Muktamar DPPM: Menyedia pelapis muda wibawa dan pemberani

- Advertisement -

MUKTAMAR Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ke 64 sedang berlangsung ketika ini. Dalam suasana PAS dan Perikatan Nasional menang banyak kerusi dan dalam suasana kini semakin ramai wakil pemuda PAS duduk di tempat pembuat dasar samada di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri.

- Advertisement -

Kejayaan yang paling mencipta rekod buat masa ini dengan 43 MP PAS di Parlimen dan lebih 100 ADUN di seluruh negeri.

Melihat kepada perbahasan hari pertama sidang pada hari ini, ramai perwakilan yang muda dan baharu yang tampil ke hadapan dalam merancakkan idea membuka lembaran baharu bagi mematangkan lagi pergerakan pemuda PAS khasnya kini sayap parti ini memimpin Pemuda Perikatan Nasional di peringkat kebangsaan dimana Ketuanya, YB Ustaz Fadhli Shaari sebagai ketua pemuda PN dan ramai dalam kalangan saf kepimpinan pemuda menganggotai saf utama Pemuda PN samada di peringkat nasional mahupun negeri.

Tampak kerjasama ini semakin kukuh walau ada yang cuba membadai api perpecahan dengan fitnah dan adu-domba dari luar gelanggang pemuda PN. Biasalah ada sahaja langau yang mahu menjadikan kesepaduan dalam pemuda PN dan PN diperingkat pusat berbalah. Ditabur racun-racun perpecahan namun begitu, PN kekal kukuh. Buktinya sepanjang pilihan raya umum dan pilihan raya negeri yang lalu, kerjasama tetap kukuh dan pembahagian kerusi dapat dilaksanakan dengan baik.

Dalam hal ini dapat dilihat pemuda menjadi benteng kepada pengukuhan kesepakatan PN dimana setiap provokasi dan layanan isu yang cuba memecah disanggah dengan baik malah terus tenang mendepani ancaman luar.

Inilah sifat sebenar Pemuda PAS, mereka berani dan proaktif memberikan idea dan bersedia untuk melaksanakan segala agenda yang membawa kebaikan untuk Islam, namun dalam masa yang sama mereka kuat kekal dan matang dalam bertindak.

Benar peremajaan Pemuda PAS menjadikan kepimpinan yang ada kini semakin menyerlah, buktinya peranan anak muda yang menjadi wakil rakyat di Parlimen seperti Ustaz Fadhli, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamuddin, Nurul Amin Hamid dan ramai lagi yang berada di pentas Dewan Rakyat hadir dengan idea dan perbahasan menarik bukan sekadar berani membangkang, tetapi mereka datang dengan idea bernas.

Bak kata seorang rakan pensyarah, jauh lebih matang wakil rakyat dalam kalangan anak muda PAS dan PN berbanding menteri muda PH-BN serta ‘anak papa’ di Parlimen yang selalu menjerit tak ketahuan, namun koyak bila dibentes hujah hingga terpaksa mendapatkan imuniti dari papa yang mengendali bicara di Parlimen.

Apa yang diharapkan muktamar kali ini dapat melahirkan lebih ramai lagi pemimpin pemuda PAS yang berkaliber dan berani tapi matang untuk ditampilkan dalam saf kepimpinan baharu serta generasi pelapis bakal menjadi barisan hadapan mencipta kejayaan cemerlang PAS dan PN dalam Pilihan Raya Umum ke 16 nanti.

Apatah lagi kini sokongan anak muda boleh dikatakan sepenuhnya tertumpu kepada PN walaupun kajian ‘separa masak’ pihak pro PH-BN mendakwa kononnya mereka mendapat sokongan dan dukungan anak muda. Ketepikan dapatan mereka ini walaupun suatu masa lalu anak muda ramai jadi pengkagum idola reformasi yang kini hanya jadi ‘reforbasi’.

Dengan kepelbagaian latar belakang yang ada dalam pemuda, profesional, ulamak dan aktivis ditambah dengan ramai yang kini telah pun ‘berdoktorat’ miliki Ijazah Sarjana Doktor Falsafah, mereka ini pasti dapat ditonjolkan sebagai pelapis masa depan yang lebih mampu menguasai dimensi pemikiran anak muda masa akan datang. Namun pra-syaratnya mereka mestilah sedia ditarbiah dan diberikan pengalaman oleh senior-senior yang miliki pengalaman.

Anak muda masa depan tidak boleh manja dan mudah koyak, maka pemimpin pelapis pemuda juga harus bersifat ‘teguh’ pendirian, istiqamah dengan perjuangan, tidak mudah patah semangat, tidak betah dengan hujah provokasi, perlu intelek dalam menguasai massa rakyat, cakna kebajikan, tidak mendabik dada dengan ilmu namun tunduk berisi menentang membangkang dengan fakta dan data.

Anak muda waris pelapis kepimpinan harus akur dengan pendekatan massa yang lebih banyak interaksi di media sosial, namun perlu menjejak dan berpijak di bumi melihat mad’u yang tidak berada di garis media sosial yang mungkin jauh tercicir dengan arus massa, mereka ini juga perlu dicaknai.

Semoga usaha ini dipandang oleh Allah SWT sebagai amal yang berterusan pahalanya sesuai dengan tema ucaptama Generasi Sejahtera Mengisi Kemenangan, melangkah sederap melihat kesegenap arah dan berbicaralah dengan akhlak mulia agar kalian menjadi cerminan masa depan kepimpinan PAS. – HARAKAHDAILY 19/10/2023

Penulis mantan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan dan AJK Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

- Advertisement -