Harus berapa lama lagi menunggumu?

- Advertisement -

SAYA ada membaca penulisan orang terdahulu, malangnya termasuklah para ulamak bahkan ulamak Nusantara sendiri, yang menzahirkan kekaguman terhadap Mustafa Kemal Ataturk dan bersetuju dengan usaha menumbangkan Kesultanan Empayar Uthmaniyah.

Rentetan kejatuhan kuasa besar politik umat Islam itu, umat di masa kini amat merasakan kepedihannya.

Apakan daya kerana segala yang berlaku ini membenarkan sabda kenabian bahawa umat akhir zaman akan melalui beberapa fasa pemerintahan yang akan berakhir dengan sistem khilafah atas manhaj kenabian, yang dipimpin oleh al-Mahdi yang disepakati kehadirannya melalui Riwayat Hadis sama ada melalui tradisi Ahli Sunnah ataupun Syiah walaupun berbeza versinya.

Pemerintahan al-Mahdi yang akan didukung oleh al-Masih yang disepakati oleh hampir semua agama, lebih-lebih lagi 3 agama Samawi, meskipun masing-masing bercanggah pendapat mengenai konsep al-Masih yang sebenar. 

Namun begitu di akhir hayat daulah ‘aliyyah ‘Uthmaniyyah yang mewakili fasa monarki yang menggigit, sekalipun dimomok oleh media massa yang dikuasai oleh haiwan pemangsa yang bercita-cita ingin meratah jasad orang tua sakit itu, masih juga terdapat literatur yang membela Sultan yang pernah mengherdik wakil gerakan Zionis yang datang menghadap untuk meminta sekeping tanah di bawah naungan Sultan ‘Uthmaniyyah agar mereka dapat mendirikan sebuah negara dengan mempergunakan nama bangsa Yahudi. 

Semua itu telah menjadi lipatan sejarah untuk dikenang dan diambil iktibar.

Sebagaimana sejarah merakamkan, untuk melahirkan seorang Musa, berapa ramai bayi lelaki Bani Israil yang terkorban angkara titah Firaun, maka adakah begitu juga perjalanannya untuk memunculkan al-Mahdi dan al-Masih, harus berapa ramai manusia yang perlu dikorbankan di tangan Firaun moden?

- Advertisement -

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ إِنِّی جَاعِلࣱ فِی ٱلۡأَرۡضِ خَلِیفَةࣰۖ قَالُوۤا۟ أَتَجۡعَلُ فِیهَا مَن یُفۡسِدُ فِیهَا وَیَسۡفِكُ ٱلدِّمَاۤءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّیۤ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ *

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan-mu berfirman kepada malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (mengenai hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.”

(al-Baqarah: 30)

Ya Allah! Kami mengakui bahawa sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui sedangkan kami tidak tahu apa-apa, maka oleh sebab itu kami bersangatan memohon rahmat kasih sayang-Mu!

MUHAMMAD RIF’AAT RAZMAN – HARAKAHDAILY 1/11/2023

- Advertisement -