Banjir: 166 penduduk dipindahkan ke empat PPS di Kedah

- Advertisement -

BALING: Seramai 166 mangsa daripada 134 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah selepas kediaman mereka terjejas dengan banjir kilat yang berlaku sejak petang, semalam.

- Advertisement -

Daerah yang terlibat adalah Baling yang melibatkan seramai 159 mangsa daripada 131 keluarga dan Bandar Baharu yang melibatkan tujuh mangsa daripada tiga keluarga.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (Pertahanan Awam) Mohd Faizol Ab Aziz berkata tiga PPS yang dibuka di Baling ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bayu,  SK Siong dan SK Parit Panjang.

“Antara kawasan terjejas ialah Kampung Siput, Batu 8, Kampung Batu 60, Kampung Kuala Kedua dan Kampung Memali dalam Mukim Siong.

“Turut  terjejas Kampung Rambung Pulau, Kampung Charuk Gorok dan Kampung Charuk Salang, serta sebuah rumah di Kampung Haji Abas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, hujan lebat yang berterusan pada petang semalam menyebabkan air di sungai berhampiran melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing sungai.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, seramai 53 pelajar, 20 guru pengiring dan tujuh fasilator dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongor dan seramai 70 pelajar dan 29 guru pengiring dari SK Seri Perdana, Kota Setar yang melakukan aktiviti perkhemahan di kawasan berhampiran telah dipindahkan ke lokasi selamat.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Leftenan (Pertahanan Awam) Abdul Rahim Khairuddin berkata seramai tujuh mangsa daripada tiga keluarga di Kampung Cherok Meranti dipindahkan ke PPS Masjid Sungai Batu selepas rumah mereka turut terjejas banjir kilat di daerah Bandar Baharu.

“Bagaimanapun keadaan air telah surut sepenuhnya dan PPS Masjid Sungai Batu dijangka ditutup pada 10 pagi ini selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -