Gunakan pertanian pintar untuk tingkat pengeluaran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) menyarankan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggunakan pertanian pintar untuk meningkatkan hasil pengeluaran.

Menurutnya, perubahan teknologi yang semakin canggih sekarang merupakan pemangkin terhadap perubahan dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

- Advertisement -

Katanya, penggunaan teknologi dalam sektor penanaman padi dan kelapa sawit dapat memberi nilai tambah kepada pemain sektor itu untuk mengoptimumkan hasil pertanian.

“Saya minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan inisiatif kerajaan untuk mengalakkan model pertanian pintar dalam industri pertanian negara, terutama sektor padi dan kelapa sawit.

“Ini bagi membantu petani dan peladang mengoptimumkan input dan memaksimumkan output, selain penghasilan data dengan pantas dan tepat,” katanya ketika Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, bagi memastikan model pertanian pintar dapat dilaksanakan, kerajaan merangka empat langkah strategik.

Katanya, ini termasuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat swasta bagi pembangunan teknologi dengan FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF) dalam program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

Selain itu, katanya menyediakan perkhidmatan dron pertanian dalam akiviti pembajaan dan penyemburan racun melalui agensi kementerian seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Melalui Jabatan Pertanian, kita menyediakan data berkaitan aktiviti tanaman secara masa sebenar menerusi penggunaan sistem aplikasi MakGeo yang berasaskan Geographic Information System (GIS).

“Kita dengan kerjasama pemain industri membangunkan ladang fizikal tanaman padi yang mengguna pakai teknologi berteraskan Revolusi Pertanian (IR) 4.0,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/10/2023

- Advertisement -