKR sendiri. 

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang juga Pengarah Komunikasi PKR telah menafikan status keahlian tersebut dan hari ini Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjelaskan hal itu di Dewan Rakyat.

Presiden PKR itu antara penjelasannya menegaskan bahawa PKR hanyalah sebagai Ahli Bersekutu tetapi berbeza pendirian dan pandangan dalam isu seperti LGBT dan sokongan kepada Israel.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bagaimanapun mempersoalkan penafian dan penjelasan tersebut yang disifatkannya tidak konsisten dengan penyataan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Menurut beliau, Izzah menerusi muat naik di media sosialnya pada tahun 2016 mengaku bahawa PKR adalah ahli penuh Liberal International di mana kenyataan itu telah menjadi tular dalam kalangan awam.

“Baik jadi macam GERAKAN. GERAKAN mengaku dia sebahagian daripada LI. Tapi dia tak setuju dengan pendirian LI mengenai Israel. Tak adalah GERAKAN nak spinned dan berbohong kepada rakyat Malaysia. 

“Tapi PKR bermula dengan pembohongan oleh Fahmi Fadzil. Ya kerana ia tidak menunjukkan konsistensi dengan apa yang ada,” tempelak beliau dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Ahmad Fayhsal turut memaklumkan bahawa beliau menerima notis daripada Facebook bahawa rakyat Malaysia tidak dapat melihat muat naik beliau yang berkongsi kenyataan Nurul Izzah itu.

Menurutnya, beliau dimaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah memohon Facebook untuk mengehadkan akses paparan tersebut kepada pengguna di Malaysia.

“Saya tak faham apakah ini satu fitnah yang membuatkan SKMM bertindak dan menyekat kebebasan media dalam Facebook menggunakan aparatus SKMM untuk menyekat fakta yang saya kongsi ini? 

“Ini bukan fitnah. Saya tak fitnah. Ini berita yang Nurul Izzah sendiri siarkan. Jadi kenapa? SKMM dipergunakan untuk menyuruh Facebook menyekat berita tentang LI ini? This is the problem and you begins you are lie. You cannot stop. You don’t know where to stop. How to stop it? 

“Kamu mengaku rakyat boleh faham kalau kamu tak bersetuju dengan LI punya pendirian. But don’t lie and don’t use undang-undang sebegini untuk menyekat kebebasan media just because you dont like it or you ‘kantoi’,” bidasnya.

Tempelaknya lagi, kerajaan hari ini cuba kambus perkara yang betul, tetapi dalam masa sama khuatir kemarahan rakyat, namun kekecewaan itu adalah kerana penerangan berbelit-belit oleh pimpinan PKR sendiri. – HARAKAHDAILY 7/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -