Rakyat perlu sedia mempertahan kedaulatan negara

- Advertisement -

PADANG BESAR: Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyifatkan pergolakan yang berlaku di Palestin perlu menjadi motivasi dan semangat setiap individu.

- Advertisement -

Titah baginda rakyat mesti sentiasa bersedia untuk berkhidmat dan berjuang bagi mempertahankan kedaulatan negara Malaysia tercinta.

“Selain itu, kita juga mesti mempunyai pengetahuan, sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan,” titahnya selepas berkenan berangkat menghadiri program Latihan Menembak Pistol anjuran Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia di Lapang Sasar Polis DiRaja Malaysia Mata Ayer, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah disambut Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji dan Ketua Staf Markas Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Leftenan Kolonel Shahril Shaarani.

Program terbabit turut mendapat kerjasama Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Perlis.

Sehubungan itu baginda mengajak anak-anak watan, muda dan belia di Perlis untuk menyertai angkatan sukarela Rejimen Askar Wataniah.

Menurut baginda penyertaan dalam pasukan sukarela dapat membantu anak muda memperolehi pendapatan sampingan.

“Di samping itu menyalurkan tenaga sumber manusia untuk ditugaskan sepenuh masa dan berpeluang diserap ke angkatan tetap berdasarkan kelayakan akademik minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” titah baginda.

Pada program tersebut baginda menembak menggunakan beberapa senjata buatan Beretta Itali. – HARAKAHDAILY 1/11/2023