Jiwa kita perlu bersama perjuangan Palestin

- Advertisement -

MARANG: Himpunan Taufan Palestin di pekarangan Masjid Rusila petang semalam mengumpulkan lebih 2,000 peserta yang bersolidariti bersama perjuangan mujahidin Palestin melawan Zionis Israel.

- Advertisement -

Konflik yang berlaku di Gaza turut menoreh luka umat Islam di Malaysia, di mana memperlihatkan kebangkitan rakyat menyokong kemaraan umat Islam di Palestin untuk mengambil kembali tanah air mereka yang dirampas Israel.

Wakil Palestin Bilal Ahmad menyeru seluruh rakyat Malaysia bersama memberi sokongan dan membantu saudara Islam di Gaza.

“Kami menyeru kepada umat Islam terutamanya mereka yang berada di Malaysia supaya bersama-sama memberi sokongan kepada Palestin.

“Keluar rumah, ikut himpunan-himpunan untuk memberi sokongan kepada Palestin seumpama sekutu Israel iaitu Amerika yang mengatakan mereka bersedia membantu Israel walau apa sekali pun.

“Oleh itu kami menyeru kepada seluruh umat Islam supaya bangkit untuk mempertahankan bumi Gaza,” katanya,” katanya ketika berucap pada himpunsn tersebut.

Turut hadir Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan PAS Terengganu.

Menurut Bilal, tentera Zionis Israel sedang memerangi siang dan malam untuk merampas Masjid al-Aqsa.

“Setiap orang menyaksikan di televisyen dan media sosial macam mana keadaan berlaku di mana tentera Zionis membunuh wanita, kanak-kanak serta mengepung rumah-rumah yang berada di bumi Gaza.

“Salah seorang menteri daripada Israel memberi kenyataan menyekat bantuan-bantuan di Gaza termasuk air, makanan serta pertolongan daripada luar.

“Oleh itu kami memohon kepada saudara yang berada di bumi Malaysia dan seluruh dunia bersama memberi sokongan dan membantu sahabat yang berada di Gaza,” katanya.

Manakala Tuan Guru Abdul Hadi menyeru seluruh umat Islam melibatkan diri dalam perjuangan dengan memberi sokongan untuk membolehkan rakyat Palestin merampas kembali tanah air mereka.

“Dalam satu Hadis ada sebut, Nabi Muhammad saw dalam perjalanan musafir untuk berjihad baginda singgah satu tempat, Nabi kata di sana ada orang yang duduk di Madinah kerana dia uzur, buta, daif tapi Allah bagi pahala kerana hati dia bersama dengan kita.

“Mungkin kita tidak boleh nak pergi, tidak mampu tapi hati kita, semangat kita bersama dengan Palestin, jangan pula tidak merasa apa-apa,” katanya.

Himpunan berkenaan turut melakukan gimik dengan mengangkat bendera Palestin sambil laungan “menang-menang menang Islam, hancur-hancur hancur Israel”.

Bendera laknatullah diturunkan dari atas bangunan dengan menggunakan tali kemudian dipijak sebelum dibakar dan disertai laungan takbir Allahuakbar beramai-ramai. – HARAKAHDAILY 14/10/2023

- Advertisement -