Sistem amaran awal negara perlu mantap

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) meminta kerajaan menyatakan status keselamatan negara, terutama di kawasan Pantai Timur Sabah yang bersempadankan Filiphina dan Indonesia.

Selain operasi dan kekuatan anggota yang melakukan kawalan, katanya perkara lain yang ingin diketahui ialah status pembaikan dan penggantian radar pesisir laut.

- Advertisement -

Katanya, ini bagi memastikan sistem amaran awal terhadap sebarang aktiviti penyeludupan dan pencerobohan perairan negara sentiasa berfungsi sebaik mungkin.

“Saya minta Menteri Pertahanan menyatakan status pembaikan dan penggantian sistem radar pesisiran pantai di kawasan sepanjang Zon Pantai Timur Sabah (ESSZONE) Sabah,” katanya pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu Menteri Pertahanan, Dato Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan mempunyai lapan buah radar yang baru sahaja selesai dinaik taraf pada 16 September lalu.

Katanya, usaha naik taraf itu bagi meningkatkan keupayaan pengesanan radar serta keupayaan perintah dan kawalan dengan semua kelengkapan tersebut sudah berfungsi sepenuhnya.

Pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), katanya kerajaan akan menggantikan lima buah radar sedia ada dengan enam radar baharu bernilai RM57 juta.

“Radar yang mengalami kerosakan tidak boleh dibaiki dan tidak ekonomik untuk dibaiki lagi, semua kelengkapan radar ini kita tinggalkan untuk pelupusan.

“Kita mengenal pasti keperluan untuk menutup sepenuhnya kelompangan di kawasan tersebut dengan perolehan enam buah radar baharu,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2023

- Advertisement -