Nampaknya mereka mula berpecah kerana Palestin-Israel

- Advertisement -

SEBAGAI umat Islam, isu Palestin sepatutnya menyatukan kita, kerana isu Palestin adalah isu kemanusiaan selain isu agama dan tanah suci kita yang ketiga. Menjadi tanggungjawab kita membebaskannya daripada taklukan dan penjajahan Yahudi Zionis. Kita semua bersolidariti dengan pejuang Palestin. 

Kita tidak nafikan, terdapat orang bukan-Islam yang menyokong perjuangan Palestin, atas dasar kemanusiaan dan menolak penjajahan serta keganasan.

Tetapi dalam isu ini nampaknya dunia berpecah, termasuk dunia Islam kerana ada yang menyokong Palestin secara total iaitu perlu kembalikan bumi Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dan ada yang menyokong penyelesaian dua negara. 

Tetapi yang lebih dahsyat lagi ialah yang jelas menyokong Israel dan cuba menormalisasikan kewujudan Israel.

Di negara kita, Kerajaan Perpaduan dalam isu Solidariti Palestin juga nampaknya berpecah.

Setelah pelbagai siri solidariti terhadap Palestin diadakan oleh pelbagai pihak di Malaysia yang bermula dengan program pertama di Masjid Negara pada 13 Oktober 2023 dan diikuti oleh program di Stadium Axiata dan yang terakhir dan paling berjaya ialah pada minggu lepas di depan Kedutaan Amerika.

Namun dicelah-celah itu terdapat program anjuran sebuah NGO di Dataran Merdeka yang penuh kontroversi kerana melarang bertakbir dan mengangkat pelakat mengutuk Zionis dan Netanyahu.

Maka dari situ timbullah ketidakpuasan hati rakyat Malaysia terhadap larangan yang dibuat.

Dua hari selepas itu, ‘macam tergesa-gesa’ pula program di Axiata dianjurkan dan selepas itu Kementerian Pendidikan pula mengumumkan untuk mengadakan Minggu Solidariti Palestin di institusi pendidikan di bawah KPM. 

Kita semestinya menyokong sebarang usaha yang baik khususnya bersolidariti bersama perjuangan Palestin. 

Dalam kekalutan dan ketidakstabilan pihak kerajaan dalam menangani isu ini, dengan tiada garis panduan khusus daripada Kementerian Pendidikan untuk menganjurkan Minggu Solidariti Palestin, terdapat pihak sekolah yang mengadakan program mengikut cara dan kreativiti masing-masing termasuk membenarkan murid membawa replika senjata, saya ulang ianya hanyalah senjata replika sahaja dan memakai pakaian seakan pejuang Palestin. 

Apakah benar dengan mengangkat senjata mainan boleh menjurus ke arah keganasan? Sedangkan sebelum ini terdapat sebuah sekolah SJKC yang mengadakan satu acara juga muridnya mengangkat senjata. Apakah itu tidak menjurus kepada keganasan? 

Jangan hanyalah bertempik untuk sebelah pihak Bro! Bagaimana pula dengan pelbagai acara pertunjukan waima sambutan Hari Kebangsaan yang juga menggunakan replika senjata? Bahkan senjata sebenar!

Maka bermula dari situlah keluar pelbagai kenyataan dari wakil rakyat blok kerajaan dan pimpinan parti mereka yang membuat pelbagai kenyataan supaya Minggu Solidariti dikaji semula dan diambil tindakan kepada pihak sekolah yang terlibat. 

Semalam di Dewan Rakyat kecoh isu posting Ahli Parlimen Teluk Intan pada 28 Oktober yang lalu yang memaparkan dua orang murid yang mengangkat senjata mainan dan menutup muka ala pejuang Palestin.

“Sekolah bukan tempat untuk konflik, fahaman ekstremisme dan keganasan. Sebaliknya sifat manusiawi dan perasaan cinta keamanan perlu diketengahkan. Mereka yang salah guna kuasa dan bertanggungjawab wajib dikenakan tindakan disiplin”.

Sehingga semalam posting tersebut masih melekat di Instagram beliau.

Bak kata pepatah: Akar terjumbai tempat siamang berpegang, dahan mengajur tempat tupai menegun.

Maka sekali lagi timbul kekalutan dan keluarlah “Dont’s untuk Minggu Solidariti Palestin“.

Nah, jika isu solidariti Palestin yang kononnya tidak begitu penting pun mereka berpecah, apatah lagi isu-isu besar dalam negara. 

Isu kekosongan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang begitu penting sekali tidak diisi sejak hampir 4 bulan dalam keadaan rakyat tertekan dengan kenaikan keperluan harian dan kos sara hidup.

Kenapa begitu? Adakah jika terdapat rombakan Kabinet semua parti komponen ada desakan masing-masing? Akhirnya terbiar kosong begitu sahaja, hanya dipangku oleh seorang menteri yang tugas hakikinya sendiri yang tidak kurang penting dan sibuknya. 

Adakah bibit-bibit perpecahan telah mula berputik dalam Kerajaan Perpaduan? Atau bukan lagi berputik, tetapi telah merebak dan membusuk, hanya tunggu masa untuk terbelah.

Benda retak, lama kelamaan akan pecah, tentunya hanya seketika dapat disembunyikan.

Apakah ada lagi perpaduan dalam kerajaan perpaduan. Atau hanya tinggal nama dan slogan yang hanya penyedap telinga untuk didengar?

Isu Palestin wajib diperjuangkan oleh semua, bukan soal siapa yang terpaling Palestin!

ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN 
Ahli Parlimen Kuala Krai 
23 Rabi’ul Akhir 1445 | 7 November 2023 – HARAKAHDAILY 7/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -