PRK Kemaman: Ada warga emas masih keliru

Megat Suhaimi Megat Idrus
- Advertisement -

KEMAMAN: Biarpun parlimen Kemaman bakal berlangsung Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2 Disember hadapan, namun suasana masih sepi di mana belum kelihatan gerak kerja secara rasmi sehingga sekarang.

- Advertisement -

Sebaliknya, kelihatan banyak bendera Palestin yang berkibar di premis milik penduduk termasuk markas PAS di jalan utama di Kemaman dan Dungun, sebagai sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.

Penduduk terutamanya warga emas ada yang tidak tahu mereka akan mengundi sekali pada 2 Disember ini selepas kemenangan calon PN Che Alias Hamid dibatalkan mahkamah pilihan raya atas dakwaan berlaku sogokan program kerajaan negeri bagi membantu penduduk.

Setiausaha Majlis Tindakan Dun Cukai Megat Suhaimi Megat Idrus berkata, ada warga yang ditemui tidak tahu PRK akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya mereka memberitahu baharu sahaja mengundi pada Ogos lepas dan tahun lalu bagi pilihan raya peringkat parlimen.

“Golongan warga emas ada yang masih tidak tahu mereka perlu mengundi lagi pada 2 Disember ini, sedangkan beberapa bulan lepas sudah mengundi,” katanya ketika ditemui di Kampung Besut, di sini petang tadi.

Oleh itu kata beliau jentera pilihan raya PAS dan PERIKATAN NASIONAL perlu memberi kesedaran kepada pengundi terutamanya golongan warga emas yang didapati masih lagi keliru.

Menurutnya rata-rata mereka tidak tahu kemenangan Che Alias dibatalkan oleh mahkamah memandang perkara seumpama itu jarang berlaku.

Bagaimanapun beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Kemaman yakin majoriti bakal diraih calon PAS-PN lebih besar seperti berlaku di parlimen Kuala Terengganu yang juga dibatalkan mahkamah sebelum ini.

“Pembatalan itu menimbulkan kemarahan penduduk kerana mereka terpaksa mengundi dalam tempoh yang singkat,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman berlangsung pada 2 Disember sementara penamaan calon pada 18 November dan pengundian awal 28 November.

Daftar pemilih yang digunakan pada PRK itu ialah yang dikemaskini sehingga 3 Oktober lalu dengan jumlah 141,790 pemilih.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi.

Tiga calon lagi ialah Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506). – HARAKAHDAILY 3/11/2023

- Advertisement -