MALAYSIA adalah negara yang yang paling tegas tidak mengiktiraf negara Israel, dan sehingga hari ini tertera di pasport Malaysia, ia tidak sah digunakan di Israel. Dengan pengertian yang mudah difahami, dasar luar Malaysia yang perlu diketahui oleh seluruh lapisan rakyat termasuk pelajar-pelajar sekolah, Israel adalah satu-satunya negara yang Malaysia tidak iktiraf kewujudannya. Apabila negara tersebut tidak diiktiraf kewujudannya, bermakna pendudukan mereka di bumi Palestin adalah satu penjajahan atau penjarahan.
Sebaliknya, Malaysia mengiktiraf negara Palestin dan menggesa supaya negara itu diiktiraf dunia. Pengiktirafan Malaysia terhadap hak bernegara rakyat Palestin sudah bermula sejak Malaysia mencapai kemerdekaan lagi. Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, pada tahun 1960 telah menjemput Mufti Palestin, Sheikh Mohammed Amin al-Husaini di dalam Musabaqah al-Quran pertama yang dianjurkan oleh Malaysia. Semua Perdana Menteri Malaysia sehinggalah Dato Seri Ismail Sabri Yaakob mengiktiraf perjuangan rakyat Palestin sama ada PLO, Fatah atau HAMAS.
Perjuangan rakyat Palestin tidak dianggap keganasan oleh negara Malaysia, malah diiktiraf sebagai perjuangan menuntut hak dan kemerdekaan, sepertimana perjuangan Mat Kilau, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Leftenan Adnan, Sarjan Hassan dan lain-lain. Hanya mereka yang menjadi tali barut penjajah sahaja yang menganggap perjuangan tokoh-tokoh ini sebagai pengganas. Demikian jugalah dengan perjuangan rakyat Palestin, merupakan perjuangan patriotisme, bukanlah terrorisme seperti tanggapan DAP dan beberapa Ahli Parlimen PH.
Atas sebab itulah, tokoh-tokoh pejuang Palestin dijemput sebagai tetamu negara sejak sekian lama seperti Yasser Arafat, Mahmoud Abbas, Khalid Mish`al, Ismail Haniyeh dan lain-lain. Di zaman Perdana Menteri Keenam, Dato Sri Mohamad Najib Tun Razak, Malaysia mula menjemput pimpinan HAMAS sebagai tetamu negara walaupun bermula atas jemputan parti pemerintah. Sehingga hari ini Malaysia tidak melabelkan HAMAS sebagai kumpulan pengganas atau terroris, walaupun sering didesak oleh Ahli-ahli Parlimen Malaysia yang mesra Zionis.
Yang terbaru, Perdana Menteri Kesepuluh, Dato Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan secara rasmi di Parlimen, Malaysia menolak gesaan Amerika Syarikat untuk melabelkan HAMAS sebagai pengganas. Menurut Anwar, pendirian Malaysia tersebut telah mengundang amaran oleh kuasa-kuasa besar dunia seperti yang beliau uar-uarkan baru-baru ini. Oleh sebab itu, sangat jelas dasar luar Malaysia mengiktiraf perjuangan rakyat Palestin malah menyokong mereka secara moral dan kapital termasuklah pejuang-pejuang HAMAS.
Sekiranya Perdana Menteri Kesepuluh tegas tidak menghiraukan gesaan kuasa-kuasa besar, mengapa pula Kementerian Pendidikan boleh tunduk kepada ‘Napoleon-napoleon Kecil’ yang berada di dalam negara ini. Konflik terbaru di Palestin semakin menyerlahkan lagi pendirian DAP, MCA, Gerakan dan beberapa Ahli Parlimen PH terhadap Israel dan perjuangan rakyat Palestin. Sikap golongan ini secara terang-terangan bertentangan dengan dasar luar yang dipegang oleh negara Malaysia berkaitan pengiktirafan negara Israel dan perjuangan rakyat Palestin.
Khususnya DAP, diyakini mereka berpendirian selari dengan ‘abang kandung’ mereka, PAP, berkaitan dengan pengiktirafan negara Israel. PAP telah mengiktiraf Israel secara rasmi pada tahun 1969 lagi. Bagaimanapun, sekiranya ada usaha untuk mengiktiraf negara Israel di Malaysia oleh mana-mana pihak, pasti akan mengundang penentangan keras masyarakat Islam di negara ini. Oleh sebab itu, agenda untuk mengiktiraf negara Israel dilakukan secara tersembunyi, bermula dengan normalisasi Israel dan menanggapi perjuangan rakyat Palestin sebagai keganasan atau terrorisme.
Agenda normalisasi Israel ini secara rasmi bermula apabila seorang Ahli Dewan Negara mewakili DAP, Nga Hock Cheh, mencadangkan di Dewan Negara supaya Malaysia membuka pejabat kedutaan di Israel. Boleh jadi pada ketika itu, cadangan Ahli Dewan Negara DAP ini dilihat remeh, tetapi sebenarnya langkah pertama untuk normalisasi Israel itu sudah bermula. Kemudian, baru-baru ini terdapat pula pemimpin DAP yang menganggap HAMAS sebagai golongan ekstremis dan pengganas. Sekiranya naratif ini tidak dicegah, lambat laun usaha normalisasi ini berjaya dan akhirnya Malaysia akan iktiraf negara Israel.
Melihat kepada garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan berkaitan penganjuran Minggu Solidariti Palestin, saya melihat jarum halus normalisasi Israel dan penolakan perjuangan rakyat Palestin sedang ditusuk secara perlahan-lahan. Garis panduan yang dikeluarkan sama sekali tidak selari dengan dasar luar Malaysia yang tidak mengiktiraf negara Israel dan menyokong perjuangan rakyat Palestin. Seharusnya sekolah menjadi medan untuk mendidik pelajar-pelajar mengenai dasar-dasar yang dipegang oleh Malaysia.
Kelantangan Malaysia dari dahulu sehinggalah hari ini seperti sia-sia, sekiranya agenda normalisasi Israel dan penolakan perjuangan rakyat Palestin mula dipupuk dalam kalangan generasi kanak-kanak. Pada 15 November 2023 ini, genaplah 35 tahun Malaysia secara rasmi mengiktiraf negara Palestin. Malangnya Minggu Solidariti Palestin yang berlangsung dua minggu sebelum tarikh tersebut, membawa naratif yang berlawanan dengan semangat pengiktirafan yang telahpun genap 35 tahun itu. Naratif normalisasi Israel dan penolakan perjuangan rakyat Palestin pula yang mengambil tempat.
DR MOHD ZUHDI MARSUKI – HARAKAHDAILY 1/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!