Solidariti bersama Palestin sempena Hari Sukan PASTI

- Advertisement -

KUCHING: Hadirin yang datang untuk menyaksikan Hari Sukan PASTI Kawasan Petra Jaya 2023, semalam turut bersolidariti untuk rakyat Palestin bagi menyatakan mesej mengecam kezaliman rejim Israel di Gaza.

- Advertisement -

Pengarah PASTI Negeri Sarawak, Hamdan Sani dalam ucapan perasmian menyeru seluruh ibu bapa, guru dan hadirin untuk bersama mengambil cakna isu kemanusiaan yang berlaku di Palestin terutama mereka yang berada di Gaza.

Beliau turut menyatakan bahawa anak-anak PASTI di seluruh Malaysia turut didedahkan tentang perjuangan rakyat Palestin agar mereka membesar menjadi seorang Muslim yang cakna tentang isu kemanusiaan.

Selain mengeratkan ukhuwah antara para ibu bapa dan guru, hari sukan PASTI Kawasan Petra Jaya yang dianjurkan setiap tahun itu untuk memupuk minat dan semangat kesukanan dalam kalangan anak-anak PASTI.

Program yang diadakan di Stadium Indoor MBKS, Pending itu telah berjaya mengumpulkan hampir 1,000 ibu bapa dan penjaga daripada tiga belas buah PASTI yang berada di Parlimen Petra Jaya.

Antara sukan yang dipertandingkan ialah pertandingan perbarisan dan lintas hormat, lumba lari berganti-ganti, lumba lari bawa bola dengan gelung, lumba lari ikat kaki berpasangan, lumba lari susun tin dan tarik tali.

Manakala acara lumba lari susun tin dan tarik tali masing-masing diadakan untuk meraikan kehadiran para ibu bapa.

Johan keseluruhan hari sukan tahun ini telah dimenangi oleh PASTI Darul Ilmi 2, naib johan PASTI Darul Furqan dan tempat ketiga PASTI Darul Hana.

Hari sukan yang bermula dengan acara perbarisan pada jam 8.00 pagi berakhir sekitar jam 5.30 petang dengan aktiviti gotong royong seluruh warga PASTI kawasan membersihkan sekitar ruang acara di dalam stadium. – HARAKAHDAILY 5/11/2023

- Advertisement -