PRK Dun Jepak: Polis lulus 128 permit ceramah, kempen

- Advertisement -

KUCHING: Sejumlah 128 permit ceramah serta kempen untuk parti politik yang bertanding sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak telah mendapat kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), setakat semalam.

- Advertisement -

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata pihaknya hanya menerima lima laporan polis sepanjang tempoh berkempen PRK berkenaan.

“Hanya kes kecil sahaja iaitu melibatkan kehilangan bendera jadi tidak ada kes serius sepanjang tempoh (berkempen) berkenaan. PDRM ingin mengucapkan terima kasih kepada parti politik bertanding kerana tidak menimbulkan insiden yang mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini.

Mohd Azman berkata bagi penugasan hari pengundian esok, seramai 624 petugas PDRM ditempatkan di kesemua 14 pusat mengundi manakala 595 petugas digerakkan bagi peringkat penjumlahan undi.

PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.

PRK DUN Jepak yang berlangsung esok diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan Datuk Talib Zulpilip pada 15 Sept lepas.

DUN Jepak mempunyai 22,804 pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis. – BERNAMA

- Advertisement -