Radikalisme senget sebelah dalam minda kerajaan madani?

- Advertisement -

SAYA mengikut isu radikalisme yang dibangkitkan sesetengah pihak terutama pihak Kerajaan dalam mengecam sambutan Minggu Palestin. Saya sebetulnya mahu menahan diri daripada memberikan pandangan, atau sekalipun sekadar memberi maklum balas terhadap isu ini. Kebimbangan yang pada saya tidak perlu dibesar-besarkan.

Namun setelah beberapa pihak dalam Kerajaan Madani nampak bersungguh mengecam hanya dengan penularan gambar senjata mainan dalam sambutan, saya merasa terpanggil untuk turut mengulas mewakili anak-anak muda. Kebimbangan keganasan yang ditafsirkan terhadap sambutan hanya kerana melibatkan Palestin. Walhal sebelum ini banyak unsur-unsur pendidikan menggunakan metode yang sama melalui pantomin, persembahan kebudayaan, penetapan pakaian beragam (kostum) tertentu melibatkan penggunaan senjata atau animasi TV.

Hanya kerana kali ini melibatkan Palestin, nampaknya pimpinan Kerajaan Madani mulai senget sebelah dalam mentafsir keganasan. Semacam ibu ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus, jadilah si ibu terkedek-kedek dengan aksinya yang senget sebelah membelokkan sesuatu yang sebenarnya lurus.

Justeru, mendidik anak bangsa sifatnya global dan tidak seharusnya dipolitikkan dengan hanya menerima pandangan parti yang hilang wibawa dalam memberikan pandangan terhadap perjuangan Palestin. KPM seharusnya mempertahankan sambutan yang mendidik anak bangsa terhadap kedaulatan negara Palestin yang diceroboh Zionis Israel, apatah lagi perjuangan pembebasan Palestin adalah perjuangan semua umat Islam. 

Jangan pula Menteri melawan Perdana Menteri ke-10 (PMX), yang semangat berpidato soal Palestin, yang tidak gentar dengan ugutan pihak tertentu yang masih misteri, hanya dengan ugutan ‘abang-abang long’ parti komponen Kerajaan.

Minggu Palestin perlu diteruskan dan saya tertanya-tanya Puan Menteri sebenarnya takutkan siapa sehingga merah mukanya menyerang anak-anak mempamerkan semangat bersama Palestin?

Salam hormat.

USTAZ MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -