Solidariti pertahan hak rakyat Palestin di UK dan Eropah

- Advertisement -

BARU-baru ini, ahli-ahli Kelab PAS United Kingdom telah menyertai demonstrasi aman untuk menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin di serata United Kingdom (UK) termasuk di Manchester, London, Belfast, Leeds dan Glasgow. Ia telah dianjurkan dan disokong oleh beberapa persatuan atau komuniti besar di UK seperti Muslim Association of Britain, Greater Manchester Stop the War Coalition termasuk komuniti Jewish seperti Jewish Voice For Labour. Beribu rakyat UK tidak kira agama, bangsa dan latar belakang ideologi telah menyertai demonstrasi aman tersebut untuk membela nasib rakyat Palestin yang ditindas oleh Kerajaan Zionis Israel.

Penyokong dan pendukung PAS di Republic of Ireland, Netherlands dan negara Eropa yang lain turut menyatakan solidariti mereka bersama perjuangan saudara-saudara kita di Palestin. 

Pengalaman demonstrasi kali ini agak berlainan jika dibandingkan demonstrasi-demonstrasi sebelum ini. Memang hampir setiap tahun demonstrasi membela nasib rakyat Palestin akan dianjurkan di serata UK dan ia dilihat sebagai salah satu demonstrasi aman yang biasa di samping demonstrasi-demonstrasi lain. Namun sejak insiden 7 Oktober 2023, pihak Kerajaan UK atau Home Office telah menunjukkan sokongan penuh kepada Kerajaan Israel di samping mengeluarkan arahan kepada pihak polis atau Police and Crime Commissioners England and Wales supaya bersedia untuk respon kepada usaha-usaha yang dilihat pro-Hamas.

Antara yang disebut dalam arahan tersebut adalah sorakan seperti ‘From the river to the sea, Palestine will be free’ hendaklah dilihat sebagai keinginan ganas atau violent desire dan sokongan untuk memadamkan negara Israel dalam peta dunia. Ada juga yang mengatakan mengibar bendera Palestin adalah menyalahi undang-undang. Sorakan seperti ini adalah sorakan yang sering kali dilaungkan dalam demonstrasi berkaitan pembebasan Palestin dan juga menjadi amalan biasa untuk mengibarkan bendera Palestin. Disebabkan arahan ini, ramai polis yang turun ke demonstrasi-demonstrasi kali ini malah di sesetengah tempat terdapat drone yang memantau di udara seolah-olah ia bakal mengundang ancaman.

Di sesetengah tempat juga, hadirin diberikan leaflet kecil mengenai apa yang perlu dibuat sekiranya ditanya atau ditahan oleh pihak polis. Ketua penganjur demonstrasi juga sering kali memperingatkan hadirin untuk merujuk beliau jika ditanya oleh pihak polis. Situasi seperti ini agak janggal di UK kerana UK terkenal sebagai sebuah negara bebas atau free country dan antara hak rakyat yang selalu dipertahankan adalah hak untuk bersuara selagi mana tidak mengancam keamanan masyarakat. Memahami hak ini, pihak penganjur dan hadirin tidak gentar untuk melaungkan sorakan ‘From the river to the sea, Palestine will be free’ dan mengibarkan bendera Palestin kerana yang diperjuangkan adalah nasib rakyat Palestin yang ditindas oleh Kerajaan Israel yang tidak berperi kemanusiaan.

Beberapa wakil komuniti telah berucap di demonstrasi-demonstrasi tersebut termasuk wakil daripada komuniti Jewish. Hal ini membuktikan bahawa isu Palestin bukan isu agama atau bangsa, ia adalah isu kemanusiaan yang sewajarnya disokong oleh semua pihak. Beliau juga menekankan bahawa tindakan Kerajaan Israel adalah bertentangan dengan ajaran agama Judaism sendiri. Di samping ucapan-ucapan berkaitan isu semasa Palestin dan sokongan kepada rakyat Palestin oleh wakil-wakil komuniti, penganjur juga menggesa Kerajaan UK untuk membantah tindakan Kerajaan Israel untuk memotong sumber makanan, air dan keperluan asas yang lain kepada rakyat Palestin yang bercanggah dengan International Law.

Disebabkan banyak media massa mengeluarkan berita yang memihak kepada Kerajaan Israel, pihak penganjur mencela tindakan media massa UK seperti BBC yang memanipulasi berita mengenai isu Palestin seolah-olah hanya rakyat Israel yang mempunyai hak untuk mempertahankan diri. Hipokrasi sesetengah media massa amat terserlah lebih-lebih lagi isu Rusia dan Ukraine yang baru sahaja berlaku dalam setahun yang lepas di mana hampir semua media menunjukkan sokongan sepenuhnya kepada rakyat Ukraine yang ditindas oleh Kerajaan Rusia tetapi tidak pula dalam isu Palestin dan Israel. Hadirin dinasihatkan juga untuk tidak melayan wakil media jika diajak untuk ditemu ramah kerana risau akan dimanipulasi.

Di Manchester setelah perbincangan di antara pihak penganjur dan wakil pihak polis yang hadir, pihak polis bersetuju untuk mengawal lalu lintas supaya perarakan dapat dilakukan daripada Platt Fields Park ke St Peter’s Square yang berada di tengah bandar Manchester. Hadirin berarak sejauh 3.5 kilometer dan disambut oleh penduduk-penduduk sekeliling dengan bunyi hon dan lambaian. Kanak-kanak juga bersemangat melaungkan sorakan seperti ‘Free Free Palestine‘ dan ‘One Two Three Four, Occupation No More‘ sepanjang perarakan tersebut yang memanggil masa lebih kurang sejam setengah.

Di samping demonstrasi aman yang dianjurkan, terdapat juga usaha-usaha lain yang dibuat oleh pihak komuniti. Antaranya, Muslim Council of Britain (MCB) telah membuat satu aplikasi untuk rakyat UK menulis emel kepada wakil rakyat masing-masing supaya menghentikan penindasan kepada rakyat Palestin dan membuka ruang bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin melalui Rafah. Template emel dan carian wakil rakyat untuk setiap poskod telah dipermudahkan dalam aplikasi tersebut dan pengguna hanya perlu salin dan tampal menggunakan emel masing-masing. Usaha-usaha meraih dana dan sumbangan juga telah dibuat seperti biasa untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.

Pihak Kelab PAS United Kingdom menggesa semua rakyat di mana sahaja untuk tidak berhenti menyokong dan mendoakan keselamatan rakyat Palestin. Walaupun ada yang mungkin berfikir bahawa usaha-usaha seperti demonstrasi tidak akan mampu menjatuhkan Kerajaan Israel tetapi kita perlu tunjuk kepada rakyat Palestin yang seluruh dunia tidak pernah putus harapan untuk memperjuangkan kemerdekaan Palestin daripada tangan penjajah dengan pertolongan Allah S.W.T.

SHAHEER SHAHIDAN
Kelab PAS UK – HARAKAHDAILY 17/10/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -