Dewan Ulamak pesan usah sia-siakan mandat rakyat

Dato’ Ahmad Yahaya
- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Ulamak PAS Pusat menyifatkan kejayaan PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 sebagai cemerlang.

- Advertisement -

“Kita bersyukur ke hadrat Ilahi kerana PAS bersama rakan-rakan dalam komponen PN dikurniakan kemenangan luar biasa dalam PRU dan PRN baru-baru ini.

“Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan yang tidak ternilai kepada seluruh jentera Dewan Ulamak PAS di pelbagai peringkat atas kesungguhan membantu jentera dalam pilihan raya baru-baru ini.

“Semoga segala penat yang dicurahkan diganjari pahala dan kebaikan yang berkekalan sehingga ke hari yang abadi,” kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Dato’ Ahmad Yahaya pada ucaptama Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-62 di sini hari ini.

Bagaimanapun kata beliau mandat rakyat yang diberi itu bukan untuk disia-siakan apatah lagi untuk dibanggakan dan menjadi medan menambah kekayaan.

Beliau berkata, denai yang akan dilalui selepas ini semakin merimbun di mana hutan perjuangan diterokai sekarang semakin tebal dan mencabar.

Oleh itu katanya usah mundur ke belakang dan teruskan berjuang di mana jua lapangan.

Menurutnya juga Dewan Ulamak memainkan peranan yang penting dalam membincangkan permasalahan ummah.

“Empat dekad gagasan kepimpinan ulama diikuti kemenangan luar biasa dalam pilihan raya tempoh hari memerlukan penglibatan para ulama yang lebih aktif untuk berpatisipasi dalam medan perbincangan dasar kerajaan serta termasuk memberi jalan penyelesaian sebarang permasalahan rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/10/2023

- Advertisement -