TVET kini tulang belakang kemajuan Malaysia

- Advertisement -

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menekankan pentingnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam memenuhi keperluan pasaran kerja yang kian berkembang pesat.

- Advertisement -

“TVET bukan sahaja melahirkan pekerja mahir bidang teknikal, tetapi juga memberi penekanan kepada kemahiran praktikal yang penting, sekali gus menyumbang produktiviti dan inovasi,” titah baginda.

Titah tersebut disampaikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam Majlis akonvokesyen Kali Ke-16 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), di Dewan Harumanis PTSS, di sini kelmarin.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta hadir sama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail.

Baginda bertitah, PTSS sebagai institusi TVET telah berjaya memainkan peranan penting dalam membangunkan kemahiran teknikal dan profesional yang menjadi asas kepada kecemerlangan ekonomi negara.

“Graduan keluaran politeknik amnya, dan PTSS khasnya, ialah tulang belakang kemajuan negara dalam pelbagai bidang teknikal. Sebagai graduan TVET, mereka adalah individu amat berharga dalam dunia pekerjaan,” titah baginda.

Titah Tuanku Syed Sirajuddin lagi, peluang dalam bidang TVET membuka laluan kepada golongan muda yang mungkin tidak memilih pendidikan akademik secara tradisional.

“Hal ini dapat memberikan lebih banyak peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia. Tahniah diucapkan kepada PTSS atas usaha membekalkan graduan berkualiti kepada negara,” tambahnya.

Majlis konvokesyen berlangsung dalam tiga sidang bermula Sabtu hingga Selasa, menyaksikan seramai 1,155 graduan dari pelbagai jurusan TVET diraikan.

Pada sidang pertama, Anugerah Anumerta disampaikan kepada waris Muhammad Zarif Aidy Mohamad Zahir, graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal yang meninggal dunia pada Mei lalu akibat kemalangan jalan raya.

Manakala Anugerah Diraja disampaikan kepada graduan Diploma Pengurusan Pelancongan, Lok Mee Wan.

“Saya menyeru kepada semua yang hadir untuk bersama-sama menyemarakkan budaya ilmu dan memartabatkan institusi pendidikan, khususnya di negeri Perlis,” titah baginda diakhir ucapan. – HARAKAHDAILY 28/10/2024