Khidmat perunding meningkat, PM janji mahu kurangkan

Syahir Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman mempersoalkan mengapa peruntukan khidmat perunding pada tahun ini meningkat sedangkan janji Perdana Menteri (PM) adalah untuk mengurangkannya.

- Advertisement -

Beliau merujuk perkara itu kepada Butiran 050700 Khidmat Perunding bagi Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, peruntukan bagi 2024 menyaksikan peningkatan kepada RM23.2 juta, berbanding RM22.5 juta bagi tahun 2023 dan RM15.8 juta bagi tahun 2022.

“Sedangkan saya terbaca laporan berita oleh Bernama, bertarikh 6 Mac 2023 yang menyatakan Perdana Menteri mahu kurangkan khidmat perunding dan mahu tugas besar dalam penilaian projek dikembalikan kepada penjawat awam,” ujarnya semasa membahaskan Belanjawan 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini

Tambahnya, beliau secara peribadi menyambut baik saranan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pihak konsultan dan perunding, seterusnya memberikan kepercayaan kepada keupayaan, kepakaran dan profesionalisme penjawat awam dan pegawai tinggi kerajaan, khususnya dalam kalangan pegawai-pegawai muda untuk menimba pengalaman.

“Soalan saya, mengapa peruntukan pada tahun ini meningkat sedangkan janji Perdana Menteri adalah untuk mengurangkannya,” ujarnya lagi.

Dalam butiran yang sama, beliau ingin mencadangkan supaya pihak kementerian dapat meningkatkan penglibatan perunding dalam bidang kewangan dan ekonomi Islam.

“Kita punyai ramai pakar daripada UIA, INCEIF, ISDB juga penasihat syariah Bank Negara dan institusi perbankan Islam, untuk turut sama memberikan input dan pandangan terhadap pengurusan dasar fiskal, dasar percukaian, dan kewangan awam secara lebih adil dan mampan,” katanya.

Menyentuh Butiran 010100 Pengurusan Am, Emolumen pula, beliau ingin mendapatkan pengesahan adakah Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan masih tidak mengambil sebarang gaji dan elaun sebagai Menteri Kewangan, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran itu.

“Seterusnya mohon penjelasan terhadap Butiran 010100 B.11 Perkhidmatan Penyelidikan Khas, peruntukan RM300 juta.

“Juga Butiran 020800 Bayaran Untuk Sektor Strategik berjumlah RM1.7 bilion, peningkatan mendadak daripada peruntukan tahun ini, RM187 juta sahaja,” ujarnya lagi.

Mengenai Butiran 020300 Belanjawan Negara, katanya yang dibangkitkan oleh rakan-rakan pembangkang berhubung ralat 4 bilion dalam buku anggaran hasil, kesilapan yang sangat signifikan.

Menurutnya, perkara paling penting dalam penyediaan belanjawan ialah ketelitian dalam membuat unjuran hasil, sebelum berhemah dalam membuat perbelanjaan.

Katanya, penjelasan telah diberikan, walaupun surat pemakluman itu datangnya lewat 10 hari selepas pembentangan belanjawan pada 13 Oktober, dan tarikh suratnya diawalkan kepada 17 Oktober.

“Saya tidak mempersoalkan proses penyediaan di pihak MOF, tetapi yang saya berasa amat ralat, pertama, perkara ini tidak diberitakan kecuali setelah dibangkitkan oleh pihak pembangkang, dan lebih ralatnya rakan-rakan di pihak kerajaan pun mendiamkan sahaja perkara ini, tidak dibangkitkan langsung.

“Isu DNAA pun diam. Diam seribu bahasa, itu lebih besar ralatnya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2023

- Advertisement -