Pengaruh PN di kawasan Felda makin meningkat

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Sekiranya Barisan Nasional (BN) menang di kawasan PERIKATAN NASIONAL (PN) baharu boleh dianggap hebat kerana mampu merampas kawasan
lawan.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, apa yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai 7 Oktober lepas, BN menang di kubu sendiri.

Katanya kekalahan calon PN pada PRK tersebut bukan bermakna sokongan terhadap PN berkurangan.

Sebaliknya kata beliau BN mempertahankan DUN Pelangai yang dikuasai sejak sekian lama.

“Namun sokongan kepada PN di kawasan Felda semakin meningkat. Sedangkan sebelum ini Felda dianggap deposit tetap BN tetapi sekarang tidak lagi.

“Peneroka Felda tidak lagi terikat dengan hutang setelah Tan Sri Muhyiddin Yasin menghapus tunggakan hutang peneroka di era kerajaan PN.

“Gelombang PN di kawasan Felda bukan sahaja berlaku di Kedah tetapi juga di Pahang, Perak, Johor serta negeri lain,” kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, semalam.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menafikan punca kekalahan PN di Pelangai kerana ada kaitan dengannya.

Kata beliau, bercakap benar dengan suara yang kuat bukan bermulut celupar sebaliknya menyampaikan maklumat berfakta.

“Celupar ini cakap tak betul. Suara kuat kalau ada asas, ada bukti, ada analisa yang tepat, justifikasi yang betul itu bukan celupar.

“Namun dunia sudah diterbalikkan sekarang, yang cakap betul dianggap celupar yang cakap tipu tak celupar pula,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 12/10/2023

- Advertisement -