ALOR SETAR: Belanjawan negara 2023 yang baru-baru ini dibentang oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dianggap hanya sekadar retorik.
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, belanjawan berkenaan masih kabur terutama mensifarkan kemiskinan tegar di negara ini.
“Belanjawan tidak boleh hanya retorik. Agenda mensifarkan golongan miskin tegar masih kabur,” tegas beliau dalam hantaran kenyataan sempena perbahasan Belanjawan Negara, hari ini.
“Pemimpin yang ada sekarang perlu menteladani kepimpinn Khulafa’ Ar-Rashidin yang adil dan amanah; dan bukannya sibuk pergi ke sana sini walaupun negara menghadapi kejatuhan nilai ringgit.
“Saya nak tanya Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli), mana janji gaji progresif untuk rakyat?,” soal beliau.
Dalam pada itu Tarmizi juga mempersoalkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohd Sabu berkenaan isu kekurangan beras putih tempatan di pasaran ketika ini.
“Apakah perkembangan langkah intervensi kementerian untuk tangani kekurangan beras putih tempatan? Subsidi RM 400 juta untuk industri pemborong beras kepada premis kerajaan? Harga lantai padi? Benih Padi terus meningkat?,” soalnya lagi.
Dalam perkembangan lain, beliau turut membangkitkan masalah banjir di Sik nyang perlu diambil perhatian kerajaan persekutuan agar segera diatasi.
Isu Palestin juga turut dibangkitkannya kerana dewasa ini, ujarnya, dunia masih membisu dengan kekejaman regim Zionis Israel terhadap rakyat Gaza khususnya.
“Justeru kerajaan persekutuan diingatkan agar jangan terpengaruh dengan pelobi normalisasi regim kejam itu.
“Saya tegaskan agar kerajaan Malaysia jangan terpengaruh dengan pelobi normalisasi Regim Zionis Israel.
“Pemuda Palestin sanggup berjuang sepenuh jiwa dan raga dan sedikit pun tidak gentar sebaliknya tentera Zionis yang penakut dan pengecut,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!