Beri kepercayaan SPAN urus hal ehwal, pentadbiran air

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kelantan salah sebuah negeri yang turut terkesan oleh masalah perbekalan air terawat apabila paip uzur tidak ditukar dan dibaik pulih mengikut masa yang ditetapkan.

Datuk Ustaz Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, kerajaan sebelum ini telah meluluskan peruntukan RM218 juta untuk membaikpulih sistem perpaipan negeri itu dengan menukar paip uzur sepanjang 400 kilometer (km). 

“Namun begitu, Kelantan masih memerlukan peruntukan untuk menukar 4,000 km paip air dan kerja-kerja membaik pulih ini boleh dilakukan secara berperingkat selagi mana kerajaan masih melaksanakan iltizam serta semangat federalisme. 

“Untuk pengetahuan umum, 30 peratus sistem perpaipan negara menggunakan paip jenis Asbestos Cement (AC). Paip jenis ini mempunyai hayat operasi selama 30 tahun sahaja. 

“Bayangkan jika paip sedia ada sudah berusia lebih 30 sehingga 40 tahun, pastinya sistem perpaipan sedia ada perlu ditukar dengan jenis paip yang baharu,” ujarnya membahaskan RUU Suruhanjaya Perbekalan Air di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) dalam negara akan meningkat disebabkan air bersih tidak sampai kepada pengguna di mana kadar NRW tahun 2021 adalah sebanyak 33.4 peratus.

Kemuka beliau, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) perlunya berbincang dengan syarikat air negeri bagi merangka bajet atau geran pembangunan dalam menambahbaik infrastruktur atau fasiliti yang digunakan oleh syarikat air negeri.

Selain itu tegasnya, pentingnya kerajaan mendengar rekomendasi Suruhanjaya dalam merangka Bajet Pembangunan bagi meningkatkan prestasi perkhidmatan air negara, sekali gus mengatasi kerugian purata RM2 bilion setahun akibat NRW.

Terdahulu, beliau memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faisal Abdul Rahman mengenai sistem perpaipan negara berada pada kondisi yang uzur dimana ia telah berusia 40 tahun.

Serunya, tanggungjawab SPAN untuk memastikan perkhidmatan yang diberikan selari dengan Pelan Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia 2020-2030 antaranya menyasarkan kadar NRW sebanyak 20 peratus menjelang tahun 2030 mestilah dibantu.

“Saya juga menyokong pindaan Seksyen 23 dimana Suruhanjaya boleh menentukan syarat perkhidmatan pekerjanya tanpa perlu campur tangan Menteri. Ini pentingnya pelantikan pekerja yang dilantik bagi menjalankan fungsi dan tanggungjawab sesuai dengan aspirasi SPAN. 

“Saya rasa sudah masanya kerajaan memberi sepenuh kepercayaan kepada SPAN untuk menguruskan hal ehwal dan pentadbiran air selari dengan Pelan Keselamatan Air (WSP). Pelan ini penting bagi mengurangkan risiko pencemaran air.

“(Juga) memantau dan menguatkuasa loji rawatan serta kumbahan dan memastikan keterjaminan bekalan air yang mapan dapat dilaksanakan. Saya juga melihat pindaan Seksyen 23 ini mampu meningkatkan tenaga kerja.

“Dan pakar yang kompeten bagi memastikan meningkatkan perkhidmatan bekalan air,” ujarnya mahu insiden pencemaran air di negara ini ditangani dengan sebaiknya dan tidak lagi berulang. – HARAKAHDAILY 12/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -