2,730,153 pekerja asing di negeri ini sehingga Sept lalu

Awang Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Unjuran jumlah keseluruhan pekerja asing di Malaysia adalah seramai 2,730,153 sehingga 30 September lalu.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM), jumlah itu merangkumi pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara aktif berjumlah 1,830,828, pekerja asing yang belum memasuki negara seramai 152,158 dan pendatang asing tanpa izin yang berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 seramai 747,167

“Penggunaan pekerja asing adalah bagi memenuhi keperluan tenaga kerja bagi sektor-sektor tertentu yang sukar diisi oleh tenaga buruh tempatan,” kata KSM dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Awang Hashim [PN-Pendang] di Dewan Rakyat, hari ini.

Berikutan itu, katanya kerajaan giat merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan agensi bagi menggalakkan tenaga kerja tempatan menceburi pekerjaan dalam sektor yang didominasi pekerja asing.

Awang dalam soalannya meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan jumlah pekerja asing yang berada dalam negara dan apakah langkah diambil Kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing dan mengoptimumkan tenaga kerja tempatan berkemahiran.

Menurut KSM lagi, pihaknya menggalakkan industri supaya beralih kepada penggunaan automasi, mekanisasi dan pendigitalan yang dapat mewujudkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi.

“Dalam masa sama, kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah akan turut dikurangkan secara berperingkat.” Ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/10/2023

- Advertisement -