Jenayah perang, bajet kepada pembangkang dan cabar syariah

Presiden PAS desak kerajaan berani, adil dan bertindak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia mesti ke hadapan dengan tegas dan berani serta tidak takut berkata benar mendesak supaya Israel dan sekutu-sekutunya dibawa ke mahkamah antarabangsa atas kezaliman dilakukan ke atas Palestin.

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang [PN-Marang] berkata perkara sedang dilakukan Israel dan disokong sekutu-sekutunya termasuk Amerika Syarikat adalah jenayah perang ke atas kemanusiaan khususnya umat Palestin.

“Membunuh perempuan, membunuh kanak-kanak, membunuh orang tua, bom hospital, bom masjid, bom gereja, bom sekolah,” ujarnya ketika membahas Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di Parlimen, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, Allah SWT melarang perbuatan melampau walaupun ketika peperangan termasuk juga tidak boleh membunuh tawanan dan merosakkan bekas makanan haiwan seperti anjing sekalipun.

Seru beliau, kerana itulah juga tidak boleh disamakan tentera HAMAS dan Hizbullah yang berperang dengan kelengkapan serba daif itu dan hanya menyerang sasaran tentera berbanding tindakan Zionis Israel.

Menjelaskan betapa Islam mengajar keadilan dilaksanakan walaupun terhadap musuh ketika peperangan, beliau menegaskan bahawa Ahli-ahli Parlimen pembangkang bukanlah musuh kepada kerajaan memerintah.

Oleh itu katanya, mereka tidak seharusnya dinafikan peruntukan, termasuk ke atas negeri-negeri yang bukan diperintah parti sama dengan Kerajaan Persekutuan ketika ini, selain perjanjian telah sedia termaktub mesti ditunaikan.

Beliau menyentuh mengenai pembayaran royalti petroleum sebanyak 5 peratus yang draf perjanjiannya turut membabitkan Almarhum Tan Sri Salleh Abas, namun Perhimpunan Agung Umno pernah mendesak sekatannya.

Undang-undang syariat dicabar

“Sekarang berlaku satu kemungkaran yang sangat hebat, yang sangat dahsyat. Mencabar undang-undang syariat, mencabar hukum Islam. Kepada kita hukum Islam syariah adalah imuniti, kekebalan. Tak boleh dicabar.

“Macam raja-raja tak boleh dicabar. Apa yang disebut dalam Perlembagaan, Islam adalah agama persekutuan. Islam di bawah, tuanku raja-raja. Islam kepunyaan rakyat majoriti,” ujarnya menggesa kerajaan menangani kemungkaran itu.

Menurut beliau, beberapa hakim di masa lalu telah menolak kes untuk mencabar perundangan syariah di mahkamah dengan kuasa yang ada pada mereka dan diperuntukkan oleh undang-undang.

“Cabar Islam, cabar mahkamah syariah. Ini satu kerja yang orang Islam tak boleh biarkan sekali-kali. Dengan sebab itu saya memberi amaran kepada Kerajaan PH (Pakatan Harapan). Oleh kerana ini menyentuh umat Islam.

“Menyentuh Allah taala, menyentuh raja-raja, menyentuh umat Islam. Kalau PH tak mahu bertindak, kami akan bertindak. Bagaimana kami bertindak tunggu dan lihat!” ujarnya melontar amaran. – HARAKAHDAILY 24/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -