‘Pemuda PAN kesepian, cari publisiti’ – Ustaz Fakhrudin

- Advertisement -

IPOH: Pemuda PAN dilihat berada dalam kesepian hingga bertindak mencari publisiti dengan mengadakan laporan polis terhadap ucapan yang dipetik secara terpilih untuk sengaja dipolitikkan bagi meraih perhatian.

ADUN Kamunting, Ustaz Mohd Fakhrudin Abd Aziz malah membidas tindakan tersebut hanya akan mengganggu dan menyibukkan pihak polis terhadap tugas harian yang sedia banyak dan lebih penting.

Beliau menyangkal tuduhan Pemuda PAN Perak yang membuat laporan polis terhadapnya kerana didakwa membangkitkan perkara berkaitan 3R (agama, kaum dan raja) dalam ucapannya.

Ucapan Mohd Fakhrudin yang dilaporkan kepada polis itu merujuk kepada perbahasan beliau sebagai Perwakilan PAS Perak pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69 di Shah Alam pada 21 Oktober lalu.

Jelas beliau, aduan tersebut hanya mengambil sebahagian petikan daripada keseluruhan dan maksud ucapan tersebut yang menyerukan kepada penyatuan ummah khususnya membabitkan ADUN Melayu-Islam di Perak.

Bagaimanapun, Pemuda PAN dalam laporan tersebut mendakwa ucapan perbahasan Fakhrudin itu tidak berasas dan menyebabkan ketidakstabilan yang boleh menggugat keyakinan pelabur ke negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dalam pada itu menyifatkan tindakan Pemuda PAN tersebut selari dengan sikap kerajaan pada ketika ini yang mengamalkan politik ugutan dan cuba menakutkan pihak lain.

“Supaya orang tidak berani bersuara dan sebagai salah satu cara menutup kelemahan mereka sendiri supaya orang tidak berani bersuara. Tidak sepatutnya kerajaan yang ada pada hari ini melakukan demikian kalau mereka mengatakan mereka mempunyai satu kerajaan yang kukuh,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -