Kerajaan Anwar terperangkap naratif dibawa pihak Israel

Mahu rakyat Palestin dikeluarkan daripada Gaza

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim diingatkan agar tidak terperangkap dengan permainan emosi dan naratif dibawa oleh pihak negara haram Israel.

Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS, Dr Ustaz Muhammad Khalil Tan Sri Abdul Hadi berkata demikian sebagai reaksi balas kepada kenyataan pihak Kerajaan Malaysia berhubung perang Palestin-Israel.

Menteri Dalam Negeri, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu ucapan di Parlimen menyatakan bahawa rakyat Palestin mesti dikeluarkan daripada Gaza yang kini sedang terkepung.

Menurut Saifuddin semasa di Dewan Rakyat, langkah tersebut telah dikemukakan oleh Perdana Menteri kepada pemimpin Islam di beberapa negara dan menjadi koordinator bagi pihak negara-negara ASEAN.

Muhammad Khalil bagaimanapun berkata, pegangan umat Islam dalam konflik telah berlaku adalah meletakkan keutamaan untuk kemerdekaan diberikan kepada Palestin daripada penjajahan Zionis-Israel.

Malangnya ketika ini ujar beliau, terdapat kalangan yang terperangkap dengan emosi dan naratif daripada pihak Israel dengan mengangkat isu kemanusiaan lebih utama daripada usaha kepada kemerdekaan.

“Kerana yang mereka (Zionis-Israel) mahukan ialah menjajah kembali bumi Gaza melalui ketenteraan dengan mengeluarkan rakyat Palestin di Gaza secara keseluruhannya. Jadi ini sangat bahaya bila kita meletakkan (kemanusiaan) ini sebagai isu pokok.

“Kerana itulah kita bersetuju dengan pandangan Presiden Mesir, Abdul Fatah as-Sisi yang mana beliau tidak mengikut desakan Barat khususnya Amerika Syarikat yang mahu Mesir membuka sempadannya supaya rakyat Palestin di Gaza berhijrah dan ditempatkan di bumi Mesir. 

“Beliau menyebut bahawa rakyat Palestin di Gaza mesti kekal (berada) dalamnya (Gaza). Jadi itu isu pokok yang paling utama sebenarnya,” ujarnya yang juga ADUN Batu Buruk dalam satu ulasan hari ini.

Jelas beliau lagi, operasi dilancarkan HAMAS sejak 7 Oktober lepas dikenali sebagai Taufan Al-Aqsa sudah menjadi satu signal kepada umat Islam supaya memahami isu ini dalam konteks pembebasan Masjid Al-Aqsa dan bumi Palestin itu sendiri. – HARAKAHDAILY 4/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -