Malaysia harus lebih proaktif isu persempadanan negara

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

SHAH ALAM: Malaysia seharusnya lebih proaktif dalam meneliti isu-isu melibatkan persempadanan negara khususnya di sempadan maritim, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

- Advertisement -

Menurutnya, dasar-dasar seperti Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 yang meliputi Nilai Teras Keselamatan Negara dalam aspek Pengiktirafan Antarabangsa sewajarnya mendapat perhatian berterusan oleh kerajaan khususnya Wisma Putra.

“Perkembangan mutakhir ini begitu membimbangkan kita mengenai persempadanan maritim kita dengan negara sekitarnya,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-64 di IDCC di sini, malam ini.

Muktamar itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Turut hadir ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.

Katanya, dalam polemik Blok Ambalat, isu pertindihan tuntutan di blok ND6 dan ND7 Ambalat mencetuskan tanda tanya yang masih gagal dituntaskan oleh Kerajaan Persekutuan pada hari ini.

Oleh sebab itu, ujar beliau Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa supaya kerajaan mengambil berat  isu  kedaulatan negara khususnya melibatkan persempadanan maritim negara.

Beliau berkata, usah ambil ringan terhadap segala rungutan dan pertikaian yang berbangkit.

Katanya, dokumen-dokumen berkaitan triti berkenaan hendaklah dinyahklasifikasi segera agar rakyat dapat mengetahui setiap butiran dan terma yang telah dipersetujui.

Sewajarnya, kata beliau kerajaan menyediakan sesi penerangan yang menyeluruh terhadap polemik Blok Ambalat ketika ini.

“Kami berpandangan rakyat di negara ini berhadapan situasi assymmetrical information atau ketidaksepadanan maklumat di antara Malaysia dan Indonesia dalam isu Ambalat.

Beliau berkata, begitu menghairankan apabila media Indonesia meraikan kejayaan rundingan 18 tahun Blok Ambalat sedangkan media dan rakyat di negara ini masih terpinga-pinga apa sebenarnya kandungan triti yang dikemukakan.

Dewan Pemuda PAS Malaysia juga, ujarnya berpendirian isu persempadan maritim negara harus kembali ke medan wacana dan diskusi bersama kumpulan pakar dan ahli akademik.

“Kita harus membedah ruang lingkup isu-isu yang melingkari sempadanan perairan sementelah sebahagian besar sempadan negara kita dilingkungi oleh perairan.

“Kita sewajarnya belajar daripada kehilangan Batu Puteh ke tangan Singapura pada tahun 2008, apatah lagi secara tiba-tiba Kerajaan Persekutuan menghentikan rayuan ke ICJ yang sepatutnya dibuat pada tahun 2018,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 18/10/2023

- Advertisement -