Sheikh Fakhrurazzi: Tokoh PAS Kedah

- Advertisement -

DI ANTARA tokoh ulamak yang muncul dalam politik PAS di Kedah pada dekad 1980-an dalam mengukuhkan kepemimpinan ulamak ialah Sheikh Fakhrurazzi Haji Salleh. Beliau adalah rakan sepengajian Ustaz Fadzil Mohd Noor, Ustaz Niamat Yusof dan Dato’ Hashim Yahya ketika berada di Mesir pada 1960-an, sebelum berkhidmat di Sabah setelah bergraduat. Setelah bersara dari perkhidmatan kerajaan pada dekad 1980-an, beliau terjun ke dunia politik dan aktif menggerakkan PAS di Kedah, terutama di Kawasan Merbok.

Pak Sheikh Fakhrurazzi yang berasal dari Kampung Bukit Berangan, Kota Kuala Muda dilahirkan pada 13 Oktober 1938 dalam sebuah keluarga yang sederhana tetapi sangat mementingkan pendidikan agama. Ayahnya, Haji Salleh Ali adalah seorang guru al-Quran yang tegas dalam memberikan pendidikan agama kepada anak-anak. Kerana keprihatinan ayahnya itu, pada usia empat tahun, Pak Sheikh sudah tahu membaca al-Quran. Setelah berakhir Perang Dunia Kedua, pada 1946 beliau mula belajar di Sekolah Melayu Kota Kuala Muda ketika berusia lapan tahun, sebelum belajar di Sekolah Cina Kodiang untuk menghabiskan pendidikan rendahnya.

Pada tahun 1953, Pak Sheikh telah diterima masuk untuk belajar di Maktab Mahmud, Alor Setar, sebuah sekolah menengah agama yang terkemuka di Kedah ketika itu. Di antara tokoh-tokoh pelajar yang terkenal di Maktab Mahmud ketika itu ialah Ustaz Jamaluddin Amini Marzuki, Ustaz Johari Ahmad dan Ustaz Jaiz Anwar yang merupakan pemimpin Kesatuan Pelajar Agama Kedah (KPAK). Turut belajar di Maktab Mahmud ketika ini ialah Ustaz Fadzil Mohd Noor. Pak Sheikh menjadi seorang pelajar yang terkenal di sini kerana beliau sangat aktif dalam kegiatan ko-kurikulum. Beliau terlibat dalam kegiatan teater, muzik dan bola sepak. Selain itu, beliau turut aktif dengan pasukan pengakap.

Di samping itu juga, beliau terlibat aktif dalam KPAK, sebuah badan pelajar Islam yang digerakkan oleh pelajar Maktab Mahmud. Pada 1954, KPAK terlibat mengasaskan Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) dengan Ustaz Jamaluddin Amini sebagai Yang Dipertuanya. KPAS adalah badan pelajar Islam bertaraf nasional yang pertama ditubuhkan di negara ini. Pak Sheikh turut terlibat dalam kegiatan KPAS, terutama apabila Ustaz Jaiz Anwar, Ketua Penerangannya bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Kedah pada 1959 di Alor Setar mewakili PAS. Di luar Maktab Mahmud, Pak Sheikh bersama Ustaz Fadzil Mohd Noor terlibat dengan Persatuan Pelajar Melayu Alor Setar. Di sebalik kegiatan aktifnya di sini, kegiatan terpenting Pak Sheikh ialah mengikuti usrah dan perkaderan Ikhwanul Muslimin menerusi KPAS yang dikendalikan oleh Sheikh Taqiyuddin Qandil, bekas pemimpin Ikhwanul Muslimin dari Mesir yang menjadi guru di Maktab Mahmud.

Setelah ramat Darjah 8 pada 1962, Pak Sheikh berangkat Mesir, mengikuti jejak Ustaz Jaiz Anwar. Ustaz Fadzil Mohd Noor bertolak ke Mesir setahun kemudian. Di Mesir, beliau memasuki Kuliah Syariah Islamiyah. Beliau mengkhusus dalam bidang undang-undang syariah (qanun). Selain Ustaz Fadzil Mohd Noor, rakan-rakan beliau di Universiti al-Azhar yang lain termasuk Dato’ Hashim Yahya, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Wan Salim Mohd Noor, Mufti Pulau Pinang, Ustaz Zawawi Ahmad, bekas Ahli Parlimen Padang Terap yang juga CEO KIDU, Ustaz Niamat Yusof, pengasas Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang dan lain-lain. Sepanjang belajar di Mesir, beliau turut aktif dalam Persatuan Melayu Mesir (PMM). Beliau tamat belajar di sini pada 1968.

Kerana minat yang mendalam terhadap bidang undang-undang, sebaik sahaja tamat belajar di Universiti al-Azhar, beliau memohon untuk belajar undang-undang di Middle Temple, London. Pada 1969, beliau diterima masuk untuk belajar undang-undang di sini, tetapi kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, beliau bukan sahaja terpaksa melupakan hasratnya belajar di UK untuk memegang ijazah Barrister-at-Law, tetapi terpaksa bergegas pulang ke tanah air yang ketika itu sedang hangat dengan isu perkauman pasca 13 Mei 1969. Dengan suasana darurat yang ada, beliau terpaksa pula berkampung di Kedah sehingga keadaan pulih seperti biasa menjelang September 1970.

Dengan keadaan ekonomi yang meruncing ketika itu, Pak Sheikh telah menerima tawaran Tun Datu Mustafa Datu Harun, Ketua Menteri Sabah untuk berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir di Persatuan Islam Seluruh Sabah (USIA). Ketika ini, turut berkhidmat dalam USIA ialah bekas gurunya, Prof Sheikh Taqiyuddin Qandil. Beliau berkhidmat dalam organisasi dakwah yang dinaungi oleh Kerajaan Sabah ini selama lima tahun berakhir pada hujung 1975, dan mengambil keputusan untuk balik ke Kedah. Pada awal 1978, dengan keilmuan yang dimiliki, Pak Sheikh diterima berkhidmat dalam perkhidmatan pentadbiran agama Kedah bermula sebagai Pegawai Penerangan.

Setelah itu, beliau dilantik sebagai qadhi di beberapa daerah. Pada mulanya beliau dilantik sebagai Qadhi Daerah Bandar Bharu, dua tahun kemudian menjadi Qadhi Daerah Kuala Muda dan akhirnya menjadi Qadhi Daerah Kota Setar. Ketika berkhidmat sebagai Qadhi Daerah Kota Setar, beliau telah diminta PAS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1986, yang menyebabkan beliau terpaksa melepaskan jawatan sebagai qadhi kerana mematuhi keputusan jamaah. Maka, sejak Pilihan Raya Umum 1986 itu, Pak Sheikh telah menjadi ahli politik sepenuh masa.

Penglibatan Pak Sheikh bersama PAS sejak di Maktab Mahmud sebenarnya telah menjadi asas kepada kegiatan aktif beliau bersama PAS di Kedah. Beliau mula menjadi ahli PAS setelah pulang dari Mesir pada 1969, tetapi kerana perkhidmatannya di Sabah sehingga 1975, menyulitkan beliau untuk aktif bersama PAS. Tetapi sebaik sahaja beliau kembali ke Kedah, beliau terlibat dalam PAS, khususnya di Merbok. Beliau memegang beberapa jawatan dalam PAS Kawasan Merbok dan juga Dewan Ulamak PAS Kedah, tetapi beliau tidak dapat menonjolkan diri kerana kedudukannya sebagai qadhi. Pada 1986, beliau menjadi calon PAS di DUN Yan, sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Merbok dan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah. Ketika PAS Pusat menubuhkan Jawatankuasa Penyemak Kanun Jenayah Syariah Kelantan pada 1992, Pak Sheikh turut dilantik sebagai salah seorang anggotanya. Seorang lagi ulamak Kedah yang dilantik dalam jawatankuasa ini ialah Ustaz Azhari Abdul Razak. 

Sebagai seorang pendakwah, selain aktif bersama PAS, Pak Sheikh turut menubuhkan sebuah sekolah swasta bersama adiknya, Haji Ahmad Fadzlan yang dikenali sebagai Sekolah Menengah dan Pusat Tuisyen Daris di Sungai Petani pada 1987. Selain menawarkan pengajian akademik peringkat SRP, SPM dan STPM, sekolah ini turut menawarkan kelas al-Quran dan Fardu Ain kepada masyarakat. 1990, beliau mengemukakan idea sekolah rendah integrasi dengan menggabungkan kurikulum akademik berasaskan KBSR, Tahfiz dan Diiniah (agama) di bawah satu bumbung sekolah, lalu ditubuhkan Sekolah Rendah Agama (SERAGAM) Daris. Kerana sambutan yang menggalakkan, akhirnya Pak Sheikh telah mendirikan bangunan kekal sekolah ini di Kampung Sungai Jagung, Sungai Petani. Bangunan ini siap dibina pada 1996 dengan dukungan daripada isterinya, Hajah Rosena.

Hajah Rosena Murad, isterinya itu telah dinikahi oleh Pak Sheikh pada 1964, ketika masih belajar di Mesir. Mereka dikurniakan enam orang cahaya mata iaitu Ustaz Dr Ahmad Fakharuddin, Mohd Faris, Firuz, Amal, Mohd Yaseer dan Hanee. Ustaz Dr Ahmad Fakharuddin merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Kedah (2015-2019) yang kini merupakan Ahli Parlimen Kuala Kedah. Pada 1997, Pak Sheikh mula menghadapi masalah kesihatan akibat terkena serang jantung. Pada 1998, beliau menjalani pembedahan pintasan jantung, tetapi beliau tidak lagi kuat seperti sedia kala. Dengan kesihatannya yang semakin merosot itu, pada 28 Julai 2000, dalam usia 62 tahun, Pak Sheikh telah meninggal dunia dengan taburan jasa yang mengharumkan perjuangan Islam di Kedah. 

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 31/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -