Surah Taha: Prinsip, pendekatan dan cabaran dakwah (5)

- Advertisement -

CABARAN Firaun terhadap Nabi Musa

- Advertisement -

وَلَقَدْ اَرَيْنٰهُ اٰيٰتِنَا كُلَّهَا فَكَذَّبَ وَاَبٰى

“Dan sesungguhnya Kami telah perlihatkan kepadanya (Firaun) tanda-tanda kekuasaan Kami semuanya, tetapi dia mendustakan dan enggan (menerima kebenaran). (56)”

Semasa Nabi Musa bertemu dengan Firaun, ada dua mukjizat yang ditunjukkan. Mukjizat yang pertama ialah tongkatnya bertukar menjadi seekor ular sehingga menyebabkan Firaun terkejut melihatnya. Keduanya ialah tangan Nabi Musa menjadi putih setelah diletakkan di bawah ketiak.

Selama Baginda berada di Mesir dan berdakwah mengajak Firaun dan penduduk Mesir serta Bani Israel supaya memeluk Islam, ada sembilan mukjizat yang dikurniakan kepadanya. Antaranya ialah darah, katak, kutu, kemarau dan sebagainya.

Walaupun kesemua mukjizat ini dilihat oleh Firaun, namun dia tetap enggan mendengar dan menerima kebenaran. Dalam sejarah, dia pernah memanggil ahli sihir untuk berhimpun sebab dia menganggap bahawa Nabi Musa ialah ahli sihir. Kehebatan pada ketika itu ialah ilmu sihir.

Baginda berasa takut dengan keadaan tersebut. Lalu diminta untuk mencampakkan tongkatnya dan ia bertukar menjadi seekor ular yang lebih besar. Ular itu menelan segala ular yang ada. Ular-ular yang ditelan lenyap begitu saja. Baginda mengambil tongkatnya dan daripada ular ia bertukar menjadi tongkat semula. Kejadian itu mengejutkan ahli sihir Firaun.

Jadi, ahli sihir Firaun mendakwa bahawa Baginda bukan ahli sihir. Mereka berdepan dengan seorang insan yang istimewa. Kalau Baginda mengaku dirinya sebagai Nabi, maka ia adalah benar. Jadi, semua ahli sihir Firaun beriman.

Keimanan mereka terhadap Nabi Musa adalah tanpa izin daripada Firaun. Jadi, Firaun mahu menghukum mereka sekiranya mereka berterusan beriman. Hukumannya adalah dengan mengikat mereka di pokok dan memotong secara bersilang. Namun begitu, mereka tidak berasa takut dengan ugutan Firaun. Akhirnya, mereka semua dibunuh dan meninggal dalam keadaan beriman:

قَالَ اَجِئْتَنَا لِتُخْرِجَنَا مِنْ اَرْضِنَا بِسِحْرِكَ يٰمُوْسٰى

“Firaun berkata: “Apakah kamu datang kepada kami untuk mengusir kami dari negeri kami (ini) dengan sihirmu, wahai Musa? (57)”

Sesiapa yang hebat dalam sihir, orang akan berasa takut dengannya. Seperti sihir yang ditunjukkan dalam filem seperti ‘The Mummy’ atau ‘The Mummy Returns’. Firaun mengira bahawa Nabi Musa membawa sihir untuk mempengaruhi penduduk Mesir supaya lari meninggalkan negeri dan keluar daripada agama yang dipegang olehnya dan pengikut-pengikutnya:

فَلَنَأْتِيَنَّكَ بِسِحْرٍ مِّثْلِهٖ فَاجْعَلْ بَيْنَنَا وَبَيْنَكَ مَوْعِدًا لَّا نُخْلِفُهٗ نَحْنُ وَلَآ اَنْتَ مَكَانًا سُوًى

“Dan kami pun pasti akan mendatangkan (pula) kepadamu sihir seumpama itu, maka tetapkanlah suatu waktu untuk pertemuan antara kami dan kamu, yang kami tidak akan menyalahinya dan tidak (pula) kamu, di suatu tempat yang sesuai bagi kedua belah pihak.” (58)”

Firaun mencabar Nabi Musa untuk berlawan dengan ahli sihirnya. Baginda diminta untuk menentukan waktu pertemuan tersebut:

قَالَ مَوْعِدُكُمْ يَوْمُ الزِّيْنَةِ وَاَنْ يُّحْشَرَ النَّاسُ ضُحًى

“Musa berkata: “Waktu untuk pertemuan (kami dengan) kamu itu ialah pada hari raya dan hendaklah dikumpulkan manusia pada waktu matahari naik tinggi segalah.” (59)”

Baginda menetapkannya pada hari perayaan mereka. Hari raya itu tidak dinyatakan secara khusus namanya tetapi ia sentiasa disambut pada setiap tahun. Ia ditetapkan pada waktu Dhuha, di mana kebiasaannya orang-orang alim beramal ketika itu:

فَتَوَلّٰى فِرْعَوْنُ فَجَمَعَ كَيْدَهٗ ثُمَّ اَتٰى

“Maka Firaun meninggalkan (tempat itu), lalu mengatur tipu dayanya, kemudian dia datang. (60)”

Apabila tiba masanya, Firaun bersiap sedia untuk pergi ke majlis pertemuan tersebut. 

قَالَ لَهُمْ مُّوْسٰى وَيْلَكُمْ لَا تَفْتَرُوْا عَلَى اللّٰهِ كَذِبًا فَيُسْحِتَكُمْ بِعَذَابٍۚ وَقَدْ خَابَ مَنِ افْتَرٰى

“Musa berkata kepada mereka: “Celakalah kamu! Janganlah kamu mengada-adakan pendustaan terhadap Allah, maka Dia membinasakan kamu dengan seksa.” Dan sesungguhnya telah rugi orang yang mengada-adakan pendustaan. (61)”

Ahli sihir Firaun (sebelum mereka memeluk Islam) yang melihat kelebihan pada Nabi Musa menyangka bahawa ia juga sebagai sihir sebab nampak pelik. Dalam ilmu Usuluddin, ada Khawariqul ‘Adah iaitu sesuatu yang mencarikkan adat atau di luar daripada kebiasaan. Contohnya, api yang tidak membakar dan pisau yang tidak melukakan.

Namun begitu dalam Islam, ulamak membahagikannya sebab tidak semuanya betul. Ada yang berlaku kepada orang beriman dan ada juga yang berlaku kepada orang yang tidak beriman.

Yang paling hebat ialah mukjizat. Dalam kisah Nabi Musa ini, sebatang tongkat boleh berubah menjadi seekor ular dan menelan segala ular lain. Dengannya juga boleh membelah laut sehingga menghasilkan dua belas lorong yang masing-masing boleh dilalui oleh dua belas kabilah Bani Israel.

Bagi Nabi Muhammad S.A.W pula, air keluar dari celah-celah jari Baginda. Minuman perlu disediakan dalam satu bekas yang kecil kepada tentera yang ramai. Nabi mencelupkan tangannya dan Sahabat melihat ada air yang keluar dari celah-celah jari Baginda. Orang meminumnya sepuas-puasnya dan ia tidak habis [1].

Yang kedua disebut sebagai karamah atau kemuliaan. Ia hanya diberikan kepada orang soleh atau wali Allah S.W.T. Contohnya, kisah Sunan Bonang menghentakkan tongkatnya sehingga berjaya menimbulkan segala kitab yang telah tenggelam akibat kapal yang karam. Begitu juga kisah Tok Kenali yang diceritakan banyak memiliki karamah. Beliau asalnya tidak mampu menanggung kos pengajian di Mekah tetapi disebabkan oleh semangatnya, beliau hanya duduk di luar Masjidil Haram dan mengutip ilmu daripada guru-guru di sana. Walaupun begitu, beliau menjadi orang yang lebih alim berbanding dengan pelajar-pelajar lain.

Ada satu kitab yang bertajuk “Jami’ Karamatil Auliya” [2] – “Himpunan Keramat-keramat Para Wali”. Menunjukkan bahawa itulah kelebihan yang Allah berikan kepada orang yang dekat dengan-Nya.

Yang ketiga ialah ‘Ma’unah’ atau pertolongan Allah diberikan kepada orang beriman. Contohnya, tuan kereta selamat dan hanya cedera ringan dalam kemalangan walaupun kereta habis remuk atau tuan rumah sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran rumahnya.

Yang keempat pula yang diberikan kepada orang bukan-Islam iaitu ‘Al-ihanah’ atau penghinaan. Contohnya, nak keluarkan burung merpati tetapi yang keluarnya adalah tikus. Satu lagi ialah istidraj yang akan memusnahkannya, misalnya dia tidak solat tetapi kebal.

‘Irhas’ diberikan kepada orang yang bakal menjadi Nabi. Contohnya, ketika Nabi Muhammad S.A.W dilahirkan ke dunia, api sembahan orang Majusi di Parsi terpadam.

Kadang-kadang, kita jadikan orang yang tidak solat atau memakai seluar pendek sebagai guru. Jadi, jangan mudah kita terpedaya dengan Khawariqul ‘Adah hanya kerana nampak ianya pelik.

Ada caranya untuk melawan benda salah

Sihir juga termasuk dalam Khawariqul ‘Adah. Kalau dari segi hukum, haram belajar sihir. Walau atas alasan sihir hanya boleh dilawan dengan sihir, jadi terpaksalah belajar ilmu sihir. Ia bukan begitu, sepatutnya untuk melawan benda yang salah mesti dengan agama. Bukankah kita ada al-Quran, Hadis dan doa yang diajar oleh Nabi.

Dalam kisah lain [3], ada raja yang kafir mempunyai ahli sihir yang hebat. Ahli sihir yang sudah berusia itu datang berjumpa dengan raja. Dia memberitahu mengenai keuzurannya dan kebimbangannya sebab tiada yang dapat mewarisi ilmu sihirnya. Dia meminta raja supaya mencari orang yang sesuai untuk mewarisi ilmunya.

Raja menemui seorang budak yang boleh mewarisi ilmu sihir itu. Budak itu pun belajar dengan ahli sihir itu. Suatu hari dalam perjalanan, budak itu menemui sebuah bangsal yang didiami oleh seorang pakcik tua yang alim. Pakcik itu menawarkan untuk mengajar ilmunya kepada budak itu.

Budak itu belajar kedua-dua ilmu tersebut. Setelah tamat belajar, dia pun membandingkan antara kedua-duanya mana satu yang lebih hebat. Suatu hari dia menemui seekor haiwan yang besar yang mengganggu jalan orang ramai. Dia menguji kehebatan kedua-dua ilmu itu untuk mengetahui yang manakah dapat membunuh haiwan tersebut.

Kehebatan ilmu pakcik tua berbanding dengan ahli sihir menambah keimanannya. Akhirnya berita keimanannya sampai kepada pengetahuan raja. Dia akan dihukum bunuh. Bermacam-macam cara dibuat seperti membuangnya dari puncak gunung tetapi tidak mati, membuangnya ke tengah laut tetapi tidak lemas dan membakarnya tetapi tidak hangus. Rupa-rupanya dia beramal dengan satu doa: “اللهم اكفنيهم بما شئت” yang bermaksud “Wahai Tuhan, lindungilah aku daripada kejahatan mereka mengikut apa yang Engkau kehendaki.”

Lalu, dia memberitahu kepada raja satu rahsia macam mana nak membunuhnya. Dia meminta raja supaya mengerahkan semua rakyat untuk berhimpun dan mengikatnya di pokok untuk dipanah. Kemudian dibacakan: “باسم الله رب الغلام” yang bermaksud “Dengan nama  Allah Tuhan budak ini” sebelum melakukan panahan.

Setelah dipanah, akhirnya dia mati. Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menganggap bahawa dia jauh lebih hebat berbanding dengan ahli sihir. Sebab yang boleh membunuhnya adalah cuma dengan nama Tuhannya. Dicari-cari siapakah nama Tuhannya itu, rupa-rupanya Allah S.W.T.

Akhirnya, orang ramai semua memeluk Islam dan beriman kerana tengok kehebatan agama budak itu. Raja tidak boleh melawannya dan tiada apa yang boleh memudaratkannya kecuali dengan anak panah yang disuruhnya. Inilah salah satu cara dalam berdakwah. Kematiannya menyebabkan orang ramai beriman dan ia mengundang kemarahan raja.

Orang ramai ditangkap dan dibuang ke dalam parit besar yang dinyalakan api. Mereka digelar sebagai Ashabul Ukhdud. Ada seorang wanita yang mengendong anaknya teragak-agak nak masuk ke dalam parit sebab sayangkan anaknya. Anaknya berkata kepada ibunya supaya jangan berasa takut kerana kamu berada atas kebenaran.

Pengajarannya adalah kalau nak melawan benda yang tidak betul bukan dengan menggunakan cara yang tidak betul. Gunalah cara yang betul iaitu al-Quran dan Hadis. Sihir ini memang hebat tetapi atas izin Allah belaka. Kalau Allah tidak mengizinkan, datanglah ahli sihir yang hebat setara mana pun, tetap tidak akan terjadi apa-apa. Kalau ia tetap berlaku, maka itu adalah qada’ dan qadar-Nya.

Tidak perlu sampai belajar ilmu sihir atau jampi serapah yang bukan-bukan sedangkan dalam al-Quran sendiri ada banyak ayat pelindung. Contohnya, surah 3 Qul merupakan surah pendinding yang paling kuat. Ia diturunkan secara khas melalui malaikat Jibril kepada Nabi S.A.W ketika disihir. Baginda diajar untuk membacanya pada setiap pagi dan petang. Juga dituntut untuk membacanya sebelum tidur.

Mukjizat tongkat Nabi Musa mematahkan sihir

فَتَنَازَعُوْٓا اَمْرَهُمْ بَيْنَهُمْ وَاَسَرُّوا النَّجْوٰى

“Maka mereka berbantah-bantahan mengenai urusan di antara mereka dan mereka merahsiakan percakapan (mereka). (62)”

قَالُوْٓا اِنْ هٰذٰنِ لَسٰحِرَانِ يُرِيْدَانِ اَنْ يُّخْرِجٰكُمْ مِّنْ اَرْضِكُمْ بِسِحْرِهِمَا وَيَذْهَبَا بِطَرِيْقَتِكُمُ الْمُثْلٰى

“Mereka berkata: “Sesungguhnya dua orang ini adalah benar-benar ahli sihir yang hendak mengusir kamu dari negeri kamu dengan sihirnya dan hendak melenyapkan kedudukan kamu yang utama. (63)”

Mereka menganggap bahawa Nabi Musa dan Nabi Harun ialah ahli sihir bukan Nabi yang diutus oleh Allah S.W.T: 

فَاَجْمِعُوْا كَيْدَكُمْ ثُمَّ ائْتُوْا صَفًّاۚ وَقَدْ اَفْلَحَ الْيَوْمَ مَنِ اسْتَعْلٰى

“Maka himpunkanlah segala tipu daya (sihir) kamu sekalian, kemudian datanglah dengan berbaris dan sesungguhnya beruntunglah orang yang menang pada hari ini.” (64)”

Ahli-ahli sihir Firaun berpakat dan menyusun strategi untuk berdepan dengan Nabi Musa dan Nabi Harun dan yakin mereka akan beroleh kemenangan yang besar:

قَالُوْا يٰمُوْسٰٓى اِمَّآ اَنْ تُلْقِيَ وَاِمَّآ اَنْ نَّكُوْنَ اَوَّلَ مَنْ اَلْقٰى

“(Setelah mereka berkumpul) mereka berkata: “Wahai Musa! (Pilihlah) apakah kamu yang melemparkan (dahulu) atau kami yang mula-mula melemparkan?” (65)”

قَالَ بَلْ اَلْقُوْاۚ فَاِذَا حِبَالُهُمْ وَعِصِيُّهُمْ يُخَيَّلُ اِلَيْهِ مِنْ سِحْرِهِمْ اَنَّهَا تَسْعٰى

“Musa berkata: “Silakan kamu sekalian melemparkan!” Maka tiba-tiba tali-tali dan tongkat-tongkat mereka, terbayang kepada Musa seakan-akan ia merayap dengan cepat lantaran sihir mereka. (66)”

Ketika mereka melemparkannya, ia kelihatan seperti seekor ular yang bergerak:

فَاَوْجَسَ فِيْ نَفْسِهٖ خِيْفَةً مُّوْسٰى

“Maka Musa merasa takut dalam hatinya. (67)”

Nabi Musa berasa takut sebab bermacam-macam jenis ular keluar. Sebab Nabi juga ialah manusia biasa yang ada perasaan:

قُلْنَا لَا تَخَفْ اِنَّكَ اَنْتَ الْاَعْلٰى

“Kami berkata: “Janganlah kamu takut, sesungguhnya kamulah yang paling unggul (menang).” (68)”

Allah memujuk Nabi Musa agar tidak berasa bimbang. Baginda akan beroleh kemenangan sebab Allah akan menolongnya:

وَاَلْقِ مَا فِيْ يَمِيْنِكَ تَلْقَفْ مَا صَنَعُوْاۗ اِنَّمَا صَنَعُوْا كَيْدُ سٰحِرٍۗ وَلَا يُفْلِحُ السّٰحِرُ حَيْثُ اَتٰى

“Dan lemparkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia akan menelan apa yang mereka perbuat. Sesungguhnya apa yang mereka perbuat itu adalah tipu daya tukang sihir (belaka). Dan tidak akan menang tukang sihir itu, dari mana saja ia datang.” (69)”

Allah menyuruh Nabi Musa agar mencampakkan sahaja tongkat yang ada di tangannya. Sihir mereka tidak akan memberi kemudaratan kepadanya. Baginda pun mencampakkan tongkatnya dan ia bertukar menjadi seekor ular yang lebih besar daripada segala ular yang ada. Hal tersebut menggerunkan semua orang. Ularnya menelan ular-ular lain dan ular-ular tersebut lenyap begitu sahaja:

فَاُلْقِيَ السَّحَرَةُ سُجَّدًا قَالُوْٓا اٰمَنَّا بِرَبِّ هٰرُوْنَ وَمُوْسٰى

“Lalu tukang-tukang sihir itu merebahkan diri mereka, lalu bersujud, seraya berkata: “Kami telah beriman kepada Tuhan Harun dan Musa.” (70)”

Kejadian itu menyebabkan ahli-ahli sihir mengetahui bahawa ia bukan sihir. Kalau betullah sihir, ular-ular yang ditelan pasti akan kembali kepada asal tetapi ia lenyap begitu sahaja dan tidak meninggalkan kesan. Mereka tahu atau ‘kenal barey‘ bahawa ia bukan mainan biasa tetapi luar biasa. Mereka pun sujud dan beriman:

قَالَ اٰمَنْتُمْ لَهٗ قَبْلَ اَنْ اٰذَنَ لَكُمْۗ اِنَّهٗ لَكَبِيْرُكُمُ الَّذِيْ عَلَّمَكُمُ السِّحْرَۚ فَلَاُقَطِّعَنَّ اَيْدِيَكُمْ وَاَرْجُلَكُمْ مِّنْ خِلَافٍ وَّلَاُصَلِّبَنَّكُمْ فِيْ جُذُوْعِ النَّخْلِۖ وَلَتَعْلَمُنَّ اَيُّنَآ اَشَدُّ عَذَابًا وَّاَبْقٰى

“Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepadanya (Musa) sebelum aku memberi izin kepadamu sekalian? Sesungguhnya dia adalah pemimpinmu yang mengajarkan sihir kepadamu sekalian. Maka sesungguhnya aku akan memotong tangan dan kaki kamu sekalian dengan bersilang secara timbal balik dan sesungguhnya aku akan menyalib kamu sekalian pada pangkal pohon kurma dan sesungguhnya kamu akan mengetahui siapa di antara kita yang lebih pedih dan lebih kekal seksaannya. (71)”

Mereka akan dibunuh dengan dipotong kaki dan tangan mereka secara bersilang. Firaun mahu menunjukkan kuasanya. Dia mengira kalau sesiapa yang nak beriman, kena meminta izinnya terlebih dahulu. Dia mengugut ahli-ahli sihir yang masih mahu beriman. Malah, dia menuduh pula Nabi Musa ialah ketua kepada mereka. Sedangkan Nabi Musa baru sahaja pulang ke Mesir dari Madyan. Ini dinamakan sebagai ‘reverse psychology’.

Contohnya, pencuri yang menyamar dan membantu orang kampung untuk mengejar pencuri padahal dialah pencuri itu seperti yang dilakonkan dalam filem Ali Baba Bujang Lapok. Inilah ‘reverse psychology’ yang sama telah digunakan oleh Firaun apabila dia kalah dengan Nabi Musa: 

قَالُوْا لَنْ نُّؤْثِرَكَ عَلٰى مَا جَاۤءَنَا مِنَ الْبَيِّنٰتِ وَالَّذِيْ فَطَرَنَا فَاقْضِ مَآ اَنْتَ قَاضٍۗ اِنَّمَا تَقْضِيْ هٰذِهِ الْحَيٰوةَ الدُّنْيَا

“Mereka berkata: “Kami sekali-kali tidak akan mengutamakan kamu dari bukti-bukti yang nyata (mukjizat), yang telah datang kepada kami dan daripada Tuhan yang telah menciptakan kami; maka putuskanlah apa yang hendak kamu putuskan. Sesungguhnya kamu hanya akan dapat memutuskan pada kehidupan di dunia ini saja. (72)”

Walau macam mana sekali pun hukuman yang akan diberikan, mereka tetap tidak akan berganjak daripada kebenaran yang mereka peroleh. Mereka meletakkan akhirat sebagai yang utama. Di dunia, mungkin kita susah atau dihina tetapi kalau kita berada di atas jalan yang benar dan mengikut al-Quran dan Sunnah, pedulikanlah yang lain-lain.

Contohnya, Syed Qutb, Hassan al-Banna dan Morsi dibunuh tetapi mereka berada di atas jalan kebenaran. Boleh dihukum di dunia seperti ditangkap dan dipenjara sebab ada kuasa. Tetapi sampai bila sebab dunia ini sifatnya sementara. Berbeza di akhirat, kita akan berdepan dengan Allah di padang mahsyar. Orang jahat tidak boleh melepaskan diri: 

اِنَّآ اٰمَنَّا بِرَبِّنَا لِيَغْفِرَ لَنَا خَطٰيٰنَا وَمَآ اَكْرَهْتَنَا عَلَيْهِ مِنَ السِّحْرِۗ وَاللّٰهُ خَيْرٌ وَّاَبْقٰى

“Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, agar Dia mengampunkan kesalahan-kesalahan kami dan sihir yang telah kamu paksakan kepada kami melakukannya. Dan Allah lebih baik (pahalaNya) dan lebih kekal (azabNya).” (73)”

Mereka beriman dan berserah kepada Allah S.W.T:

اِنَّهٗ مَنْ يَّأْتِ رَبَّهٗ مُجْرِمًا فَاِنَّ لَهٗ جَهَنَّمَ ۗ لَا يَمُوْتُ فِيْهَا وَلَا يَحْيٰى

“Sesungguhnya barang siapa datang kepada Tuhannya dalam keadaan berdosa, maka sesungguhnya baginya neraka Jahannam. Dia tidak mati di dalamnya dan tidak (pula) hidup. (74)”

Orang yang mati dalam keadaan berdosa tidak akan selamat. Oleh sebab itu, kita dituntut supaya sentiasa memohon keampunan daripada-Nya. Sekurang-kurangnya selepas solat, kita beristighfar dan bertaubat:

وَمَنْ يَّأْتِهٖ مُؤْمِنًا قَدْ عَمِلَ الصّٰلِحٰتِ فَاُولٰۤىِٕكَ لَهُمُ الدَّرَجٰتُ الْعُلٰى

“Dan barang siapa datang kepada Tuhannya dalam keadaan beriman, lagi pula telah beramal soleh, maka mereka itulah orang yang mendapat tempat-tempat yang tinggi (mulia). (75)”

Kalau kesudahan kita tidak baik, kita akan dimasukkan ke dalam neraka. Kalau kesudahan kita baik, Insya-Allah kita akan dimasukkan ke dalam syurga. Oleh itu, kita dituntut untuk memohon supaya dimatikan dalam keadaan husnul khotimah. Biasakanlah untuk pergi ke tempat-tempat yang baik agar mati pun di tempat-tempat yang baik.

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Yang di-Pertua Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Sri Amar Diraja Haji Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 23 Oktober 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan.HARAKAHDAILY 23/10/2023

Rujukan:

[1] Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim, no.Hadis 2279.
[2] Karangan Yusuf Bin Ismail al-Nabhani.
[3] Berdasarkan Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim, no. Hadis 3005.

- Advertisement -