Surah Taha: Prinsip, pendekatan dan cabaran dakwah (6)

- Advertisement -

Kemusnahan Firaun dan tenteranya

- Advertisement -

جَنّٰتُ عَدْنٍ تَجْرِيْ مِنْ تَحْتِهَا الْاَنْهٰرُ خٰلِدِيْنَ فِيْهَا ۗوَذٰلِكَ جَزٰۤؤُا مَنْ تَزَكّٰى

“(Iaitu) syurga ‘Adn, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, mereka kekal di dalamnya. Dan itu adalah balasan bagi orang yang bersih (daripada kekafiran dan kemaksiatan). (76)”

وَلَقَدْ اَوْحَيْنَآ اِلٰى مُوْسٰٓى اَنْ اَسْرِ بِعِبَادِيْ فَاضْرِبْ لَهُمْ طَرِيْقًا فِى الْبَحْرِ يَبَسًاۙ لَّا تَخٰفُ دَرَكًا وَّلَا تَخْشٰى

“Dan sesungguhnya telah Kami wahyukan kepada Musa: “Pergilah kamu dengan hamba-hambaKu (Bani Israel) di malam hari, maka buatlah untuk mereka jalan yang kering di laut itu, kamu tidak usah khuatir akan ditangkap oleh musuh dan tidak perlu takut (akan tenggelam).” (77)”

Semakin ramai yang beriman dan yakin dengan kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa. Jadi, Firaun merancang untuk membunuh dan menghancurkan seluruh pengikut Nabi Musa. Allah mengarahkan Baginda supaya membawa pengikutnya keluar dari bumi Mesir dan menghala ke laut: 

فَاَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ بِجُنُوْدِهٖ فَغَشِيَهُمْ مِّنَ الْيَمِّ مَا غَشِيَهُمْ

“Maka Firaun dengan bala tenteranya mengejar mereka, lalu mereka ditelan oleh laut yang menenggelamkan mereka. (78)”

Tindakan tersebut diketahui oleh Firaun. Dia mengarahkan askar-askarnya untuk mengejar mereka. Apabila mereka tiba di Laut Merah, mereka tidak dapat meneruskan perjalanan malah dikejar oleh askar-askar Firaun. Disebabkan mereka buntu, Allah menyuruh Baginda supaya mencampakkan tongkatnya ke dalam laut.

Setelah diikuti perintah-Nya, akhirnya laut terbelah kepada dua belas lorong yang mewakili pengikutnya seramai dua belas kabilah. Mereka dikejar oleh Firaun tetapi sempat terselamat naik ke daratan. Laut yang terbelah itu pun bercantum semula dan menenggelamkan Firaun dan askarnya.

Semua yang tenggelam tidak timbul kecuali mayat Firaun. Jasadnya diselamatkan supaya menjadi pengajaran dan sebagai tanda kebesaran-Nya. Mumia Firaun yang mati lemas ditemui dan dipamerkan di muzium di London dan juga Mesir. Setelah dibedah siasat, terdapat tanda bahawa dia memang mati lemas.

Di saat akhir kematiannya, dia mengisytiharkan dirinya beriman namun Allah menolaknya. Oleh sebab itu, Nabi S.A.W mengajar kita supaya sentiasa memohon ampun dan bertaubat dengan Allah S.W.T. Sebab kita selalu berada dalam dosa dan mohonlah ampun ketika waktu sihat. Ada dua waktu yang Allah tidak menerima taubat kita iaitu ketika berlakunya kiamat (matahari terbit dari Barat) dan ketika nyawa berada di halkum:

وَاَضَلَّ فِرْعَوْنُ قَوْمَهٗ وَمَا هَدٰى

“Dan Firaun telah menyesatkan kaumnya dan tidak memberi petunjuk. (79)”

Dengan kuasa dan kedegilan, Firaun membawa askar-askarnya ke dalam kemusnahan. Semua askarnya beserta senjata mereka telah tenggelam dan tidak timbul.

Keimanan Bani Israel tidak kekal lama

يٰبَنِيْٓ اِسْرَاۤءِيْلَ قَدْ اَنْجَيْنٰكُمْ مِّنْ عَدُوِّكُمْ وَوٰعَدْنٰكُمْ جَانِبَ الطُّوْرِ الْاَيْمَنَ وَنَزَّلْنَا عَلَيْكُمُ الْمَنَّ وَالسَّلْوٰى

“Wahai Bani Israel! Sesungguhnya Kami telah menyelamatkan kamu daripada musuhmu, dan Kami telah mengadakan perjanjian dengan kamu sekalian (untuk bermunajat) di sebelah kanan gunung itu (gunung Tursina) dan Kami telah menurunkan kepada kamu mann dan salwa. (80)”

Antara nikmat besar yang diberi kepada Bani Israel adalah terselamat daripada kejahatan Firaun. Tanpa peperangan dan penumpahan darah, mereka terselamat disebabkan oleh mukjizat Nabi Musa. Namun, tidak lama kemudian mereka kembali kufur dengan menyembah anak lembu.

Dalam tafsir disebut bahawa As-Samiri seorang yang pandai mengukir. Ketika Nabi Musa pergi ke Bukit Tursina dan meninggalkannya kepada Nabi Harun, dia mengutip emas, menghancurkannya lalu membuat satu patung anak lembu.

Dikatakan bahawa dia menjumpai bekas tapak kaki kuda yang ditunggangi malaikat di atas tanah ketika Firaun ditenggelamkan, dia memasukkannya ke dalam mulut patung anak lembu. Apabila angin bertiup kencang dan masuk ke dalam rongganya, ia pun berbunyi dan bersuara seakan-akan anak lembu. Semua orang terkejut sebab mengira bahawa ia hidup lalu mereka menyembahnya.

Di padang pasir, Bani Israel diberikan makanan mann dan salwa. Salwa ialah burung yang jinak dan boleh ditangkap begitu sahaja. Mann pula ialah sesuatu yang menyerupai madu yang muncul di rumput. Dua makanan istimewa itu merupakan antara nikmat Allah yang diberikan kepada mereka:

كُلُوْا مِنْ طَيِّبٰتِ مَا رَزَقْنٰكُمْۙ وَلَا تَطْغَوْا فِيْهِ فَيَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبِيْۚ وَمَنْ يَّحْلِلْ عَلَيْهِ غَضَبِيْ فَقَدْ هَوٰى

“Makanlah di antara rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepadamu dan janganlah melampaui batas padanya, yang menyebabkan kemurkaanKu menimpamu. Dan barang siapa ditimpa oleh kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah dia. (81)”

Allah menyuruh supaya mereka makan daripada rezeki yang telah diberi dan melarang mereka daripada melanggar perintah-Nya:

وَاِنِّي لَغَفَّارٌ لِّمَنْ تَابَ وَاٰمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا ثُمَّ اهْتَدٰى

“Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, kemudian tetap di jalan yang benar. (82)”

Sesiapa yang melanggar perintah-Nya dan sekiranya bertaubat dan beramal soleh, maka Allah akan mengampunkannya. Kita tidak terlepas daripada melakukan salah dan silap. Masalah besar kita adalah antaranya mudah lupa. Kita sudah lupa dengan perjanjian yang dibuat dengan Allah Ta’ala ketika di alam roh.

Untuk melawan penyakit mudah lupa adalah dengan berzikir. Ingat dan sebut. Zikir ini menghidupkan hati. Namun dengan kasih sayang-Nya, Dia memberikan peluang kepada kita untuk bertaubat. Taubat bermakna memohon ampun dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi:

۞ وَمَآ اَعْجَلَكَ عَنْ قَوْمِكَ يٰمُوْسٰى

“Mengapa kamu datang lebih cepat daripada kaummu, wahai Musa?” (83)

Ketika membawa pengikutnya, Baginda tiba lebih awal dan meninggalkan kaumnya di belakang. Baginda mempunyai semangat yang tinggi. Dalam kisahnya dengan Nabi Khidir, Baginda juga tidak sabar-sabar untuk bertanya. Jadi, Allah menegur perbuatannya itu:

قَالَ هُمْ اُولَاۤءِ عَلٰٓى اَثَرِيْ وَعَجِلْتُ اِلَيْكَ رَبِّ لِتَرْضٰى

“Musa berkata: “Itulah mereka sedang menyusuli aku dan aku bersegera kepadaMu, Ya Tuhanku, agar Engkau reda (kepadaku).” (84)”

قَالَ فَاِنَّا قَدْ فَتَنَّا قَوْمَكَ مِنْۢ بَعْدِكَ وَاَضَلَّهُمُ السَّامِرِي

“Allah berfirman: “Maka sesungguhnya Kami telah menguji kaummu sesudah kamu tinggalkan mereka dan mereka telah disesatkan oleh as-Samiri.” (85)”

As-Samiri berpura-pura beriman dengan Nabi Musa tetapi hakikatnya tidak. Jadi, dialah yang membuat patung itu untuk menyesatkan kaum Nabi Musa: 

فَرَجَعَ مُوْسٰٓى اِلٰى قَوْمِهٖ غَضْبَانَ اَسِفًا ەۚ قَالَ يٰقَوْمِ اَلَمْ يَعِدْكُمْ رَبُّكُمْ وَعْدًا حَسَنًا ەۗ اَفَطَالَ عَلَيْكُمُ الْعَهْدُ اَمْ اَرَدْتُّمْ اَنْ يَّحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبٌ مِّنْ رَّبِّكُمْ فَاَخْلَفْتُمْ مَّوْعِدِيْ

“Kemudian Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan bersedih hati. Musa berkata: “Wahai kaumku! Bukankah Tuhanmu telah menjanjikan kepadamu suatu janji yang baik? Maka apakah terasa lama masa yang berlalu itu bagimu atau kamu mengkehendaki agar kemurkaan daripada Tuhanmu menimpamu, lalu kamu melanggar perjanjianmu dengan aku?” (86)”

Nabi Musa pergi ke Bukit Tursina untuk mengambil kitab Taurat yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T. Nabi Musa berasa marah dengan kaumnya. Sebab pada awalnya, kaumnya berjanji untuk tidak meninggalkan agama yang telah dipegang. Namun setelah Baginda pulang, didapati bahawa mereka menyembah anak lembu:

قَالُوْا مَآ اَخْلَفْنَا مَوْعِدَكَ بِمَلْكِنَا وَلٰكِنَّا حُمِّلْنَآ اَوْزَارًا مِّنْ زِيْنَةِ الْقَوْمِ فَقَذَفْنٰهَا فَكَذٰلِكَ اَلْقَى السَّامِرِيُّ

“Mereka berkata: “Kami sekali-kali tidak melanggar perjanjianmu dengan kemauan kami sendiri, tetapi kami disuruh membawa beban-beban daripada perhiasan kaum itu, maka kami telah melemparkannya dan demikian pula as-Samiri melemparkannya. (87)”

Mereka ditipu oleh Samiri. Emas-emas diambil dan dicairkn lalu dibentuk menjadi anak lembu:

فَاَخْرَجَ لَهُمْ عِجْلًا جَسَدًا لَّهٗ خُوَارٌ فَقَالُوْا هٰذَآ اِلٰهُكُمْ وَاِلٰهُ مُوْسٰى ەۙ فَنَسِيَ

“Kemudian as-Samiri mengeluarkan untuk mereka (dari lubang itu) anak lembu yang bertubuh dan bersuara, maka mereka berkata: “Inilah Tuhanmu dan Tuhan Musa, tetapi Musa telah lupa.” (88)”

Samiri memberitahu bahawa patung itulah sebenarnya yang dicari oleh Nabi Musa. Bahkan, dia mendakwa kononnya Baginda lupa dan mencari pula di tempat lain. Rekaan tersebut dibuat sehingga kaumnya percaya. Kepercayaan mereka bertambah apabila patung itu bersuara:

اَفَلَا يَرَوْنَ اَلَّا يَرْجِعُ اِلَيْهِمْ قَوْلًا ەۙ وَّلَا يَمْلِكُ لَهُمْ ضَرًّا وَّلَا نَفْعًا

“Maka apakah mereka tidak memperhatikan bahawa patung anak lembu itu tidak dapat memberi jawapan kepada mereka dan tidak dapat memberi kemudaratan kepada mereka dan tidak (pula) kemanfaatan? (89)”

Allah menyoal, adakah apa yang mereka minta akan diberi oleh patung itu? Jadi, akal amat penting untuk menilai. Orang yang terpengaruh dengan ajaran sesat tidak menggunakan akal fikiran tetapi emosi. Oleh sebab itu, asas dalam agama adalah akal. Orang gila atau kurang siuman tiada taklif ke atasnya.

Kita sebagai orang beriman mesti tahu apa yang dimaksudkan dengan kalimah syahadah. Kata ulamak, iman orang yang bertaklid adalah tidak sah sebab mengikut secara membabi buta. Jadi, kita haruslah belajar. Belajar mengenai sifat 20 adalah salah satu kaedah untuk mengenal Allah S.W.T mengikut keadaan dan tempatnya. Ibarat ubat yang diberi kepada pesakit adalah mengikut pada tahap kesihatan pesakit. Begitu juga dengan sekolah, kolej dan universiti, tahap pengajian masing-masing adalah berbeza:

وَلَقَدْ قَالَ لَهُمْ هٰرُوْنُ مِنْ قَبْلُ يٰقَوْمِ اِنَّمَا فُتِنْتُمْ بِهٖۚ وَاِنَّ رَبَّكُمُ الرَّحْمٰنُ فَاتَّبِعُوْنِيْ وَاَطِيْعُوْٓا اَمْرِيْ

“Dan sesungguhnya Harun telah berkata kepada mereka sebelumnya: “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu hanya diberi cubaan dengan anak lembu itu dan sesungguhnya Tuhanmu ialah (Tuhan) Yang Maha Pemurah, maka ikutilah aku dan taatilah perintahku.” (90)”

Kita hendaklah menjaga tauhid kita agar ianya murni dan tiada sebarang cacat cela. Ibarat kain putih yang suci dan bersih:

قَالُوْا لَنْ نَّبْرَحَ عَلَيْهِ عٰكِفِيْنَ حَتّٰى يَرْجِعَ اِلَيْنَا مُوْسٰى

“Mereka menjawab: “Kami tetap akan menyembah patung anak lembu ini, hingga Musa kembali kepada kami. (91)”

Betapa degilnya Bani Israel kerana tidak mendengar kata Nabi Harun: 

قَالَ يٰهٰرُوْنُ مَا مَنَعَكَ اِذْ رَاَيْتَهُمْ ضَلُّوْٓا

“(Sekembalinya) Musa berkata: “Wahai Harun! Apa yang menghalang kamu (bertindak) ketika kamu melihat mereka telah sesat. (92)”

Nabi Musa menegur Nabi Harun dan bertanya mengapa mereka dibiarkan berbuat sedemikian:

اَلَّا تَتَّبِعَنِۗ اَفَعَصَيْتَ اَمْرِيْ

“(Sehingga) kamu tidak mengikut (amanah) aku? Maka apakah kamu telah (sengaja) melanggar perintahku?” (93)”

Nabi Musa marah sebab ia melibatkan masalah akidah. Orang yang alim tidak akan bertolak ansur dengan mudah dalam perkara akidah. Di Jawa suatu ketika dahulu, ada aliran Kejawen yang mencampur adukkan ajaran Hindu dan Islam.

Dulu juga ada orang-orang lama suka memuja busut dengan menyembelih ayam hitam dan meletakkan pulut kuning. Ada juga yang melenggang buah kelapa di atas perut supaya anak yang lahir tidak cacat. 

Namun setelah Islam muncul, mereka pun berubah namun ia memakan masa lama juga. Perkara yang berkaitan dengan akidah adalah amat penting sebab ia boleh menyebabkan amalan-amalan kita ditolak oleh Allah S.W.T. Oleh sebab itu, Nabi paling lama berdakwah di Makkah selama tiga belas tahun disebabkan oleh perkara akidah dan akhlak. Perkara yang berkaitan dengan syariat datang kemudian di Madinah:

قَالَ يَبْنَؤُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِيْ وَلَا بِرَأْسِيْۚ اِنِّيْ خَشِيْتُ اَنْ تَقُوْلَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِيْٓ اِسْرَاۤءِيْلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِيْ

“Harun menjawab: “Wahai putera ibuku! Janganlah kamu pegang janggutku dan jangan (pula) kepalaku; sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan berkata (kepadaku): “Kamu telah memecah-belahkan antara Bani Israel dan kamu tidak memelihara amanahku.” (94)”

Oleh sebab kemarahan yang terlalu memuncak, Nabi Musa tarik janggut Nabi Harun. Nabi Harun melarangnya daripada berbuat sedemikian. Nabi Harun sudah pun menasihati mereka cuma tidak berani untuk berkeras. Nabi Harun khuatir sekiranya Bani Israel akan berpecah belah dan Nabi Musa akan memarahinya kerana tidak pandai menjaga mereka. Jadi, Nabi Harun cuba bertolak ansur walaupun mengetahui bahawa tindakan mereka itu sebenarnya salah:

قَالَ فَمَا خَطْبُكَ يٰسَامِرِيُّ

“Musa berkata: “Apakah yang mendorongmu (berbuat demikian), wahai Samiri?” (95)”

As-Samiri ditanya mengapa dia melakukan perbuatan yang sangat pelik itu:

قَالَ بَصُرْتُ بِمَا لَمْ يَبْصُرُوْا بِهٖ فَقَبَضْتُ قَبْضَةً مِّنْ اَثَرِ الرَّسُوْلِ فَنَبَذْتُهَا وَكَذٰلِكَ سَوَّلَتْ لِيْ نَفْسِيْ

“As-Samiri menjawab: “Aku mengetahui sesuatu yang mereka tidak mengetahuinya, maka aku ambil segenggam daripada jejak Rasul lalu aku melemparkannya dan demikianlah nafsuku memujukku.” (96)”

قَالَ فَاذْهَبْ فَاِنَّ لَكَ فِى الْحَيٰوةِ اَنْ تَقُوْلَ لَا مِسَاسَۖ وَاِنَّ لَكَ مَوْعِدًا لَّنْ تُخْلَفَهٗۚ وَانْظُرْ اِلٰٓى اِلٰهِكَ الَّذِيْ ظَلْتَ عَلَيْهِ عَاكِفًا ۗ لَنُحَرِّقَنَّهٗ ثُمَّ لَنَنْسِفَنَّهٗ فِى الْيَمِّ نَسْفًا

“Musa berkata: “Pergilah kamu! Maka sesungguhnya bagimu di dalam kehidupan di dunia ini (hanya dapat) mengatakan: “Janganlah menyentuh (aku).” Dan sesungguhnya bagimu hukuman (di akhirat) yang kamu sekali-kali tidak dapat menghindarinya dan lihatlah Tuhanmu itu yang kamu tetap menyembahnya. Sesungguhnya kami akan membakarnya, kemudian kami sungguh-sungguh akan menghamburkannya ke dalam laut (berupa abu yang berserakan). (97)”

Hukuman kepada as-Samiri adalah dia dihalau keluar dan mempunyai satu penyakit, di mana dia tidak mahu orang menyentuhnya dan orang pula tidak mahu menyentuhnya. Inilah hukuman kepadanya di dunia kerana telah menyesatkan Bani Israel. Anak lembu yang dibuat itu dibakar dan kemudian dibuang ke laut:

اِنَّمَآ اِلٰهُكُمُ اللّٰهُ الَّذِيْ لَآ اِلٰهَ اِلَّا هُوَۗ وَسِعَ كُلَّ شَيْءٍ عِلْمًا

“Sesungguhnya Tuhanmu hanyalah Allah, yang tidak ada Tuhan selain Dia. PengetahuanNya meliputi segala sesuatu.” (98)

Tiada Tuhan selain Allah dan Dia adalah yang Maha Esa. Ilmu-Nya meliputi segala sesuatu. Tiada perkara yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya. Kata ulamak, Dia mengetahui akan kuantiti jumlah air dalam laut dan pasir di pantai. Malah, Dia mengetahui akan hal yang lalu, sekarang dan akan datang:

كَذٰلِكَ نَقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ اَنْۢبَاۤءِ مَا قَدْ سَبَقَۚ وَقَدْ اٰتَيْنٰكَ مِنْ لَّدُنَّا ذِكْرًا

“Demikianlah Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) sebahagian kisah umat yang telah lalu dan sesungguhnya telah Kami berikan kepadamu dari sisi Kami suatu peringatan (al-Quran). (99)”

Allah memberitahu mengenai kisah sebahagian umat terdahulu iaitu Nabi Musa, Firaun dan juga kaumnya. Al-Quran diturunkan sebagai peringatan. Salah satu namanya adalah al-Zikr yang bermaksud peringatan. Tujuannya adalah supaya kita boleh mengatur hidup kita sesuai dengan kehendak-Nya dan memperoleh kebahagiaan di dunia dan kejayaan di akhirat.

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Yang di-Pertua Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Sri Amar Diraja Haji Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 6 November 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan.HARAKAHDAILY 6/11/2023

- Advertisement -