Jual pasar raya wakaf, bina hotel Islamik

- Advertisement -

SHAH ALAM: Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pusat, Datuk Dr Ustaz Nik Mohamad Zawawi Salleh menjelaskan bahawa pihaknya merancang untuk menjual Pasar Raya Wakaf di Dungun, Terengganu yang sedang dalam proses pembinaan.

Katanya, dana yang diperolehi daripada penjualan pasar raya tersebut akan digunakan untuk membina sebuah hotel Islamik bersebelahan lokasi pasar raya tersebut.

- Advertisement -

Beliau menyatakan perkara ini bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan perwakilan ketika Sesi Penggulungan, Muktamar PAS Pusat ke-69 di IDCC di sini, hari ini.

Menjelaskan perkembangan projek ini, katanya pada peringkat awal di bawah mantan pengerusi lajnah yang lepas, sebanyak 60 peratus nilai pasar raya itu dijual kepada syarikat Makmur Gold pada harga RM6.84 juta, namun syarikat itu hanya membayar sebanyak RM4.6 juta.

“Selepas itu berlaku sedikit permasalahan menyebabkan Makmur Gold menarik balik pembelian, ia dibatalkan dan kes ini berlaku di peringkat urusan mahkamah,” ujarnya.

Beliau memberikan komitmen untuk menyelesaikan isu ini dan dengan jumlah kutipan dana dan modal diterima daripada syarikat Makmur Gold, pembinaan bangunan yang kini menjangkau 80 peratus akan disempurnakan dengan segera.

Menurutnya, kos untuk menyiapkan bangunan itu dijangka menelan belanja lebih RM10 juta berikutan kenaikan harga bahan pembinaan dan dirancang untuk dijual setelah siap.

Dari sudut hukum fikh syar’ie, katanya harta yang diwakafkan boleh dijual dengan syarat sebuah bangunan lain perlu dibina tanpa menjejaskan jumlah wakaf yang diwakafkan oleh penyumbang dana tersebut.

“Jadi insya-Allah harga RM10 juta yang akan siap, saya akan berusaha dengan Ahli Jawatankuasa dan kita akan jual dengan harga kurang lebih, dalam proses rundingan, sebanyak RM14 juta. Jadi kita akan dapat untung RM4 juta lebih.

“Kita campur dengan RM3.5 juta, maka akan dapat satu aset kurang lebih RM7.5 juta. Kita akan bangunkan sebuah hotel Islamik di tepi bangunan tersebut yang jaraknya dengan Hospital Besar Dungun hanya 500 meter,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/10/2023

- Advertisement -