Hidup mulia atau mati syahid

- Advertisement -

(Sempena Himpunan 10K Solidariti Palestin di Kuala Lumpur 28 Oktober 2023)

- Advertisement -

Kami tiba
Di dada bandaraya
Dengan sticker di kereta
Dengan bendera
Dengan mafla
Dengan ikat kepala
Dengan bandana
Poster, plakad, sepanduk serba ada

Kami tiba
Di tengah ibu kota
Dengan jiwa
Dengan sukma
Tiada rupa
Tiada warna
Yang ada cuma
Renjana
Di dalam dada

Laut, darat dan udara
Kami hadir dengan rela
Kami datang tanpa paksa
Tiada penaja
Tiada siapa belanja

Kami datang kerana percaya
Kami hadir dengan iman di dalam dada
Bersama unjuk rasa
Solidariti dan rasa cakna
Tanda kami bersama
Saudara kami di Gaza

Israelcuak #TaufanAqsa

Walau sinar matahari bernyala
Pijar membakar ubun kepala
Biar peluh mengalir hingga ke peha
Meski letih menjalar memugar rasa
Teguh kami berdiri, berarak di atas nama cinta

Ini sekelumit cuma
Tentulah jauh berbeda
Dengan apa yang kalian rasa
Pasti tidak sama
Berbanding air mata
Berbanding luka derita
Berbanding duka nestapa
Yang kalian harungi berdekad lama

Duhai saudara kami di Palestina
Meski jauh di lain benua
Doa kami sentiasa bersama
Terimakasih mewakili kami sekalian lama
Menjaga tanah Gaza yang mulia
Menjadi benteng terakhir Al-Aqsa
Kalianlah yang terpilih dan istimewa
Hidup mulia
Atau mati syahid menuju syurga!

BEKOK COBBONG
13 Rabiul Akhir 1445 Hijrah
28 Oktober 2023 – HARAKAHDAILY 28/10/2023

- Advertisement -