Heret Israel ke Mahkamah Antarabangsa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu bertindak tegas dan lantang bersuara supaya rejim Israel dapat diheret ke Mahkamah Antarabangsa kerana melakukan jenayah peperangan.

Berucap pada Sesi Perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) menegaskan bahawa tindakan Israel sudah keterlaluan sehingga mengebom sebuah hospital di Gaza, baru-baru ini.

- Advertisement -

Malah bukan itu sahaja, beliau berkata rumah ibadah seperti gereja dan masjid dihancurkan selain membunuh jutaan kanak-kanak, wanita dan orang tua sama seperti tindakan pengganas militan Daish.

“Sebab itu, tidak boleh samakan Hamas Jihad Hizbullah dengan pengganas Daesh. Israel dan sekutunya sama dengan Daesh, bunuh kanak-kanak, wanita dan orang tua.

“Saya minta kerajaan Malaysia, kita mesti ke hadapan, tegas dan bertindak, berani, jangan takut, berani kerana benar, mendesak supaya mereka yang terlibat…Israel dan sekutu dibawa ke Mahkamah Antarabangsa,” katanya.

Abdul Hadi berkata, konflik antara Palestin dan Israel menjadi teladan kepada umat Islam dan masyarakat antarabangsa berhubung cara Islam menguruskan kehidupan rakyat dalam situasi peperangan.

Beliau yang juga Presiden PAS berkata, Islam telah menetapkan bahawa dalam peperangan, golongan kanak-kanak, wanita dan orang tua tidak boleh dibunuh, manakala kediaman, sekolah, hospital dan rumah ibadah tidak boleh dimusnahkan.

Malah, katanya tawanan perang perlu diberikan layanan sebaik mungkin dengan menyediakan keperluan termasuk pakaian, makanan dan minuman, sekali gus memastikan kehidupan selesa tanpa masalah.

Katanya, apa yang berlaku di Palestin menjadi model dan teladan dalam peperangan kerana pejuang Palestin hanya menyasarkan sasaran tentera, manakala tawanan perang diterima dengan baik dan ada yang dibebaskan.

“Tetapi Israel yang disokong Amerika Syarikat dan sekutu Barat melakukan jenayah perang di Gaza, bunuh kanak-kanak, wanita, bom sekolah hospital, masjid termasuk bom gereja, sedangkan benda ini dilarang dalam Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2023.

- Advertisement -