Kempen Solat First lahir generasi soleh

- Advertisement -

SEPANGGAR: Akhlak pemimpin pada masa hadapan boleh dilihat kepada generasi muda pada hari ini.

- Advertisement -

Menurut ADUN Lantikan Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, masyarakat perlu memastikan untuk melahirkan generasi yang soleh kerana anak-anak hari ini adalah pemimpin pada masa hadapan.

“Jika mereka dihiasi dengan akhlak yang baik, masa hadapan Sabah akan dipimpin orang-orang yang soleh.

“Para ibu yang dekat dengan Allah akan memandu anak dan keluarganya ke arah keluarga sakinah yang penuh dengan ketenangan,” katanya dalam ucapan perasmian Kempen Solat First di Masjid Kampung Kebayau, di sini kelmarin.

Dr Aliakbar yang juga Setiausaha PAS negeri turut mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas pelaksanaan program yang bermanfaat serta mendapat sambutan yang sangat baik daripada masyarakat setempat.

Turut hadir Ketua Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Kawasan Sepanggar, Ummu Azzam Abdul Kadir dan Timbalan Pengerusi Sabah Relief, Ustaz Mohd Tarmizi Yahya.

Lebih 80 orang peserta yang terdiri dalam kalangan penduduk Kampung Kebayau dan sekitarnya menyertai program anjuran Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah serta Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Malaysia dengan kerjasama PAS Sepanggar, Sabah Relief, Insyirah dan Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Kebayau itu.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah penyerahan sumbangan kit ibadah seperti sejadah, telekung dan buku panduan solat, tiga siri ceramah fardu ain serta praktikal solat.

Pihak penganjur turut menyampaikan sumbangan al-Quran kepada penduduk kampung untuk kempen ‘1 Rumah 1 Al-Quran’. – HARAKAHDAILY 17/10/2023

- Advertisement -