Tokoh PAS WP: Haji Hassan Ishak

Ahli Undang-undang-undang Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan

- Advertisement -

HAJI HASSAN Ishak, satu nama yang telah luput daripada ingatan ahli-ahli PAS walaupun satu masa dahulu beliau adalah tokoh pimpinan PAS yang penting. Tokoh yang berasal dari Kelantan ini mencipta nama dalam politik di ibu kota, di mana beliau pernah diberikan kepercayaan sebagai Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan pada akhir era Dato’ Mohd Asri Haji Muda. Bekas majistret ini merupakan seorang lulusan undang-undang dari luar negara dan merupakan alumni Maahad Muhammadi yang ketika itu dikenali sebagai Sekolah Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) atau biasa disebut Sekolah Majlis.

Latar belakang keluarga

Haji Hassan bin Ishak bin Idris adalah anak Kelantan yang dilahirkan pada dalam tahun 1934 di Kota Bharu. Ayahnya, Haji Ishak Haji Idris adalah berdarah Bugis di mana keturunan mereka berasal dari Sulawesi, tetapi ibunya berdarah Patani. Haji Ishak adalah seorang ahli perniagaan yang terkenal di Kota Bharu sebelum Perang Dunia Kedua. Ayahnya tertarik dengan kegiatan para ulamak dan pengajian agama di Kota Bharu dan berharap anaknya ini menjadi seorang ulamak pada satu masa nanti. Beliau begitu kagum dengan Mufti Haji Ismail Pontianak, seorang ulamak besar di Kota Bharu yang baru pulang dari Pontianak, Indonesia setelah berkhidmat sebagai mufti di sana beberapa tahun.

Setelah Haji Hassan diberikan pendidikan asas, pada 1941 beliau dihantar ke Sekolah Majlis untuk belajar agama, tetapi pendidikan beliau terganggu oleh Perang Dunia Kedua yang tercetus pada akhir 1941 di Kota Bharu. Namun begitu, Hassan tetap dapat meneruskan pengajiannya sehingga tamat Perang Dunia pada 1945. Hasrat ayahnya adalah untuk menghantarnya belajar di Jamek Merbau Ismaili yang dipimpin oleh Mufti Haji Ismail Pontianak, tetapi Hassan memilih untuk belajar di sekolah Inggeris. Beliau memasuki Sultan Ismail College (SIC) pada 1946 hingga 1952. Pada tahun terakhir di SIC, beliau dilantik sebagai Ketua Pelajar SIC untuk tahun 1952. Sebagai seorang pelajar cemerlang, beliau ditawarkan untuk belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) bagi pengajian menengah atas. Beliau belajar di Malay College ini sehingga pertengahan 1953.

Beliau menamatkan pengajian di MCKK kerana mendapat tawaran bekerja sebagai Pegawai Tadbir Negeri (PTN), di mana beliau telah memegang beberapa jawatan termasuk sebagai Penolong Ketua Jajahan (ADO) sepanjang tujuh tahun berkhidmat sebagai PTN Kelantan. Di antara rakan seniornya dalam PTN Kelantan ialah Tan Sri Harun Mahmud Hashim, yang sudah menjadi majistret sejak 1951. Dengan kelayakannya sebagai lepaskan MCKK dan pengalaman sebagai ADO, pada akhir 1960, beliau pula ditawarkan untuk menjadi majistret dalam perkhidmatan kehakiman Persekutuan, lalu beliau meletak jawatan sebagai PTN Kelantan. Mulai 1 Januari 1961, beliau menjadi Majistret Kelas III di Alor Setar, sebelum ditukarkan ke Kulim pada akhir 1961.

Pada Februari 1962, beliau meninggalkan jawatan majistret kerana ditawarkan belajar undang-undang di Lincoln’s Inn, London. Percutian belajar ini berlangsung selama dua tahun, di mana beliau akhirnya lulus peperiksaan ijazah Barrister-at-Law di Lincoln’s Inn pada Jun 1964 dan diterima sebagai peguam di London pada tahun itu juga. Setelah pulang ke tanah air, beliau menyambung khidmat kejaksaannya sebagai majistret, sebelum dilantik sebagai Presiden Mahkamah Tengah. Pada awal 1969, beliau menyertai sahabatnya, Harun Hashim dalam Biro Siasatan Negara (BSN). Harun Hashim adalah Pengarah BSN sejak 1967 hingga 1972. BSN kini dikenali sebagai SPRM. Ketika ini, BSN sangat terkenal kerana ketegasan mereka dalam mewujudkan integriti pentadbiran awam. Hassan berkhidmat sebagai Pegawai BSN Terengganu di antara 1965 hingga 1974. Bagi mengukuhkan pengetahuannya, pada Januari 1971, beliau mengikuti kursus undang-undang di United Nations Asia and Far East Institute for the Prevention of Crime and Treatment of Offenders (UNAFEI) di Fuchu, Tokyo, sebuah institusi pengurusan jenayah di bawah PBB.

Walau bagaimanapun, pada 1974, beliau memilih untuk berundur daripada jawatan kerajaan kerana ingin terlibat secara langsung dalam politik, sekali membuka firma guamannya sendiri. Bakat kepemimpinan beliau telah terserlah sejak kecil di mana beliau adalah Ketua Murid di SIC dan menjadi Pengakap Raja pada 1951, sebelum dilantik sebagai pengawas di MCKK. Penglibatan dalam BSN telah mendedahkan kepada beliau mengenai isu-isu penyelewengan dalam Kerajaan Perikatan ketika itu, di mana bossnya, Tan Sri Harun Hashim sangat terkenal dalam memerangi rasuah dan salah laku di kalangan pemimpin politik dan pegawai tinggi kerajaan ketika itu.

Penglibatan politik

Sebagai seorang ahli kejaksaan, Hassan tidak boleh terlibat dalam politik kepartian, tetapi setelah beliau bertugas di BSN Terengganu pada 1965, beliau mulai terlibat dalam politik dengan menyertai Umno di Kuala Terengganu, tetapi beliau tidak aktif bersama Umno untuk menjaga kredibiliti sebagai Pegawai BSN. Namun begitu sikap beliau terhadap politik mulai berubah apabila Umno gagal membela bangsa Melayu sehingga tercetusnya Tragedi 13 Mei 1969. Hassan mulai tidak senang dengan salah laku pemimpin Umno dan merasa kecewa dengan tindakan PAS memberikan nafas baru kepada Umno melalui pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1 Januari 1973. Apabila PAS bersama parti-parti sekutu Perikatan menubuhkan Barisan Nasional (BN) pada Jun 1974, Hassan bertindak menyokong kumpulan serpihan PAS, Barisan Bebas Bersatu (BBB) yang diketuai oleh Cikgu Ahmad Fakharuddin Abdullah, bekas Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat. BBB terbentuk melalui satu tindakan politik yang dikenali sebagai Revolusi 14 Mac. BBB telah bertindak meletakkan calon-calon untuk menentang calon-calon BN yang menggunakan simbol Dacing dalam Pilihan Raya Umum 1974. Hassan sendiri turut bertanding menentang calon BN-Umno, Che Lat Kassim di DUN Sungai Pinang, tetapi tewas.

Setelah kekalahan tersebut, Hassan memberikan tumpuan kepada firma guamannya yang ditubuhkan selepas pilihan raya itu yang mempunyai dua cawangan di Kuala Lumpur dan Kota Bharu. Ketika PAS menghadapi krisis kepemimpinan ekoran campur tangan Umno sejak 1977, Hassan lebih cenderung menyokong PAS. Apabila PAS disingkirkan daripada BN dalam bulan Disember 1977 dan Kelantan didaruratkan, Hassan telah memilih menyertai PAS pada 12 Januari 1978. Dua bulan kemudian, pada 11 Mac 1978, PAS telah kehilangan Kerajaan Kelantan apabila tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN). Pun begitu, kerana menghargai dukungan Hassan terhadap perjuangan PAS, beliau dipilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum 1978 yang diadakan kemudian daripada PRN Kelantan. Beliau bertanding di Parlimen Kuala Langat menentang Datin Paduka Aishah Ghani dari BN. Beliau juga tewas dalam pertandingan ini.

Pada 1982, ketika pengaruh PAS mulai pulih di Kelantan, PAS Kelantan menamakan Haji Hassan sebagai calon untuk DUN Kemumin, di mana beliau berjaya merampas kerusi tersebut daripada BN. Namun begitu, calon BN telah membantah kemenangan ini di mahkamah dan kemenangan beliau telah dibatalkan. Dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kemumin pada 8 September 1983, Haji Hassan tidak dapat mempertahankan kemenangannya. Pilihan Raya Kecil ini adalah yang terakhir untuknya.

Selain menjadi calon PAS dalam beberapa pilihan raya, Haji Hassan adalah ahli PAS Kota Bharu sejak 12 Januari 1978, tetapi berpindah ke Petaling Jaya setahun kemudian. Beliau dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Petaling Jaya, Selangor pada 1979 hingga 1983. Pada 1979 juga, beliau dilantik oleh Dato’ Mohd Asri Haji Muda sebagai Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan menggantikan Ustaz Abdul Jalil Safwan Abdul Rahman. Pada 1981, beliau dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Agung PAS, satu jawatan yang dipegang sehingga 1985. Beliau menolak jawatan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan pada 1981 kerana terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Agung PAS, lalu tempat beliau digantikan oleh Cikgu Mohd Nor Jan. Di samping itu juga, beliau turut dilantik sebagai salah seorang Penasihat Undang-undang PAS.

Walaupun Haji Hassan menyertai PAS melalui Dato’ Mohd Asri dan bekas Yang Dipertua Agung PAS itu yang membawanya ke dalam kepemimpinan PAS Pusat, tetapi ketika krisis kepemimpinan berlaku pada 1982, beliau tidak menyertai kumpulan Dato’ Mohd Asri, sebaliknya mendukung kepemimpinan ulamak. Beliau adalah salah seorang pengasas kepemimpinan ulamak PAS dan kerana itu beliau terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Agung PAS pada sesi 1983-1985. Beliau adalah antara tenaga profesional yang istiqamah dalam PAS ketika PAS menerima tekanan pelbagai pihak pada dekad 1980-an.

Perjalanan terakhir

Haji Hassan yang terkenal sebagai seorang peguam ini merupakan seorang yang humble. Beliau bukan sahaja mesra dan rapat dengan masyarakat, tetapi juga boleh menjadi tok lebai di kampung. Masyarakat sangat mengkagumi beliau sebagai seorang lepasan MCKK dan belajar di London, tetapi boleh merendah diri dan bergaul dengan rakyat bawahan. Haji Hassan yang mempunyai seorang isteri, Hajah Nik Rahmah Nik Abdul Rahman dan dikurniakan empat anak – El-Ainee, lulusan ekonomi Universiti Malaya; Malek Redzuan, lulusan perubatan UKM; Abdul Aziz, lulusan undang-undang University of Buckingham; dan Nazri lulusan seni bina. Setelah berjuang sejak sebelum Perang Dunia Kedua, dalam bulan Ogos 1985, Haji Hassan telah meninggal dunia dalam usia 51 tahun di rumahnya di Kampung Tengku, Petaling Jaya. Perjuangannya berakhir ketika kepemimpinan ulamak PAS masih baru terbentuk.

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
8 Rabi’ul Akhir 1445
23 Oktober 2023 – HARAKAHDAILY 23/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -