KUALA LUMPUR: Kemajuan Revolusi Industri (IR) 4.0 seperti automosi dan kecerdasan buatan mampu mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.
Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berkata, ketika ini pekerja asing amat diperlukan dalam sektor pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar).
Beliau yang juga mantan Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, pada masa sama IR 4.0 mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan berkemairan.
“Persoalannya, apa yang terjadi kepada tenaga kerja atau bakat tempatan berkemahiran yang dilatih menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Apakah mekanisme atau penjejakan yang digunakan bagi mengukur tahap kemenjadian tenaga kerja tempatan yang dilatih institusi latihan TVET dari segi pasaran dan kebolehpasaran, serta apakah dapatan serta hasilnya,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata penjejakan graduan TVET merupakan kajian tahunan yang dilaksanakan secara dalam talian.
Katanya, sistem ini diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi berdasarkan mandat yang diberikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sejak 2018.
“Responden kajian terdiri daripada kalangan graduan warga Malaysia berkelulusan Sijil Kemahiran Sumber Manusia Tahap 1 hingga peringkat ijazah pertama.
“Kementerian pada masa ini memang mengambil kira fokus strategik negara ke arah kemajuan IR 4.0 seperti program automasi, robotik dan kecerdasan buatan,” katanya.
Menurutnya, kementerian melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sentiasa memastikan standard kemahiran pekerjaan kebangsaan dan kurikulum TVET dikemas kini mengikut keperluan industri sejak 2019.
Katanya, JPK telah berusaha mengintegrasikan teknologi IR 4.0 dalam standard pekerjaan baharu mengikut keperluan industri. – HARAKAHDAILY 31/10/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!