PRK Parlimen Kemaman 2 Dis, penamaan calon 18 Nov

Tan Sri Abdul Ghani Salleh
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman akan berlangsung pada 2 Disember depan sementara penamaan calon 18 November.

- Advertisement -

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, pengundian awal pula ditetapkan pada 28 November.

Beliau menyatakan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR bagi menentukan tarikh-tarikh penting pelaksanaan PRK Parlimen Kemaman, di sini hari ini.

Menurutnya, daftar pemilih yang digunakan pada PRK itu ialah yang dikemaskini sehingga 3 Oktober lalu dengan jumlah 141,790 pemilih.

Katanya, PRK itu memerlukan peruntukan sebanyak RM3.5 juta.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu telah membenarkan Petisyen Pilihan Raya P.040 Kemaman dengan kos sebanyak RM30,000 pada 26 September lalu.

Hakim Pilihan Raya Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan demikian dan selanjutnya mengisytiharkan bahawa Che Alias Hamid telah dilapor pilih secara tidak sah sebagai Ahli Parlimen bagi Bahagian Pilihan Raya P.040 Kemaman pada 19 November 2022 lalu.

Bagaimanapun, PAS pada 3 Oktober lepas memutuskan tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen itu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, Che Alias yang bertanding atas tiket PAS memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi.

Tiga calon lagi ialah Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506). – HARAKAHDAILY 17/10/2023

- Advertisement -